Taju: ISLAM MENCAKUPI SELURUH ASPEK KEHIDUPAN

BSTRAK
Islam merupakan agama yang sempurna bererti lengkap, menyeluruh dan mencakup segala hal yang diperlukan bagi panduan hidup manusia. Sebagai petunjuk dan pegangan dalam hidupnya, sehingga dapat menjalani hidup dengan baik, teratur dan sejahtera, mendapatkan kebahagiaan hidup baik di dunia maupun di akhirat. Islam adalah sistem yang menyeluruh, mencakup seluruh sisi kehidupan. Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti ibadah, pentadbiran dan juga ekonomi. Ibadah dalam Islam menjangkau keseluruhan kewujudan manusia secara penuh. Seorang muslim beribadah kepada Allah dengan lisan, fizikal, hati, akal, dan bahkan kekayaannya. Lisannya mampu berzikir, berdoa, tilawah, amar ma’ruf nahi munkar. Fizikalnya mengiringi dengan berdiri, ruku’ dan sujud, puasa dan berbuka, berjihad dan berolah raga, membantu mereka yang memerlukan. Hatinya beribadah dengan rasa takut dan bertawakal kepada Allah. Akalnya beribadah dengan berfikir dan merenungkan kebesaran dan ciptaan Allah dan akhirnya hartanya diinfakkan untuk perbelanjaan yang diperintahkan Allah serta membawa kemaslahatan bersama. Dari segi pentadbiran pula, prinsip yang digunakan ialah syura dan keadilan. Syura menjadi faktor utama ke arah kejayaan sistem politik dan pentadbiran Islam. Prinsip keadilan pula dituntut dalam Islam untuk dilaksanakan tanpa mengira perbezaan dari sudut apapun. Dan yang terakhir dari sudut ekonomi, Islam melarang tegas riba dalam urusan perniagaan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesetengah individu Muslim. Kesempurnaan Islam yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia dan merupakan satu-satunya diin yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala menjadikannya satu-satunya agama yang benar. 
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai. ” (QS. At Taubah 9: 33). 
Beruntunglah bagi setiap manusia yang diberikan hidayah oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dapat merasakan nikmat berislam dan menjauhkannya dari kesesatan hidup jahiliyah. Jagalah nikmat iman dan Islam dengan menerapkan Islam secara menyeluruh sehingga wujud kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. 

PENDAHULUAN
Islam adalah cara hidup seimbang yang mengutamakan pembangunan intelektual, material dan jiwa, wajar dimanifestasikan mengikut objektifnya yang sebenar. Untuk itu, tidak cukup bagi kita sekadar berbicara tentang kehebatan Islam tanpa kita sendiri memahami dengan jelas bagaimanakah Islam yang sebenar. 
Islam agama syumul (menyeluruh), mencakupi semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fitrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah. 
Seseorang yang ingin memahami Islam perlu pertamanya memahami prinsip-prinsip dan ciri-ciri utama agama Islam. Prinsip – prinsip utama ini ialah dari aspek ibadah, pentadbiran dan ekonomi dalam Islam yang juga merupakan isi yang terkandung dalam dokumen ini. Untuk mengenalinya pula, kita perlukan pengetahuan tentang sumber-sumber syariah Islam, kaedah memahami sumber, serta kaedah mengelakkan pemahaman yang saling bercanggahan antara dalil dalam sumber syariah Islam. 
Pemahaman yang baik terhadap syariah akan membuahkan keseimbangan pemikiran serta hanya dengan ini Islam sebagai umat pertengahan dapat dilahirkan. Hanya masyarakat yang berada pada tahap pertengahan dan seimbang sahaja dapat menilai sesuatu kebenaran dan kebatilan dengan cara yang baik. 
Firman Allah: Dan demikianlah Kami jadikan kamu wahai umat Muhammad satu umat pertengahan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)... (Al-Baqarah: 143) 

