Tajuk: MEMAHAMI PENGERTIAN RUKUN-RUKUN IMAN

ABSTRAK
Iman ialah asas penting yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi mukmin. Dari segi bahasa, perkataan iman diertikan sebagai percaya. Dari segi istilah pula, iman membawa maksud mempercayai dengan hati, kemudian menyebut (mengaku) dengan lidah seterusnya disertai dengan amalan anggota badan. Dari takrif tersebut dapatlah difahamkan bahawa syarat-syarat kesempurnaan iman itu mestilah mempunyai tiga perkara, iatu yang pertama, adanya kepercayaan hati. Kedua, disusuli dengan ikrar melalui lidah. Ketiga, dibuktikan kedua-dua tersebut dengan melaksanakan tuntutan-tuntutan ibadat. Iman boleh bertambah, berkurang dan boleh menjadi lemah. Rukun Iman itu terdiri daripada enam perkara, iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat serta beriman kepada Qada’ dan Qadar. Beriman kepada rukun-rukun iman tersebut bermaksud kita perlu mengakui dan yakin bahawa setiap rukun iman itu wujud. Kita perlu memahami, mendalami dan mengamalkan setiap rukun-rukun iman tersebut. Apabila manusia tidak beriman atau imannya sedikit, maka hal itulah yang mendorong manusia melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkn iman seperti syirik, kufur, maksiat dan murtad. Lemahnya iman seseorang juga menyebabkan manusia kecundang apabila berdepan dengan ujian-ujian Allah seperti pemarah, keluh kesah, hasad dengki, bakhil, sombong dan sebagainya. Setiap rukun iman ini berkait antara satu sama lain. Tidak sah iman seseorang jika hanya percaya kepada salah satu atau sebahagian daripada Rukun Iman itu sahaja. Beriman kepada Allah hendaklah disertai dengan beriman kepada lima Rukun Iman yang lainnya iaitu beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada hari Qiamat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Apabila rukun-rukun Iman ini telah sebati dalam hidup manusia, maka sejahteralah kehidupan mereka didunia dan di Akhirat.

PENDAHULUAN
Agama Islam adalah merupakan satu-satunya agama yang amat lengkap dan sempurna. Agama Islam berlandaskan kepada wahyu Allah Subhanahu wa ta’ala. ia mengandungi peraturan-peraturan hidup daripada perkara-perkara yang sebesar-besarnya sampailah kepada sekecil-kecilnya. Ajaran-ajaran agama Islam tidak berat, tidak susah untuk diterapkan secara beransur-ansur dalam kehidupan kita. Asas ajarannya meliputi akhidah, syariah dan akhlak. Pada asasnya dalam ilmu tauhid diungkapkan perkara-perkara yang berhubung kait dengan keimanan (Rukun Iman). Dari segi bahasa, perkataan iman diertikan sebagai percaya. Dari segi istilah pula, iman membawa maksud mempercayai dengan hati, kemudian menyebut (mengaku) dengan lidah seterusnya disertai dengan amalan anggota badan. Dari takrif tersebut dapatlah difahamkan bahawa syarat-syarat kesempurnaan iman itu mestilah mempunyai tiga perkara, iatu yang pertama, adanya kepercayaan hati. Kedua, disusuli dengan ikrar melalui lidah. Ketiga, dibuktikan kedua-dua tersebut dengan melaksanakan tuntutan-tuntutan ibadat. Seseorang yang mengaku bahawa dia beriman, kemudian tidak disertai dengan amalam-amalan anggota badan, amalan tersebut masih lagi dikira kurang dan tidak lengkap kerana tidak memenuhi syarat-syarat kesempurnaan iman. Iman mempunyai sifat-sifat tertentu. Iman itu kadangkala bertambah disebabkan ketaatan pada setiap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala  dan kadangkala berkurang disebabkan kemaksiatan yang membelenggu dan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Iman juga boleh menjadi lemah disebabkan kemungkaran. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, ternyatalah bahawa Rukun Iman itu terdiri daripada enam perkara, iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat serta beriman kepada Qada’ dan Qadar. Setiap insan mengamalkan kesemua Rukun-rukun iman bagi memastikan diri kita menjadi umat Islam yang sempurna dan berakhlak. Rukun Iman juga penting dalam membendung kemungkaran dan amalan tidak bermoral, khususnya dalam kalangan remaja pada masa kini. Rukun-rukun Iman mendorong kita ke arah mengenal Allah. Kita juga dapat mengetahui kejadian manusia serta kejadian-kejadian alam seterusnya menginsafi setiap apa yang berlaku sebagai persediaan menuju ke akhirat.

