Tajuk: RIWAYAT HIDUP SAIDATINA KHADIJAH

SINOPSIS
Saidatina Khadijah yang unggul mempunyai peribadi yang cukup menghayat hati. Saidatina Khadijah dikurniakan peribadi serta sifat-sifat yang sangat mulia tidak kira dari segi luaran mahupun dalaman. Saidatina Khadijah menjadi isteri yang pertama dalam hidup Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan peribadinya telah membuat hati dan hidup Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . cukup bahagia. Saidatina Khadijah amat bermakna dalam hidup Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Saidatina Khadijah telah dikurniakan dengan berbagai gelaran antaranya ialah Ummul Mu’minin, Thahirah, penghulu wanita serta penghulu syurga. Beliau juga orang pertama yang beriman dan mengatakan Tuhan itu satu dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu utusan-Nya. Saidatina dilahirkan dari kalangan keluarga yang mulia. Oleh itu juga Saidatina Khadijah mempunyai peribadi yang mulia dan disanjung tinggi. Saidatina Khadijah suka menolong orang-orang yang berada dalam kesusahan. Beliau tidak sanggup melihat penderitaan orang lain. Beliau sanggup menderita demi menolong dan melihat orang sekelilingnya hidup senang. Beliau mempunyai ciri-ciri kepimpinan apabila beliau menguruskan dagangan keluarganya setelah ibu dan bapanya meninggal dunia. Di samping itu, sumbangan Saidatina Khadijah kepada Islam pada zaman awal Islam telah memberi banyak perubahan. Hartanya telah banyak dihabiskan untuk menolong Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., keluarganya serta orang-orang Muslim. Tetapi beliau tidak pernah merungut tentang hartanya yang semakin berkurangan itu. Kisah Saidatina Khadijah ini telah memberi impak yang sungguh bagus dan positif kepada setiap umat Islam. Sifat semulajadinya yang sungguh agung dan tiada cacat celanya membuatkan dirinya lebih cepat mempengaruhi masyarakat Islam. Peribadinya itu memang patut kita jadikan contoh terbaik bagi menjalani kehidupan seharian kita. Saidatina Khadijah iaitu salah seorang tokoh Islam pada zaman dulu yang telah memberi banyak sumbangan terhadap Islam. Sumbangannya yang diberi kepada setiap orang Muslim tidak kira pangkat atau darjat itu memberi satu peringatan yang tidak akan lupus dari hati atau hidup seseorang Muslim itu.

PENDAHULUAN
Pengupasan tentang peribadi Saidatina Khadijah yang unggul, yang selama hidupnya menguatkan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . pada permulaan dakwah Islam. Saidatina Khadijah merupakan isteri pertama Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan juga wanita pertama yang beriman serta menyatakan bahawa Tuhan itu satu dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah utusan dari Allah Subhanahu wa ta’ala . Di sini akan menceritakan mengenai riwayat hidup Saidatina Khadijah sejak beliau dilahirkan sehinggalah beliau wafat. Saidatina Khadijah memiliki peribadi yang luar biasa. Peribadinya yang cukup luar biasa ini memberi implikasi yang positif kepada masyarakat Islam pada zaman awal Islam. Masyarakat pada zaman itu amat kagum dengan keperibadian Saidatina Khadijah yang cukup mulia itu. Saidatina Khadijah adalah salah seorang tokoh yang paling penting dalam sejarah Islam. Wanita yang agung bernama Saidatina Khadijah ini telah memberi banyak sumbangan terhadap Islam dari pelbagai aspek dan juga telah menyumbang ke arah kemenangan kerajaan Islam. Beliau memainkan peranan yang sangat cemerlang. Bersama Abu Talib, Saidatina Khadijah merupakan salah seorang dari pendukung Islam dan kaum Muslim. Pada masa Islam mengalami tekanan peperangan yang tidak henti-hentinya dan selam tiga tahun mendapat serangan yang bertubi-tubi, Saidatina Khadijah membantu kaum Muslim dengan segala bentuk pengorbanan yang luar biasa. Saidatina Khadijah mempunyai sifat-sifat yang amat indah sekali yang mana sifat-sifat beliau ini belum tentu wujud pada setiap wanita pada zaman kini. Saidatina Khadijah mempunyai hati dan jiwa yang suci, bersih dan terpelihara dari kejahatan. Perasaan Saidatina Khadijah yang halus dan akhlaknya yang mulia membuatkan dirinya lebih dihormati dan istimewa. Di samping itu, ketakwaan dan keimanan beliau terhadap Allah Subhanahu wa ta’ala . amat teguh sekali dan tidak perlu diragukan lagi. Walaupun Saidatina Khadijah ini seorang yang kaya, beliau tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai umat Islam. Selain itu, Saidatina Khadijah juga seorang pendakwah Islam yang berani. Keperibadiaan dan sumbangan beliau ini amat dikagumi dan sukar dilupakan. Sifat-sifat semulajadinya yang mulia itu akan menjadi satu contoh yang amat besar dalam hidup setiap manusia.

