Tajuk: Zakat Menjadikan Masyarakat Islam Terbela

ABSTRAK
Pengertian zakat dari segi bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Menurut istilah agama Islam pula, zakat bererti kadar harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya, dengan beberapa syarat. Antara tujuan dan hikmah zakat ialah dapat membantu umat Islam yang fakir dan miskin dan meringankan beban mereka, merapatkan jurang pemisah di kalangan anggota-anggota masyarakat dan juga zakat sebagai sumber pembangunan masyarakat. Selain itu, antara amaran-amaran terhadap golongan yang enggan menunaikan zakat antaranya ialah sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan hendaklah diminta supaya bertaubat. Empat kelebihan mengeluarkan zakat ialah solat dan zakat adalah seiring di mana solat tidak akan diterima jika tidak menunaikan zakat, zakat menyempurnakan perhambaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, harta akan selamat dengan zakat dan keburukan harta akan terhapus dengan penunaian kewajipan berzakat. Kesimpulannya, zakat merupakan rukun Islam yang ketiga setelah Syahadah dan Sembahyang, sehingga merupakan ajaran yang sangat penting bagi kaum muslimin. Zakat juga merupakan dana membangunkan umat Islam dalam setiap aspek kehidupan kerana ketika krisis ekonomi merundum berlaku, masyarakat masih mampu memberikan sebahagian hartanya melalui zakat, infaq dan sedekahnya untuk meringankan penderitaan saudaranya yang lain, baik yang di daerah krisis, bencana, konflik, dan daerah yang lain.

PENDAHULUAN
Pengertian zakat dari segi bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Menurut istilah agama Islam pula, zakat bererti kadar harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya, dengan beberapa syarat. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata : “Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima, fardhu ‘ain atas tiap-tiap orang yang cukup syarat-syaratnya. Zakat mulai diwajibkan pada tahun yang kedua Hijrah.

Firman Allah SWT: “Dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat hartamu” (An Nisa’ 77)

Firman Allah SWT: “Ambillah dari harta mereka sedekah (zakat untuk membersihkan mereka dan menghapuskan kesalahan mereka” (At Taubah 103)

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud : Dari Abu Hurairah : Telah berkata Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam : “Seseorang yang menyimpan hartanya dan tidak dikeluarkan zakatnya akan dibakar dalam neraka jahanam. Baginya dibuatkan seterika dari api kemudian diseterikakan ke badannya”. (Riwayat Ahmad Dan Muslim)

1. Tujuan dan Hikmah Zakat

Zakat telah difardukan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya. Ia mempunyai hikmah dan tujuan yang banyak antara lainnya ialah :

 (a) Membantu umat Islam yang fakir dan miskin dan meringankan beban mereka.
Walaupun Allah (Subhanahu wa ta’ala) menjadikan manusia sama sahaja dari segi bentuk dan rupa,  namun kedudukan dan taraf kehidupan seseorang di kalangan masyarakat tidak sama. Terdapat golongan yang senang dan susah. Namun demikian setiap orang dituntut untuk saling tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Justeru itu, zakat adalah merupakan satu bentuk bantuan orang-orang kaya kepada orang-orang fakir dan miskin. Malah Allah telah memberitahu bahawa dalam setiap harta-harta yang dimiliki Itu terhadap hak orang-orang miskin di dalamnya.

 (b) Merapatkan jurang pemisah di kalangan anggota-anggota masyarakat.
Memandangkan keadaan dan taraf hidup umat Islam di kalangan masyarakat tidak
sama secara tidak langsung wujudlah satu jurang pemisah antara golongan kaya dan golongan miskin. Lebih memburukkan keadaan jika sikap golongan kaya dan bukan sahaja bakhil malah sombong dan suka menunjuk-nunjuk. Sikap ini akan menumbuhkan rasa iri hati dan dengki yang menyebabkan golongan miskin memusuhi golongan kaya. Sebaliknya dengan pemberian zakat secara tidak langsung golongan kaya telah bermurah hati membantu golongan miskin. Ia akan mewujudkan satu keadaan di mana golongan miskin rasa terhutang budi dan menghormati golongan kaya.

 (c) Zakat sebagai sumber pembangunan masyarakat.
Apabila terdapat jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin maka sukar masyarakat tersebut hendak membangun. Apabila zakat berfungsi dengan betul, maka terdapat agihan harta di kalangan masyarakat di mana golongan miskin akan mendapat manfaat dengan kewujudan golongan kaya dan golongan kaya pula akan mendapat manfaat doa orang-orang miskin.


