Tajuk: Kelahiran Umar bin Abdul Aziz dan sumbangannya kepada tamadun Islam

Sinopsis

Umar bin Abdul Aziz dilahirkan di Madinah. Beliau khalifah di dinasti Umayyah. Ayahnya dari keturunan Umayyah manakala ibunya berketurunan Umar bin al Khattab, iaitu khalifah kedua dari khulafa ar rasyidin. Umar pernah menjadi gebenor Hedjaz sebelum menjadi khalifah. Sebaik sahaja Umar dilantik menjadi khalifah, beliau terus memecat gabenor-gabenor yang tidak adil dan berlaku kejam terhadap rakyat. Beliau juga bersikap lembut dalam politik dibandingkan dengan khalifah sebelumnya yang menggunakan kekerasan terhadap lawan politik mereka. Umar banyak memberi sumbangan kepada tamdun Islam. Antaranya ialah mengumpulkan hadis- hadis Rasullullah. Umar juga telah menghentikan pungutan cukai di seluruh empayarnya. Selain itu, Umar juga meyampaikan dakwah Islam dengan menghantar surat kepada raja-raja dan pemimpin kafir untuk memeluk Islam. Sikap dan peribadi Umar juga telah menarik orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Sebelum Umar menjadi khalifah, menjadi kebiasaan mencela nama Ali bin Abi Thalib dan keturunannya pada setiap khutbah solat jumaat. Umar telah menghentikannya dan menggantikannya dengan bacaan firman Allah. Pemerintahan Umar bin Abdul Aziz membawa banyak perubahan kepada Islam. Sikap beliau yang sangat berhati-hati dan mengutamakan kebajikan rakyat telah menaikkan taraf kehidupan rakyat di zamannya. 

Pendahuluan
Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah ke-8 di dinasti Umayyah. Umar merupakan seorang khalifah yang sangat adil dalam pemerintahannya. Beliau sangat berhati-hati dalam membelanjakan wang Negara. Umar bin Abdul Aziz berketurunan Umar bin al Khattab, iaitu khalifah al Rashidin yang kedua. Cara beliau dilantik menjadi khalifah sangat luar biasa kerana banyak deretan peristiwa yang ditakdirkan Allah berlaku sehingga dibai’at menjadi khalifah. 
Dalam konteks zaman sekarang, sifat peribadi dan ketulusan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz sangat sesuai dijadikan contoh dan panduan kerana terlalu banyak ketirisan dan kezaliman yang berlaku dalam pemerintahan kini. “Amar ma’aruf nahi mungkar” yang bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan prinsip beliau dan sering dilaungkan oleh para ulama. 

Selain itu, pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang sangat singkat, iaitu selama 2 tahun 5 bulan memberi impak yang sangat besar kepada rakyat di bawah pemerintahannya dan juga agama Islam. Keadilan pentadbirannya terbukti apabila tidak ada rakyatnya yang layak mendapat mendapat zakat dan semuanya hidup serba mencukupi. Islam juga telah tersebar luas pada zaman beliau. Kisah Umar bin Abdul Aziz sangat sesuai dijadikan panduan oleh pemimpin-pemimpin kini dan seluruh muslim amnya. 

Umar bin Abdul Aziz, dilahirkan di Madinah pada tahun 61H bersamaan 680M (Al-Nadwi Abu Hassan Ali (1913). PENDUKUNG PANJI-PANJI ISLAM SEPANJANG ZAMAN, jilid 1. ’Adi setia. Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tradisional Islam) / 63H bersamaan 682M (Drs. Abd. Rahman Dahlan (1994). ENSIKLOPEDIA ISLAM. Jakarta: PT Ichtiar Baru Van Heore). Nama sebenar Umar bin Abdul Aziz ialah Abu Hafs Umar bin Abdul Aziz bin Marwah bin Hakam bin As bin Umayyah bin Abdul Syams (Drs. Abd. Rahman Dahlan (1994). ENSIKLOPEDIA ISLAM. Jakarta: PT Ichtiar Baru Van Heore). Beliau juga keturunan Umar al Khattab melalui ibunya, Laila Umm Asim binti Asim bin Umar bin Khattab. Umar bin Abdul Aziz dikenali juga sebagai Umar II iaitu bersamaan dengan moyangnya, Umar al Khattab, khalifah kedua daripada empat khalifah besar. 