BERIMAN KEPADA ALLAH
Beriman kepada Allah ialah kita mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dari segi Zat, Sifat dan Perbuatan-Nya. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Allah. Dia yang menciptakan semesta alam ini, Dia yang menciptakan segala kemudahan untuk manusia. Beriman kepada Allah adalah sesuatu yang wajib ke atas manusia iaitu makrifat kepada Allah dengan sebenar-benarnya yakin, kerana dengan keyakinan yang betul dan benar, maka dengan sendirinya kita yakin pula kepada Rukun-rukun Iman yang lain.
Untuk memperkukuhkan iman kepada Allah, kita hendaklah mengetahui sifat-sifat-Nya dan sifat-sifat kesempurnaan Allah Subhanahu wa ta’ala  yang disebut sebagai Asma Al-Husna. Disampjng itu, setiap insan juga perlu yakin bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala  merupakan pencipta, penguasa, pengendali dan pembimbing segala sesuatu yang ada di alam ini. Oleh itu, kepada-Nya bergantung segala sesuatu dan Dialah yang menentukan setiap yang berlaku. Apabila manusia telah mengenal Allah Subhanahu wa ta’ala  dalam hal-hal yang disebut di atas, maka sudah tentu manusia akan mentaati segala peraturan Allah Subhanahu wa ta’ala  yang sesuai dengan kemampuan yang ada padanya, baik dengan harta, tenaga, fikiran, perasaan, waktu mahupun jiwa. Setiap insan juga wajib meyakini bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala  tidak mempunyai sifat kekurangan iaitu sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat wajib.
Apabila seseorang mengenal Allah Subhanahu wa ta’ala  dengan sebenar-benarnya pasti mereka akan menemui kemanisan iman. Mereka akan berasa bebas daripada kekuasaan orang lain kerana mereka yakin hanya Allah Subhanahu wa ta’ala  sahaja yang Maha Kuasa dalam perkara menghidupkan, mematikan, merendah dan meninggikan darjat seseorang, memberi manfaat dan mudarat bahkan segala sesuatu atas kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Mereka yakin bahawa bagaimana tinggi pangkat atau kedudukan seseorang namun mereka tidak dapat memberikan sesuatu kecuali dengan izin Allah Subhanahu wa ta’ala. kehidupam mereka juga akan lebih tenang dan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. mereka juga akan menjaga hubungan mereka dengan Allah dan juga sesama makhluk kerana mereka yakin bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala  Maha Melihat segala perbuatan mereka, mendengar segala perkataan yang dituturkan dan mengetahui segala gerak-geri denyutan jantung bahkan semua goresan yang ada dalam hati mereka.

BERIMAN KEPADA MALAIKAT
Beriman kepada Malaikat merangkumi beriman dengan sifat-sifat Malaikat dan mengetahui tugas-tugas yang telah ditentukan keatas mereka. Kita haruslah mempercayai bahawa Malaikat dijadikan daripada nur (cahaya), tidak berjantina dan tidak bernafsu. Malaikat sentiasa menjalankan tugas yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala  dengan penuh taat setia dan diwakilkan kealam semesta langit dan bumi untuk memerhatikan segala pergerakan alam.
Antara sifat-sifat istimewa Malaikat yang lain ialah mereka dapat menyerupai makhluk lain yang bertubuh menurut kehendaknya setelah mendapat keizinan dari Allah. Malaikat juga dapat melalui perjalanan yang jauh dalam jangka waktu yang singkat. Selain dapat melaksanakan tugas-tugas yang amat berat yang tidak dapat dilakukan oleh makhluk lain, Malaikat juga amat patuh pada suruhan dan perintah Allah. Mereka tidak sesekali engkar dan menderhaka kepada Allah. Malaikat juga tidak makan, tidak minum dan tidak melakukan hubungan jenis.
