Tajuk: Solat Merupakan Komunikasi Dengan Allah

ABSTRAK
Ibadah solat ini merupakan tiang agama. Di dalam ibadah solat inilah seseorang individu itu dapat berkomunikasi dengan Allah (Subhanahu wa ta’ala) dengan lebih dekat lagi. Seperti yang kita sedia maklum, di akhirat nanti, ibadah solat juga yang akan dihisab terlebih dahulu daripada amal perbuatan yang lain. Ibadah solat yang baik akan dianggap baik seluruh amal perbuatanya yang lain. Namun jika buruk ibadah solatnya maka buruklah segala amal perbuatannya yang lain. 

Solat berkualiti merangkumi aspek memahami apa itu erti solat, menjaga waktu solat itu seperti solat di awal waktu, dan juga bagaimana untuk mendapat solat yang berkualiti. Untuk isi kedua iaitu kesalahan-kesalahan di dalam solat, menceritakan tentang seseorang yang lalai di dalam solatnya, bersolat tetapi dianggap celaka dan juga yang riya’ melakukan solat. Bagi isi yang terakhir pula menerangkan keistimewaan-keistimewaan tentang solat ini. Solat merupakan fardu yang mula-mula difardukan. Solat juga adalah tiang agama dan yang paling istimewanya solat ini telah difardukan di langit pada malam Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam berjalan malam iaitu berisrak dan naik ke alam tinggi iaitu bermikraj. 

Ini dapat disimpukan, orang yang meninggalkan atau mengabaikan solat, rezekinya tidak berkat meskipun dia nampak kaya. Ancaman Allah terhadap golongan ini adalah cahaya soleh pada dirinya menjadi lenyap, muncul masalah-masalah yang membuatkan mereka tidak tenang dan tidak disukai oleh orang mukmin. Untuk mendapat solat yang berkualiti, sempurna dan mampu mencegah pelakunya dari perbuatan dosa dan kemungkaran, maka hendaklah dia menjauhi dosa-dosa besar dan kecil. 

PENDAHULUAN
Alhamdulillah segala syukur dan puji-pujian hanya kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, keluarga, sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya dari dahulu sampai hari kiamat. Moga-moga awal lafaz puji-pujian memberi keberkatan dan rahmat Allah (Subhanahu wa ta’ala) kepada kita dan seluruh umat Islam di mana juga mereka berada. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 
Sekali lagi saya teramat bersyukur kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) di atas segala kudrat dan iradat-Nya memberi keupayaan kepada saya yang serba daif ini untuk menulis sedikit sebanyak tentang tajuk yang telah diberi kepada saya iaitu mengenai solat. 
Ibadah solat ini merupakan tiang agama. Di dalam ibadah solat inilah seseorang individu itu dapat berkomunikasi dengan Allah (Subhanahu wa ta’ala) dengan lebih dekat lagi. Seperti yang kita sedia maklum, di akhirat nanti, ibadah solat jugalah yang akan dihisab terlebih dahulu daripada amal perbuatan yang lain. Ibadah solat yang baik akan dianggap baik seluruh amal perbuatanya yang lain. Namun jika buruk ibadah solatnya maka buruklah segala amal perbuatannya yang lain. 
Tuhan memerintahkan kita mendirikan solat, bukan bersolat. Maka seseorang yang mengerjakan solat menurut syarat yang ditentukan itu, tetapi kosong maknanya iaitu tidak berjiwa hendaklah memperbaiki teknik solatnya itu. Hendaklah mereka memahami makna-makna bacaan yang dibaca di dalam solat dan bersungguh-sungguh menghadapkan diri kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan berikhlas kepada-Nya. 
Orang yang beramal ibadah, sama ada sembahyang, menunaikan haji, mangeluarakan zakat dan sebagainya jika tidak dilandaskan niat yang ikhlas kerana Allah maka meraka akan tergolong dalam golongan yang diancam dengan seksa iaitu neraka. 

i) SOLAT BERKUALITI
Solat merupakan martabat paling sempurna dalam menghambakan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Allah (Subhanahu wa ta’ala) telah memerintahkan solat lima waktu untuk menegakkan sebutanNya, supaya kita dapat memakai hati, lidah dan anggota, sekaligus dalam kita memperhambakan diri kepada-Nya. Berfirman Allah (Subhanahu wa ta’ala) : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu”
 (Prof. Dr. T. M. Hasbi Ash Shiddieqy (1995). Hukum dan tuntutan solat :51) 
Perlu sama-sama kita menyedari bahawa yang dituntut semasa solat adalah usaha untuk meyakinkan yang kita sedang berhadap dengan Allah dan hati kita juga sedang dilihat oleh-Nya. Ini ditegaskan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud: Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah (Subhanahu wa ta’ala) mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke lain. (al-Bukhari dan Abu Daud) 
Sungguhpun waktu solat itu telah ditentukan, mengapa kita digalakkan agar tidak melengah-lengahkannya dan apakah ganjaran mereka yang bersolat di awal waktu? Keperluan untuk menunaikan solat di awal waktu jelas daripada hadis yang bermaksud: “Ditanya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu. ” (riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud). Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuk, sujud dan khusyuk maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang tidak bersolat, tidak dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujud dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya. ” (riwayat al-Tabrani dan Baihaqi). 
 (Ahmad Nazhari (2002). Neraka wail bagi orang yang solat : 29) 
ii) KESALAHAN-KESALAHAN DI DALAM SOLAT
Solat merupakan alat untuk menghadap kepada Allah. Bukan menghadap secara zahirnya, kerana jika menghadap secara zahirnya, tidak dijumpai Tuhan ada di depan kita. Tetapi yang dimaksudkan adalah menghadapkan jiwa kita kepada zat yang maha kuasa. Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman : “Sembahlah Aku dan dirikan sembahyang untuk mengingatKu”  (Tafsir Al-Quran surah Toha : 14)  