Pendidikan
Umar bin Abdul Aziz mendapat pendidikan di Madinah. Madinah merupakan pusat ilmu pengetahuan dan khazanah para ulama hadis dan tafsir pada masa itu. Pendidikan yang diperolehinya sangat mempengaruhi peribadi Umar. 

Perjuangan
Umar bin Abdul Aziz pernah menjadi gabenor Hedjaz yang berpusat di kota Madinah pada tahun 87H, iaitu ketika pemerintahan khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Ketika itu, usia beliau baru 24 tahun. Perkara pertama yang dilakukan beliau apabila tiba di Madinah ialah membentuk sebuah “dewan penasihat” yang terdiri daripada 10 ulama yang berpengaruh. Melalui penubuhan “dewan penasihat” Umar telah meyatukan pandangan umara (penguasa) dengan ulama dalam menyelesaikan masalah rakyat. 
Umar dikenali sebagai seorang gabenor yang berprestasi dan mempunyai reputasi yang baik. Tetapi beliau telah dipecat pada tahun 93H kerana berselisih dengan khalifah akibat hasutan Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi dan penyokongnya yang tidak menyenangi Umar. Tetapi pada masa pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik bin Marwan, beliau sekali lagi diberi amanah dengan menjawat sebagai Al-Khatib (sekretari). 

Ketika khalifah Sulaiman sakit, dia meminta pendapat wazir, Raja’ bin Haiwah tentang siapa yang akan menjadi penggantinya kerana puteranya, Ayyub telah meninggal dunia. Raja’ telah mencadangkan Umar sebagai penggantinya. Setelah Sulaiman meninggal, Umar dibai’at menjadi khalifah iaitu pada tahun 99H. Umar memerintah hanya selam 2 tahun 5 bulan (Al-Nadwi Abu Hassan Ali (1913). PENDUKUNG PANJI-PANJI ISLAM SEPANJANG ZAMAN, jilid 1. ’Adi setia. Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tradisional Islam). Walaupun waktu yang singkat, Umar membawa banyak perubahan dalam pemerintahnnya. 

Sebaik sahaja menjadi khalifah, Umar memecat gabenor-gabenor yang tidak adil dan kejam. Semua barang kemas dan berharga yang diberikan kapada beliau dihantar ke baitul mal. Beliau juga memerdekakan hamba milik keluarga diraja. Istana kediaman diraja bertukar menjadi sederhana. Beliau menjalani hidupnya dengan begitu sederhana dan zuhud. Selain itu, Umar juga mengeluarkan arahan-arahan yang lebih menekankan pembaharuan moral dan agama daripada hal ehwal pentadbiran semata-mata. Beliau banyak membandingkan sosial dan moral rakyat di zamannya dengan zaman nabi Muhammad SAW serta menghuraikan sistem pentadbiran dan kewangan yang diperlukan untuk menghidupkan semula dalam masyarakat. 
Dalam bidang sosial politik, Umar menerapkan prinsip politik yang mengutamakan kebenaran dan keadilan yang lebih utama daripada segalanya. Jika khalifah Umayyah sebelumnya mengamalkan politik kekerasan terhadap lawan politik mereka, Umar bersikap lebih lembut. Umar tidak menganggap Bani Umayyah lebih baik dibandingkan dengan saudaranya sesama Islam. Oleh itu, Umar memberikan kebebasan kepada rakyat dari semua golongan untuk meyatakan pendirian, asal tidak mengganggu ketenteraman awam. 
Dalam menyelesaikan perkara perselisihan, Umar menekankan para hakim harus bertindak berdasarkan al Quran, as-Sunnah, ijmak dan ijtihad. Seorang hakim harus memenuhi lima syarat; memiliki pengetahuan tentang apa yang terjadi pada masa lalu; menjauhi sifat tamak; bersifat penyantun; bekerjasama dengan para cendekiawan dan bebas daripada pengaruh penguasa. 