Sebenarnya jumlah Malaikat itu ramai sekali sehingga tiada seorang manusia pun yang mengetahui jumlahnya. Namun yang wajib diketahui oleh orang beriman hanyalah sepuluh Malaikat sahaja yang mempunyai tugas masing-masing. (1) Malaikat Jibril ‘alaihis salam  (menyampaikan wahyu Ilahi kepada Nabi dan Rasul serta orang-orang pilihan Allah), (2) Mikail ‘alaihis salam  (menurunkan hujan dan rezeki), (3) Israfil ‘alaihis salam  (meniup sangka kala), (4) Izrail ‘alaihis salam  (mencabut nyawa), (5) Munkar ‘alaihis salam  (menyoal mayat dalam kubur), (6) Nakir ‘alaihis salam  (menyeksa mayat dalam kubur), (7) Raqib ‘alaihis salam  (mencatat amalan baik), (8) Atid ‘alaihis salam  (mencatat amalan jahat), (9) Ridzun ‘alaihis salam  (menunggu pintu syurga) dan (10) MalikA. S (menunggu pintu neraka).
Diantara beberapa hikmah Allah mengutuskan para Malaikat-Nya ialah untuk menunjukkan kekuasaan Allah itu meliputi segala-galanya, baik yang bersifat rohani mahupun jasmani, ataupun kedua-duanya sekali. Manusia juga tidak ada kuasa untuk berhadapan dengan Ilahi yang hakiki. Oleh itu Allah menjadikan Malaikat sebagai pengantara antara Dia dengan para Rasul. Seseorang yang telah mengakui dan percaya kepada Malaikat akan sentiasa waspada dan berhati-hati untuk melakukan dan berkata sesuatu. Mereka yakin bahawa segala perbuatan mereka akan dicatat oleh Malaikat dan allah Subhanahu wa ta’ala  akan membalas segala perbuatan itu di Akhirat kelak.

BERIMAN KEPADA KITAB
Yang dikatakan Kitab ialah sekumpulan wahyu Ilahi yang diturunkan kepada Rasul-rasulNya serta mengandungi undang-undang yang lengkap, yang menyentuh soal Ibadah, Akhidah, Muamalah, Akhlak dan perkara-perkara Sam’iyah (Syurga, Neraka, Mizan, Shirat dan lain-lain). Selain daripada Kitab, ada lagi sejenis wahyu yang disebut Shuhuf iaitu sekumpulan wahyu Ilahi semacam lembaran kertas yang mengandungi hukum-hukum yang tidak lengkap. Beriman kepada Kitab-kitab Allah bermaksud percaya bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala  ada menurunkan Kitab-kitabNya kepada Rasul-rasulNya untuk panduan manusia hidup di dunia dan kehidupan di alam akhirat serta mengatur cara bermasyarakat.
Allah Subhanahu wa ta’ala  telah menurunkan sebanyak 104 kitab kepada para Nabi dan para Rasul. Antara kitab-kitab yang wajib diakui, dipercayai dan diimani ialah Kitab Zabur (Nabi Daud ‘alaihis salam ), Kitab Taurat (Nabi Musa ‘alaihis salam ), Kitab Injil (Nabi Isa ‘alaihis salam ) dan Kitab Al-Quran (Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ). Selain daripada itu, setiap insan wajib pula meyakini setiap suhuf yang diturunkan kepada para Nabi, misalnya Nabi Adam ‘alaihis salam  (10 suhuf), Nabi Ibrahim ‘alaihis salam  (10 suhuf), Nabi Idris ‘alaihis salam  (30 suhuf) dan Nabi Syis ‘alaihis salam  (50 suhuf).
Di antara hikmah yang kita dapat ambil daripada kebijaksanaan Allah dalam menurunkan KitabNya kepada manusia ialah sebagai pembuktian dari Rasul-rasul yang diutusNya, sebagai langkah untuk memberi bimbingan kepada manusia, sebagai pembuktian bahawa ilmu Allah itu Maha Tinggi dan juga sebagai cabaran kepada sasterawan-sasterawan di zaman itu mahupun zaman sekarang.