RIWAYAT HIDUP SAIDATINA KHADIJAH
Saidatina Khadijah dilahirkan di Makkah pada tahun 68 sebelum Hijrah dan kurang lebih 15 tahun sebelum tahun Gajah. Saidatina Khadijah merupakan puteri kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai Al-Qurasyiyyah Al-Asayidah. Ayahnya seorang pedagang. Ibunya pula bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham. Saidatina Khadijah lahir dari kalangan keluarga yang mulia, jujur dan keluarga pemimpin. Saidatina Khadijah berketurunan Bani Hasyim. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 2)

Saidatina Khadijah dibesarkan di kalangan keluarga yang mulia, terdidik dengan akhlak yang terpuji, bersifat teguh dan cerdik sehingga kaumnya memanggil Thahirah kerana beliau sangat loba terhadap akhlak dan kesopanan yang mulia. Ayahnya, Khuwailid wafat kira-kira pada tahun 585 Masihi iaitu sebelum perang Fijar. Manakala ibu Saidatina Khadijah wafat sekitar tahun 575 Masihi. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 4) dan (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

Setelah ibu dan ayah Saidatina Khadijah wafat, kekayaan dan harta diagihkan kepada Saidatina Khadijah dan adik-beradiknya. Antara adik-beradiknya, hanya Saidatina Khadijah yang mewarisi kebolehan ayahnya untuk menjadi kaya. Oleh kerana Saidatina Khadijah dikurniakan kecerdasan yang luar biasa, beliau mengambil alih tanggungjawab bisnes keluarganya dan segera mengembangkannya. Beliau ingin memperoleh kekayaan dari titik peluh sendiri. Salah seorang bapa saudaranya bertindak sebagai penasihat beliau dalam masalah bisnes. Anggota keluarga yang lain juga turut membantunya apabila beliau memerlukan pertolongan. Walaupun begitu, dalam membuat keputusan, beliau tidak akan bergantung pada sesiapapun malah akan membuat keputusannya sendiri. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

Sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Saidatina Khadijah diperisteri oleh Abu Halah bin Zurarah bin Usaid bin Amr bin Tamim At-Tamimi. Mereka telah memperoleh dua cahaya mata yang bernama Halah dan Hanad. Setelah Abu Halah meninggal dunia, Saidatina Khadijah diperisteri oleh Atiq bin Aidz bin Abdillah bin Umar bin Makhzum Al-Makhzumi. Namun begitu perkahwinannya hanya berlangsung beberapa saat kemudian bercerai. Selepas itu ramailah orang-orang terkenal di kalangan Quraisy ingin memperisterikan Saidatina Khadijah, tetapi beliau menolaknya kerana beliau ingin meluangkan masa beliau dengan mendidik putera-puteranya dan menguruskan dagangannya. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5)

Setelah dagangannya meluas ke negeri Syam, Saidatina Khadijah mengambil Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sebagai pekerjanya bagi mengedarkan dan menguruskan dagangannya dari Makkah ke Syam. Di samping itu juga, beliau mengutus pembantunya yang bernama Maisarah untuk memperhatikan gerak-geri Nabi Muhammad. Setelah sekian lama mengenali diri dan sifat-sifat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., Saidatina Khadijah mula jatuh cinta pada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Dan dari situlah terjalinnya perkahwinan Saidatina Khadijah dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dimana umur Saidatina Khadijah ketika itu ialah 40 tahun manakala umur Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . ialah 25 tahun. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 6-10)