2. Amaran Terhadap Tidak Menunaikan Zakat

Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hokum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r. a, daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam baginda bersabda, “Tidak seorang pun di kalangan hamba yang tidak membayar zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti hartanya akan diperlihatkan kepadanya sebagai seekor ular yang sangat besar dan sangat berbisa lalu membelit lehernya”. Kemudian Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca kepada kami ayat suci al-Quran yang menegaskan lagi perkara tersebut:

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. ”  (Surah Ali Imran :180)

Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. a katanya : Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tidak seorang pun yang memilih emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka, kemudian dipanaskan di dalam neraka jahanam, seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada waktu itu, setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah di ditempatkan ke syurga atau ke neraka. ” (Hadis riwayat Imam Muslim)

3. Kelebihan Mengeluarkan Zakat

 (a) Solat dan zakat adalah seiring : Solat tidak akan diterima jika tidak menunaikan zakat
Menunaikan zakat adalah salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Menurut pendapat yang termasyur Allah (Subhanahu wa ta’ala) telah berfirman mengenai zakat serta sembahyang sebanyak lapan puluh kali di dalam Al-Quran.
Di dalam sebuah hadis, telah dinyatakan bahawa Allah (Subhanahu wa ta’ala) tidak menerima sembahyang seseorang yang tidak menunaikan zakat. Sebab, di dalam ayat-ayat Al-Quran, Allah (Subhanahu wa ta’ala) telah memerintahkan untuk menunaikan zakat beserta dengan perintah untuk mengerjakan sembahyang.

 (b) Zakat menyempurnakan perhambaan kepada Allah SWT
Sembahyang merupakan jalan untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat di sisi Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan zakat adalah merupakan penyempurnaan kepada matlamat tersebut. Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman, yang maksudnya lebih kurang adalah, “Keluarkanlah sebahagiankecil daripada pemberianKu iaitu sebanyak dua setengah peratus kepada fakir miskin yang menyebut namaKu”.

 (c) Harta akan selamat dengan zakat
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda, “Selamatkanlah hartamu dengan zakat, ubatkanlah pesakit-pesakitmum dengan sedekah dan hadapilah ombak-ombak bala musibah dengan doa dan tawaddhu terhadap Allah Subhanahu wa ta’ala. (Tabrani ; Baihaqi ; Targhib) .
Makna Taksin adalah mengadakan kubu di sekeliling diri sendiri. Yakni sepertimana manusia terselamat di dalam kubu, demikianlah harta terselamt dengan zakat, seolah-olah di dalam kubu.

 (d) Keburukan harta akan terhapus dengan penunaian kewajipan berzakat.
Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda bahawa apabila seseorang menunaikan zakat, maka keburukan hartanya terhapus. (Tabrani ; Ibnu Khazimah ; Muslim ; Targhib) .

KESIMPULAN
Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga setelah Syahadah dan Sembahyang, sehingga merupakan ajaran yang sangat penting bagi kaum muslimin. Jika saat ini kaum muslimin sudah sangat faham tentang kewajipan sembahyang dan manfaatnya dalam membentuk kesolehan peribadi, namun tidak demikian pemahamannya terhadap kewajipan zakat yang berfungsi untuk membentuk kesolehan sosial.

Dalam sejarah perjalanan masyarakat Islam, ajaran zakat sudah mulai dilupakan dan disempitkan ertinya. Zakat seolah-olah hanya merupakan kewajipan individu terhadap perintah Allah ini. Sehingga zakat menjadi apa yang sering disebut sebagai ibadah mahdhah individu kaum muslimin.

Dalam akhir abad kedua puluh ini, bersamaan dengan kebangkitan kembali umat Islam di berbagai sektor kehidupan, ajaran zakat juga menjadi salah satu sector yang mulai digali dari berbagai dimensinya. Meningkatnya kesejahteraan ummat Islam memberikan harapan baru dalam menguatkuasakan zakat. Apalagi kebangkitan ekonomi di dunia barat khususnya yang didasari pemikiran kapitalistik telah menimbulkan berbagai masalah dalam kehidupan ini seperti jurang yang lebar dalam kehidupan sosial ekonomi.

Ketika krisis ekonomi merundum berlaku, masyarakat masih mampu memberikan sebahagian hartanya melalui zakat, infaq dan sedekahnya untuk meringankan penderitaan saudaranya yang lain, baik yang di daerah krisis, bencana, konflik, dan daerah yang lain.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com