Apabila seseorang telah percaya kepada Kitab Allah Subhanahu wa ta’ala  khasnya al-Quran sudah pasti mereka akan sentiasa membacanya kerana dengan membaca sahaja sudah mendapat pahala berlipat ganda. Membaca al-Quran menjadi kesenangan mereka, justeru itu mereka membaca siang dan malam, ketika senang dan susah, ketika sedih dan gembira bahkan al-Quran menjadi bahan bacaan utama. Mereka jadikan al-Quran sebagai penawar hati yang resah gelisah.

BERIMAN KEPADA RASUL
Umat Islam wajib yakin dan percaya bahawa Allah telah mengutuskan para nabi dan rasul kepada manusia ke dunia ini bagi menunjukkan jalan ke arah kebenaran dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Nabi ialah lelaki pilihan Allah yang mulia dan suci, kepadanya dikurniakan wahyu, antara lain berupa syariat Allah. Tetapi wahyu itu hanya untuk dirinya sendiri, bukan untuk disampaikan kepada orang ramai. Menurut suatu riwayat dari Mardawih, jumlah Nabi adalah 124000 orang semuanya. Rasul ialah lelaki pilihan Allah yang mulia dan suci, kepadanya dikurniakan wahyu-wahyu Allah, yang antara lain berupa syariat, dan mereka diwajibkan menyampaikan kepada manusia, serta diperintahkan untuk digunakan dan dipedomani dalam hidup dan kehidupan manusia pada zamannya. Kecuali Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, ajaran yang dibawanya bukan hanya untuk manusia pada zamannya sahaja, tetapi untuk dipakai oleh manusia seluruhnya dalam segala keadaan, tempat dan zaman.
Jumlah Rasul keseluruhannya adalah 313 orang, tetapi yang wajib diketahui dan namanya termaktub dalam al-Quran hanyalah 25 orang, iaitu Adam ‘alaihis salam, Idris ‘alaihis salam, Nuh ‘alaihis salam, Hud ‘alaihis salam, Solleh ‘alaihis salam, Ibrahim ‘alaihis salam, Lut ‘alaihis salam, Ismail ‘alaihis salam, Ishak ‘alaihis salam, Yaakob ‘alaihis salam, Yusuf ‘alaihis salam, Ayub ‘alaihis salam, Syuib ‘alaihis salam, Musa ‘alaihis salam, Harun ‘alaihis salam, Zulkifli ‘alaihis salam, Daud ‘alaihis salam, Sulaiman ‘alaihis salam, Ilias ‘alaihis salam, Iliasa’ ‘alaihis salam, Yunus ‘alaihis salam, Zakaria ‘alaihis salam, Yahya ‘alaihis salam, Isa ‘alaihis salam  dan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. rasul-rasul Ulul Azmi ialah Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Noh.
Sifat-sifat wajib bagi rasul ialah siddiq (benar), amanah, Tabligh (wajib menyampaikan) dan fathonah (cerdik). Sifat-sifat mustahil bagi rasul pula ialah kazib (dusta), khianat, menyembunyikan dan bodoh.
Tugas-tugas rasul ialah menyeru manusia supaya menyembah Allah dan menyampaikan berita gembira disamping memberi peringatan tentang azab Allah. Rasul juga berperanan membetulkan akhidah manusia dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.
Setiap insan yang telah percaya kepada rasul khasnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam  akan sentiasa mematuhi dan mengamalkan sunnahnya. Mereka sering berasa takut dan bimbang perbuatan mereka bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT
Beriman kepada hari Akhirat atau Qiamat bermaksud beriktikad bahawa seluruh alam semesta ini pasti akan mengalami kemusnahan dan keberakhirannya, seterusnya dibangkitkan satu alam baru untuk dihitungkan segala amalan-amalan yang dilakukan didunia bagi menentukan kehidupan abadi mereka samada memperolehi Syurga (kenikmatan) atau Neraka (kesengsaraan). Bila waktunya berlaku tidak seorang pun tahu, hanya Allah Yang Maha Mengetahui bila berlakunya hari Qiamat itu.