Keistimewaan Saidatina Khadijah ialah beliau seorang yang cerdas, pandai menjaga diri, suci perilakunya, bermurah hati serta dermawan. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah memberi gelaran penghulu wanita pada zamannya dan juga menjadi penghulu syurga. Saidatina Khadijah juga wanita yang sempurna, seorang teguh hati, agung, suci hatinya, bersih jiwanya, cantik rupa parasnya, halus perasaannya, sentiasa adil dan mulia akhlaknya. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5-6)

Keimanan, kebaikan, kemurahan hati Saidatina Khadijah diketahui oleh setiap orang. Beliau penuh dengan kesabaran dalam penderitaannya dan bersemangat untuk berjuang. Saidatina Khadijah selalu mengagungkan rahmat dan kurnia dari Allah Subhanahu wa ta’ala . Beliau selalu mendapat rahmat yang berlimpah. Ketika pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, Saidatina Khadijah tetap tegar dalam keimanannya dan hal itu selalu menjadi sumber kekuatan yang tidak pernah goyah baginya dan bagi orang-orang di sekelilingnya. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 64-67)

Dari hasil perkahwinan yang sungguh harmoni ini, mereka berdua telah dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat puteri dan dua putera. Anak pertama mereka ialah Al-Qasim. Al-Qasim wafat ketika berusia satu tahun. Selepas kelahiran Al-Qasim, diikuti dengan kelahiran Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum, Siti Fatimah Az-Zahra dan Abdullah. Abdullah wafat ketika masih bayi lagi. Semua puteri Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . wafat ketika Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . masih hidup kecuali Siti Fatimah Az-Zahra wafat enam bulan selepas wafatnya bapanya, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . (Muhammad Al-Ghazaliy, 1996: mukasurat 135)

Saidatina Khadijah tidak pernah meminta apa-apa pun dari suaminya. Jangankan minta berikan sesuatu, bahkan beliau banyak menggunakan wangnya untuk keperluan orang-orang Muslim. Selain itu, beliau seorang wanita sempurna. Saidatina Khadijah tidak pernah berasa cemburu. Beliau selalu bersyukur, gembira dan mempunyai perasaan puas dalam memberikan sesuatu. Beliau juga tidak pernah menyakiti orang, tidak pernah marah, berdendam, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain. Saidatina Khadijah dilahirkan dengan hati yang bersih. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 76-80)

Selepas bapa saudara Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam  iaitu Abu Talib wafat, Saidatina Khadijah yang ketika itu berusia 65 tahun telah jatuh sakit. Tak lama kemudian Saidatina Khadijah pun wafat. Ini semua adalah kesan dari beratnya penderitaan yang ditanggung Saidatina Khadijah selama dipulau oleh kaum Musyrikin Quraisy selama tiga tahun di Syiib Abu Talib. Saidatina Khadijah telah wafat pada sepuluh Ramadhan pada tahun 619 Masihi. Pada saat kewafatannya, jubah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dijadikan sebagai kain kapan untuk Saidatina Khadijah dan beliau dikebumikan di Hujun, Makkah.
 (Maulana Syed Abul Hasan Ali an Nadwi, 2009: mukasurat 311)

SUMBANGAN SAIDATINA KHADIJAH KEPADA ISLAM

Saidatina Khadijah sedikit sebanyak telah memberi sumbangan kepada Islam. Beliau telah banyak menolong masyarakat pada zaman awal Islam tidak kira keturunan atau pangkat. Antaranya beliau telah membantu orang-orang miskin, janda, anak-anak yatim dan orang-orang cacat menggunakan keuntungan yang diperolehnya daripada hasil dagangannya. Apabila ada gadis miskin, Saidatina Khadijah mengahwinkannya dan memberikan mas kahwin kepada mereka.
 (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

Ketika pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, kekayaan Saidatina Khadijah yang melimpah itu habis. Hal ini kerana sebahagian hartanya dihabiskan untuk membeli air bagi menyelamatkan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan keluarganya. Saidatina Khadijah mengorbankan kesenangan, kekayaan, rumahnya dan hidupnya untuk Islam. Semasa peperangan, Saidatina Khadijah menggunakan semua harta kekayaanya untuk keperluan seperti misalnya membeli makanan dan minuman untuk keluarga suaminya. Beliau sangat bahagia apabila hartanya disumbangkan ke arah kebaikan. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 66-69)