1. Ibadah Dalam Islam
Apa tujuan hidup kita sebagai seorang Muslim?
Tujuan hidup kita sebagai seorang Muslim ialah mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala agar mendapat kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Pengabdikan dalam bahasa Al-Quran boleh ditakrifkan dengan istilah ibadah. Ibadah boleh diertikan sebagai solat. Ibadah lebih luas lagi boleh diertikan sebagai semua perbuatan mahupun tindakan, baik yang kelihatan mahupun semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala 
 (Meorsaleh. H, Islam Agamaku (1988) : 13) 
Terdapat beberapa langkah untuk mendapat kesempurnaan dalam ibadah. Langkah yang pertama ialah Iman. Iman ialah mengaku dengan hati, berikrar dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota. Dalam erti kata lain, tertanam di dalam hati seseorang dan terpaku difikirannya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah Subhanahu wa ta’ala dan tidak ada tujuan yang dicarinya di dalam hidup ini dengan segala usaha dan kerjanya melainkan Allah Subhanahu wa ta’ala serta keredhaanNya dan tidak ada undang-undang melainkan suruhan dan tegahan Allah Subhanahu wa ta’ala 
 (Maududi Abul A’la S, Cara Hidup Islam (1988) : 98) 
Peringakat yang kedua ialah taat setia yang bermaksud mematuhi Allah, Tuhan yang diyakininya dan yang dipercayainya bahawa tidak ada Tuhan lain melainkan Allah Subhanahu wa ta’ala Peringkat ketiga ialah Taqwa. Taqwa ialah menjalankan hari-hari dalam hidupnya dengan membezakan di antara yang halal dan yang haram, di antara betul dan salah, di antara baik dan jahat dan ini semua dengan kesedaran yang cukup. 
 (Maududi Abul A’la S, Cara Hidup Islam (1988) : 99) 
Peringkat yang terakhir iaitu peringkat yang paling tinggi ialah Ihsan. Ihsan ertinya kehendak hamba yang disebatikan dengan kehendak Tuhan, sehingga dia tidak menyukai melainkan apa yang disukai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan tidak membenci melainkan apa yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa ta’ala 
 (Maududi Abul A’la S, Cara Hidup Islam (1988) : 99