Terdapat berbagai nama hari Qiamat sebagaimana yang selalu disebut dalam al-Quran, seperti Yaumul Akhirat (Hari Penghabisan), Yaumul Hisab (Hari Pembalasan) dan lain-lain lagi. Antara tanda-tanda besar berlakunya Hari Qiamat adalah matahari terbit dari arah barat, munculnya Imam Al-Mahdi, keluarnya dajjal, turunnya Nabi Isa ‘alaihis salam  dan keluarnya Yajuj dan Ma’juj. Peristiwa-peristiwa besar dan dahsyat yang akan berlaku hari Qiamat kelak ialah langit pecah dan belah, bintang-bintang jatuh dan bertaburan, matahari digulung dan padam cahayanya, bulan terbelah dan bersatu dengan matahari, bumi menjadi goncang kemudian menjadi rata, laut-laut melimpah dan terjadilah banjir besar, gunung-gunung berterbangan (meletus dan terjadi gempa yang amat dahsyat).
Apabila sangkakala ditiup, maka berlakulah hari Qiamat. Seterusnya manusia akan mengalami kebangkitan dari alam kubur, berkumpul di Padang Mahsyar, Syafaat ‘Uzma, Mizan, Titian As-Sirat, seterusnya Syurga dan Neraka.
Seseorang yang tidak ragu tentang hari akhirat akan takut melakukan dosa kerana mereka yakin bahawa setiap orang yang berdosa akan menerima azab neraka, sedangkan orang yang berpahala akan mendapat nikmat syurga. Disamping itu mereka yakin bahawa semua janji Allah Subhanahu wa ta’ala  adalah benar.

BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR
Beriman kepada Qada’ dan Qadar bererti bahawa seseorang itu mestilah yakin dan percaya bahawa segala yang berlaku di dalam alam ini, apa yang berlaku kepada dirinya, sama ada disukai atau tidak disukai, baik atau buruk, sengaja atau tidak sengaja, sedar atau lupa, dirancang atau tidak dirancang, sihat atau sakitnya, jaya atau gagalnya semuanya adalah Qada’ dan Qadar Allah Subhanahu wa ta’ala  yang telah ditetapkan olehNya.
Qada’ ialah hukum Allah tentang mewujudkan sesuatu dengan segala sifat sesuatu itu. Qadar pula ialah ilmu Allah di zaman azali (sebelum terjadi sesuatu), tentang sifat-sifat dan katentuan makhlukNya.
Hukum beriman kepada Qada’ dan Qadar ini adalah wajib. Orang-orang yang tidak percaya kepada rukun iman yang keenam ini adalah kafir. Sebagai seorang mukmin, kita wajib sabar dan redha menerima segala ketentuan Ilahi sekiranya sesuatu berlaku kepada kita. Segala yang berlaku mengandungi hikmah yang belum dapat diselami oleh manusia.
Qada’ dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Qada’ dan Qadar Mubram dan Qada’ dan Qadar Muallaq. Qada’ dan Qadar Mubram ialah ketentuan Allah yang mesti berlaku dan tidak dapat dielak dan diubah oleh manusia. Qada’ dan Qadar Muallaq ialah Qada’ dan Qadar yang digantungkan, iaitu masih dapat berubah.
Beriman kepada Qada’ dan Qadar dapat menghilangkan kekacauan pemikiran dan kesulitan yang dihadapi. Hal ini kerana seseorang itu telah percaya sepenuhnya kepada taqdir Allah untuk menentukan sesuatu disamping usahanya sendiri. Sesuatu musibah atau penderitaan yang menimpa kita akan kita rasakan seolah-olah tidak akan berakhir jika kita bersusah hati. Sebaliknya apabila kita hadapi dengan tenang, tabah dan sentiasa memperkukuhkan keimanan kita kepada Qada’ dan Qadar, kita akan memperoleh petunjuk daripadaNya.

PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MEMBATALKAN IMAN
Dalam menjalankan aktiviti seharian, ada kalanya manusia tidak menyedari bahawa mereka ada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan iman seseorang. Terdapat tiga cara bagaimana iman itu boleh terbatal iaitu iktiqad, perkataan dan perbuatan.
Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab seperti kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau lebih sifat-sifat yang wajib pada Allah. Contohnya, ragu dengan qudrat (kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi bekas selain dari Allah. Sebab-sebab lain ialah ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, hari qiamat dan alam barzakh, ragu dengan satu atau lebih mengenai sifat-sifat rasul serta ragu tentang mampunya al-Quran (Islam) sebagai pembawa keselamatan. Semua perkara yang disuruh beriman oleh Allah, adalah membawa kepada rosaknya iman seseorang jika timbul keraguan di dalam hati, perkataan dan perbuatannya. Oleh itu, amat perlu bagi tiap-tiap individu menilik ke dalam hatinya, untuk memastikan bahawa tiada sebarang keraguan olehnya tentang perkara-perkara yang disuruh yakin oleh Allah.
Iman boleh juga rosak melalui perkataan. Ini berlaku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan-perkataan yang boleh merosakkan iman ialah mengatakan Allah zalim, kejam, tidak adil, bodoh dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah, mengata dan mencaci Rasulullah sama ada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran Rasulullah, mengatakan agama Islam tidak sesuai untuk semua zaman. Ia hanya sesuai untuk zaman unta sahaja. Antara contoh lain adalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Contohnya menghalalkan arak, judi, zina dan lain-lain lagi. Apa sahaja perkataan yang dikeluarkan berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sedar atau tidak adalah merosakkan iman. Jadi kita perlulah berhati-hati ketika bercakap disamping kita dalami pengetahuan tentang bentuk-bentuk perkataan yang boleh membawa kepada rosaknya iman kita.

Kerosakan iman boleh juga berlaku kerana perbuatan kita. Di antara perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan iman ialah sujud pada selain dari Allah, sama ada pada patung, pokok, kayu dan matahari, serta merai dan membesarkan hari agama bangsa lain. Seseorang yang telah melakukan salah satu daripada perkara di atas dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya. Dengan kata lain ia telah murtad. Ini adalah dosa yang terbesar dan tidak terampun.
Seseorang yang telah murtad wajiblah bertaubat. Syarat-syarat taubat bagi orang murtad ada dua iaitu mengucap dua kalimah syahadah serta memperbaharui dan membetulkan keyakinan tentang apa yang telah diragui, dikatakan dan dilakukan. Hanya dengan memenuhi syarat-syarat ini sahaja dosa akan diampunkan dan amal ibadah akan dinilai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kesemua enam perkara dalam Rukun Iman itu berkaitan rapat antara satu sama lain, bahkan tidak boleh dipisahkan sebagaimana anggota-anggota pada tubuh badan. Tidak sah iman seseorang jika hanya percaya kepada salah satu atau sebahagian daripada Rukun Iman itu sahaja. Beriman kepada Allah hendaklah disertai dengan beriman kepada lima Rukun Iman yang lainnya iaitu beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada hari Qiamat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Iman boleh terbatal melalui tiga cara iaitu iktiqad, perkataan dan perbuatan.
Kita wajib beriman dengan keenam-enam Rukun Iman bagi mengelakkan terbatalnya iman. Sumber iman ialah Kitab suci al-Quran dan hadis Rasulullah. Iman itu kadangkala bertambah disebabkan ketaatan dan kadangkala berkurang disebabkan kemaksiatan. Orang yang kurang imannya usahkan disebut nama Allah, dibaca ayat-ayat allah berguni-guni pun dia selamba sahaja seperti batang kayu mati dan seolah-olah tidak rasa apa-apa. Bagi golongan yang kurang imannya, hanya lagu-lagu dan nyanyian-nyanyian sahaja yang boleh mententeramkan jiwa mereka. Iman juga kadangkala boleh menjadi lemah disebabkan kemungkaran-kemungkaran yang berlaku.
Sebagai umat Islam, kita haruslah mendalami, memahami dan mengamalkan rukun-rukun iman ini bagi mengelakkan hidup kita terpesong dan seterusnya kita juga perlu membendung budaya-budaya yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat pada hari ini terutamanya dalam kalangan remaja. Dengan adanya iman yang teguh dalam diri setiap umat Islam, kita pasti dapat menepis segala hasutan syaitan dan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan ajaran agama-agama lain.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com