Saidatina Khadijah selalu bersama suaminya yang tercinta di dalam masa susah mahupun senang. Saidatina Khadijah selalu menghiburkan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . ketika baginda kebingungan apabila wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda. Saidatina Khadijahlah yang telah bersusah payah membawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . berjumpa sepupunya yang alim dalam kitab Taurat dan Injil iaitu Waraqah bin Naufal untuk mengesahkan apakah benda yang telah datang kepada suaminya di dalam Gua Hira’ itu. (Maulana Syed Abul Hassan Ali ad Nadwi, 2009: 311-314)


Setiap hari, Saidatina Khadijah memberikan makanan kepada orang-orang Muslim yang miskin sehingga tiada seorang pun yang menderita kelaparan. Di samping itu, beliau memberikan tempat tinggal kepada mereka. Beliau menggunakan banyak wangnya untuk orang-orang Muslim Makkah yang miskin dan dengan begitu beliau telah mematahkan tujuan orang-orang kafir yang mendera orang-orang Muslim itu. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 75)

Di samping itu, Saidatina Khadijah juga seorang pendakwah yang cukup berani, petah bercakap dan indah kata-katanya. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau seorang yang berani dalam berdakwah dan mendapat sambutan yang cukup baik. Saidatina Khadijah selalu mendampingi suaminya yang tercinta dalam berdakwah dan beliau akan menolong suaminya dalam keadaan sulit dan penuh ujian. Beliau akan selalu menolong dan membantu Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dengan seberapa banyak kemampuan yang ada. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 18-19)

KESIMPULAN

Dari kisah Saidatina Khadijah ini, kita dapat lihat bahawa Saidatina Khadijah mempunyai keperibadian yang sungguh indah dan unggul. Beliau seorang anak yang bertanggungjawab dan pandai berdikari dalam menguruskan dan meneruskan perdagangan keluarganya. Beliau seorang isteri yang setia, ikhlas terhadap suaminya. Beliau berada di sisi suaminya yang tercinta di kala suka dan duka. Beliau juga seorang ibu yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu terhadap anak-anaknya. Seterusnya, beliau telah memberi banyak pengorbanan dari segi harta, waktu, kepandaian, tenaga, dorongan dan hatinya yang tiada bandingannya untuk Islam yang dicintai. Pengorbanan-pengorbanan beliau cukup berhasil bagi menguatkan dan mengukuhkan kerajaan Islam ketika itu. Pengorabanan Saidatina Khadijah untuk Islam ini sangat diagungkan dalam sejarah kita. Dorongan yang diberikan kepada suaminya iaitu Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah membuat politik Islam semakin maju. Tidak ada seorang pun yang dapat memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah. Hasil dari pengorbanannya, Islam ketika itu mampu menang dalam melawan penyembahan berhala. Musuh-musuh Islam dapat dikalahkan, keangkuhan Bani Hasyim dapat dirobohkan, dan ideologi keberhalaan dimusnahkan. Saidatina Khadijah ialah salah seorang tokoh utama yang membangunkan kemenangan Islam. Di sini juga, kita dapat lihat Saidatina Khadijah tidak pernah rasa jemu dalam memberikan bantuan kepada orang-orang sekelilingnya. Beliau memberikan sumbangan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., keluarganya dan orang-orang Muslim kerana Allah Subhanahu wa ta’ala . Saidatina Khadijah juga tidak pernah rasa gentar untuk menghadapi musuh kerana beliau berani kerana benar. Setelah Saidatina Khadijah, orang-orang di sekelilingnya tidak pernah melupakan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan. Pengorbanan dan peribadi Saidatina Khadijah yang mulia ini akan sentiasa dikenang dan perlu diterapkan dalam setiap jiwa dan pemikiran manusia pada zaman sekarang ini terutama pada kaum wanita. Saidatina Khadijah perlu dijadikan contoh yang baik buat semua masyarakat sekarang.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com