Sumbangan
Umar bin Abdul Aziz banyak memberikan sumbangan dalam pemerintahannya walaupun dalam tempoh waktu yang singkat. Antara sumbangan beliau ialah pengumpulan hadis-hadis. “Tuliskan apa-apa hadis Rasullullah yang kamu dapat kamu kumpulkan, kerana saya bimbang setelah meninggalnya para muhadthin, ilmu pun turut hilang. ” (Al-Nadwi Abu Hassan Ali (1913). PENDUKUNG PANJI-PANJI ISLAM SEPANJANG ZAMAN, jilid 1. ’Adi setia. Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tradisional Islam). Umar mngarahkan gabenor-gabenor wilayah dan ulama-ulama terkenal untuk mengumpulkan hadis-hadis di mana sahaja dapat ditemui. Beliau kuatir hadis-hadis akan lenyap dan muncul hadis palsu. Pada waktu itu, hadis-hadis masih tersimpan dalam hafalan para sahabat dan rawi. 
Selain itu, dalam ekonomi Umar mengurangi beban cukai yang dipungut daripada kaum Nasrani, menghentikan jizyah daripada umat Islam, membuat aturan mengenai timbangan dan sukatan, memperbaiki tanah pertanian, pengairan, pembanggunan jalan, menyediakan tempat penginapan bagi musafir. Beliau juga memberhentikan pungutan cukai di seluruh empayarnya dengan berkata hal itu dilarang oleh al Quran: “dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haqnya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi. ” (surah Hud:85). (Prof. R. H. A Soernarjo S. H (1971). AL QURAN DAN TERJEMAHNYA. Jakarta: Departemen Agama Republik Indonesia. ) 

Umar tidak memberi perhatian untuk membangunkan angkatan tentera yang kuat. Beliau lebih memberi keutamaan dalam urusan negeri iaitu menigkatkan taraf kehidupan rakyat. Bagi Umar, perluasan wilayah tidak semestinya dengan kekuatan tentera, tetapi juga dapat dilaksanakan dengan cara yang berhemah dan bijak. Beliau juga menyampaikan dakwah dengan menulis surat kepada raja-raja dan mengajak mereka memeluk Islam. Islam telah tersebar lebih luas pada zamannya. 

Perubahan penting yang dicapai Umar bin Abdul Aziz ialah kecenderungan dan sikap rakyatnya. Contohnya, ketika zaman khalifah Walid, mereka berbual-bual mengenai banggunan dan seni bina, kerana itulah kecenderungan Walid. Khalifah Sulaiman pula minat kepada wanita dan majlis makan yang besar dan ia telah menjadi keasyikan pada rakyat di zamannya. Tetapi dalam pemerintahan Umar, rakyatnya sering berbual tentang solat, munajat dan ibadat. Ini menunjukkan berkesannya cara pemerintahan Umar terhadap rakyatnya. 
Umat telah menghapuskan kebiasaan mencela nama Ali bin Abi Talib dan keturunannya dalam khutbah setiap solat jumaat. Beliau menggantikan dengan pembacaan firman Allah yang bermaksud: ” sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adildan berbuat kebajikan, meberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuaatn keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar dapat kamu mengambil pelajaran. ” (Surah An Nahl:90). (Prof. R. H. A Soernarjo S. H (1971). AL QURAN DAN TERJEMAHNYA. Jakarta: Departemen Agama Republik Indonesia. ) Ayat ini sekarang selalui dibaca khatib pada akhir khutbah kedua, setelah doa. 

Kesimpulan
Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah yang mahsyur dalam dinasti Umayyah. Beliau sangat berhati-hati dalam menjalankan pemerintahannya dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah serta keyakinan yang kepada hari akhirat telah menjadi pembimbing dan penggerak kepada usaha beliau. Sekiranya orang menasihatinya untuk menaikkan taraf hidupnya, beliau akan membaca firman Allah: ”…. sesungguhnya aku takut, jika aku derhaka kepada tuhanku, akan azab hari yang dahsyat”. (al-An’am:15). (Prof. R.H.A Soernarjo S. H (1971). AL QURAN DAN TERJEMAHNYA. Jakarta: Departemen Agama Republik Indonesia. ) Beginilah digambarkan betapa takutnya Umar kepada Allha SWT. 
Sekiranya Allah takdirkan Umar untuk memerintah lebih lama, dunia Islam akan dapat menyaksikan perubahan yang menyuluruh. Tetapi Bani Umayyah yang kehilangan kuasa dan pengaruh pada zaman Umar mencari jalan dengan membunuhnya. Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia dalam pertengahan tahun 101H setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. (Al-Nadwi Abu Hassan Ali (1913). PENDUKUNG PANJI-PANJI ISLAM SEPANJANG ZAMAN, jilid 1. ’Adi setia. Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tradisional Islam). 

-----------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com