2. Sistem Pentadbiran Dalam Islam. 
Perlembagaan Madinah atau Sahifah Madinah telah dianggap perlembagaan bertulis yang pertama sekali di dunia. Perlembagaan ini ditulis pada tahun pertama Hijrah iaitu tidak lama sesudah baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tiba di sana. Perlembagaan ini ditulis dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah- masalah seperti yg berikut :
I. Untuk menentukan hak-hak dan kewajipan baginda dan penduduk setempat. 
II. Untuk mengatur cara pemulihan kehidupan orang-orang Mujahirin. 
III. Untuk mewujudkan persefahaman dengan orang bukan Islam di Madinah, khasnya orang Yahudi. 
IV. Untuk mengatur kesatuan politik dan pertahanan Madinah. 
V. Untuk memberi pampasan kepada orang-orang Mujahirin yang kehilangan harta dan aggota keluarga ditangan orang-orang Quraisy Mekah. 
 (Hamidullah, The First Written Constitution in World (1975) : 15) 
Perlembagaan ini memperkenalkan konsep sebuah masyarakat yang bersatu (ummah) yang masing-masing mempunyai hak-hak dan kewajipan-kewajipan yang sama dan saling hormat-menghormati tanpa mengira jumlah bilangan. Perlembagaan ini juga memperkenalkan konsep persaudaraan, bantu-membantu dalam peprangan yang tidak bercorak agama, persamaaan dan kebebasan. 
 (Md. Akhir, Perlembagaan Islam : Satu Pendekatan Perbandingan (1988) : 15) 
Tauhid, Risalat dan Khilafat adalah tiga tonggak yang didirikan di atas binaan sistem pentadbiran Islam. Tauhid bermaksud Allah Subhanahu wa ta’ala itu pencipta alam ini berserta manusia yang ada di dalamnya. Risalat ialah saluran yang melaluinya undang-undang Illahi sampai kepada kita (keRasulan). Khilafat ialah wakilan manusia di dalam alam ini mewakili Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kerajaanNya. 
 (Maududi Abul A’la S, Cara Hidup Islam (1988) : 44) 
Terdapat tiga sumber pentadbiran Islam zaman kini iaitu pertama ialah Al-Quran. Al-Quran ialah sumber pertama kepada seluruh hukum syara’ atau dengan kata lain ianya merupakan sumber pertama bagi berbagai-bagai kaedah undang-undang syara’ dan ini bermakna Al-Quran juga menjadi sumber pertama bagi undang-undang perlembagaan Islam. Sumber kedua ialah As-sunnah. Tetapi bukan semuanya sunnah Rasulullah menjadi perundangan. Sunnah yang menjadi perundangan adalah sunnah yang mempunyai hujjah syara’ yang pasti dikenakan untuk ke atas orang-orang Islam dan yang tidak pula ialah semua perbuatan yang dilakukan baginda yang bersifat kemanusiaan. Seterusnya ialah ijma’ dan qias. Ijma’ dan qias adalah satu sumber undang-undang Islam yang tergolong dalam sumber yang tidak dipraktikkan. 
 (Md. Akhir, Perlembagaan Islam : Satu Pendekatan Perbandingan (1988) : 31-45) 
Prinsip yang terlibat dalam pentadbiran Islam ialah syura dan prinsip keadilan. Suruhan dan perintah supaya mengamalkan prinsip ini terdapat di dalam Al- Quran. 
“Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan sembahyang sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat diantara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian dan rezeki yang kami berikan kepada mereka”
Surah Al- Sura : 38
“ Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan”
Surah An-Nahlu : 90
 (Md. Akhir, Perlembagaan Islam : Satu Pendekatan Perbandingan (1988) : 61, 79) 

3. Sistem Ekonomi Dalam Islam. 
Ekonomi Islam mempunyai hubungan yang erat dengan agama, aqidah dan syariat Islam. Aktiviti ekonomi Islam dianggap sebagai satu ibadah jika bertujuan untuk mencapai keredhaan Allah dan telah diniatkan untuknya. 
“ Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amat bergantung pada niat, maka siapa yang berhijrah semata-mata kerana Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah, maka hijrah itu diterima Allah dan Rasulullah. Dan siapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadaNya.. ”
 (Hadis Riwayat Umar Al-Khattab) 
Dalam etika ekonomi Islam, kekayaan dianggap sebagai satu alat bagi kebahagiaan manusia dan untuk meningkatkan keupayaan bagi berbakti kepada Allah Subhanahu wa ta’ala Justeru itu, ia tidak dikeji malahan mengecap nikmat dan rezeki dari Allah. Ciri ekonomi Islam ini membezakan kegiatan ekonomi Islam dengan sistem ekonomi ciptaan manusia yang memberi tumpuan kepada material semata-mata. 
 (Hashim Rosnani, Ekonomi dan Pendidikan Dari Perspektif Islam (2000) : 88) 
Terdapat tiga asas falsafah ekonomi Islam yang tergambar dalam konsep Tauhid. Pertama ialah alam ini milik Allah Subhanahu wa ta’ala Keduanya ialah hanya Tuhan yang Esa dan yang lain tunduk dan patuh kepadaNya. Ketiga ialah kepercayaan Hari Pembalasan. 
 (Hashim Rosnani, Ekonomi dan Pendidikan Dari Perspektif Islam (2000) : 90) 
Prinsip-prinsip asas dalam ekonomi Islam ialah a) kebebasan yang terhad dan tertakluk kepada nilai-nilai akhlak b) hak milik dan c) campurtangan pihak berkuasa. Ekonomi Islam mengharamkan penipuan, rasuah dan seumpamanya. Tujuan pengharaman adalah untuk a) memupuk rasa tanggungjawab terhadap sesama anggota masyarakat b) menutup jalan kearah monopoli dan kekayaan pada segelintir manusia c) menggalakkan seseorang bekerja keras mengikut kemampuannya dan dengan cara yang dibolehkan oleh syariat Islam dan d) menggalakkan pelaburan pada modal yang dibekukan. 
 (Hashim Rosnani, Ekonomi dan Pendidikan Dari Perspektif Islam (2000) : 91) 

KESIMPULAN. 
Justeru, di mana kita? Di mana Islam yang sebenar? Sebagaimana kata Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Sebelum berbangga dengan kehebatan syariah Islam, fahami dulu syariah Islam dengan kefahaman yang sempurna dan menyeluruh, bukan kefahaman yang separuh-separuh atau dari sudut-sudut tertentu. ''
Terdapat banyak kesan akibat gagal memahami Islam secara menyeluruh. Pertama ialah lahirlah golongan yang melampau dalam beragama. Golongan inilah yang telah diberi amaran oleh Rasulullah supaya kita berwaspada. 
Sabda baginda dalam sebuah hadis: Awaslah dengan sikap melampau dalam beragama. Sesungguhnya umat terdahulu telah hancur akibat sikap melampau dalam beragama!'' Dalam sebuah hadis lain Rasulullah mengulang-ulang, Hancurlah mereka yang melampau, hancurlah mereka yang melampau, hancurlah mereka yang melampau! Islam sebetulnya menggalakkan umatnya beramal dengan ajaran Islam. 
Satu lagi impak yang saling berlawanan akibat gagal memahami Islam dengan baik, iaitu golongan yang melihat Islam hanya sekadar aspek ritual sahaja. Islam mereka cuma sebelah malam bersembahyang di masjid, tetapi kerja-kerja seharian mereka terpisah dengan Islam. Persoalan aurat, batas pergaulan, akhlak dan hukum-hukum lain dilihat terpisah daripada tugas-tugas seharian. Sebab itu masih ada mereka yang mendedahkan tubuh badan tetapi masih mampu berkata bahawa mereka sedang mencari rezeki yang halal. Tanpa mereka sedari perbuatan mereka bukan sahaja bertentangan dengan nas hukum tetapi bertentangan juga dengan semangat syariah yang mahu menjaga kemaslahatan masyarakat. 
Dalam aspek yang lain, kegagalan memahami syariah boleh menyebabkan ada yang cenderung menggunakan akal secara keterlaluan dalam penilaian hukum. Penilaian mereka ini lebih cenderung kepada penggunaan akal semata-mata tanpa merujuk pentafsiran oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam Sekali pun mereka mengikuti al-Quran, namun mereka mentafsirkan al-Quran itu berasaskan kepada akal mereka semata-mata tanpa panduan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam Daripada aliran inilah juga lahirnya golongan anti-hadis atau anti-sunah. Golongan ini menolak sunah atau hadis nabi, dengan alasan bahawa sebarang perbuatan atau perkataan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam hanyalah sesuai untuk zaman itu sahaja. 
Wa akhiru da’wana anilhamdulillahi rabbil ‘alamin... 

RUJUKAN. 
i. Al-Quran
ii. As-sunnah
iii. Hj. Yaacob, Md. Akhir (1988). Perlembagaan Islam : Satu Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur : Al-Rahmaniah (Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia). 
iv. Suhaili, Abdullah (1984). Prinsip-prinsip Isla. Singapore : Bismi Publishers Singapore. 
v. Hashim, Rosnani (2000). Ekonomi dan Pendidikan dari Perspektif Islam. Hulu Kelang, Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka. 
vi. Meorsaleh. H (1988). Islam Agamaku. Jakarta : Penerbit Kalam Mulia Jakarta. 
vii. Maududi Abul A’la S (1988). Cara Hidup Islam. Jalan Kuda Kepang, Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar. 

Ustaz Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com