Jelaslah bahawa perintah solat itu untuk mengingat Allah. Bagaimana mungkin seseorang itu dikatakan sedang bersolat sedangkan fikirannya mengingat selain Allah. Walaupun badannya nampak khusyuk dan bacaanan sempurana namun bila hatinya memikirkan masalah-masalah hidup maka mereka dianggap lalai dalam solatnya. Kelalaian dalam solat merupakan suatu larangan. Adapun larangan bermakna sebagai sesuatu yang diharamkan.   (Ahmad Nazhari (2002). Neraka wail bagi orang yang solat : 32 : 33)  Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman : “... dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai. ”  (Tafsir Al-Quran surah Al-A’raf : 205)  

Jangan menyangka orang yang solat itu terhindar dari ancaman seksa Allah. Jika solatnya bagus sekalipun tetapi hatinya tersimpan keinginan untuk dipuji orang dan dianggap ahli ibadah, maka dia akan celaka. Inilah golongan yang solat tetapi celaka. Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman : “maka celakalah orang yang solat iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya; orang-orang yang riya. ”  (Tafsir Al-Quran surah Al-Ma’un : 4 - 6)  

Sungguh ramai di kalangan kita mengabaikan masalah riya’ ini. Barangkali terbatasnya ilmu pengetahuan tentang riya’ atau memang sengaja ingin mencari pujian kepada sesama manusai dalam beribadah. Sedangkan riya’ merupakan syirik kecil dan juga merosakan aqidah. Apabila aqidah rosak, maka celakalah sesorang di hadapan Allah Subhanahu wa ta’ala. Orang yang beramal ibadah kerana riya’ bereti dia tidak ikhlas dalam kepatuhan kepada Allah. Jika sesorang itu tidak ikhlas, maka jangan mengharapkan mendapat pahala. Dia akan celaka, kerana Allah mengancamnya dengan seksa. (Ahmad Nazhari (2002). Neraka wail bagi orang yang solat : 60) 

iii) KEISTIMEWAAN-KEISTIMEWAAN SOLAT
Kewajipan bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain. 

Dikatakan sunnat atau sunnah, kerana ia baik untuk dikerjakan seperti teladan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam Bila hal tersebut tidak dikerjakan (ada halangan atau sengaja ditinggalkan), maka tidak akan berdosa atau membatalkan solatnya. Berkata Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam : “Barangsiapa menghidupkan sunnahku ketika rosak umatku, maka baginya pahala seratus Syahid” (H. R. Al-Baihaqi dari Abu Hurairah Al Ibda’30) (Prof. Dr. T. M. Hasbi Ash Shiddieqy (1995). Hukum dan tuntutan solat :21) 

Dalam surah al-Mukmin ayat 8 hingga 11 yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya; mereka itulah orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (Tafsir Al-Quran : 342) 

Pahala bagi seorang yang menunaikan ibadah dengan ilmu amat berbeza dengan solat mereka yang tidak didasari ilmu. Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata: “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. (Jami’ Bayan al-‘Ilm wa fadlihi, Ibn Abd Barr, 1/27) 

Solat merupakan fardu yang mula-mula difardukan dari ibadah-ibadah badaniyah. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Ahmad, bahawasanya solat lah yang mula-mula Allah (Subhanahu wa ta’ala) fardukan, kepada RasulNya, di permulaan wahyu yang diwahyukan, sebelum diperintahkan ‘amal-amal’ dan fardu-fardu dari ‘ibadah-ibadah’ badaniyah yang lain. Solat juga merupakan tiang agama. Bersabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam : Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama. Hakikatnya solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan atau disempurnakan oleh setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun. masih ada di kalangan umat Islam yang tidak langsung mendirikan solat, kalau buat pun, ada yang melengah-lengahkan waktu solat, melakukan solat secara tergesa-gesa serta tidak khusyuk dan banyak lagi. (Prof. Dr. T. M. Hasbi Ash Shiddieqy (1995). Hukum dan tuntutan solat : 45) 

Solat lima waktu sehari semalam yang dilakukan oleh setiap individu Muslim ini telah difardukan di langit, pada malam Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam berisrak iaitu berjalan malam dan bermikraj iaitu naik ke alam tinggi. Peristiwa yang menggemparkan penduduk Mekah itu terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam berhijrah ke Madinah. Allah (Subhanahu wa ta’ala) memerintahkan solat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika Nabi menghadapiNya, dan Dia menegaskan bahawasanya solat itu suatu ibadah yang luar biasa dan juga suatu perbuatan yang sangat terhormat. (Prof. Dr. T. M. Hasbi Ash Shiddieqy (1995). Hukum dan tuntutan solat : 46 : 47) 

KESIMPULAN
Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis. Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam AS yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) yang merupakan Khaliq iaitu pencipta seluruh alam semesta ini. 
Solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. Sebagaimana disebut di dalam hadis: “Sempadan antara seorang itu Islam dan kafir adalah jika mereka meninggalkan solat. ” Ini bererti, mereka yang meninggalkan solat dikira sudah separuh badan di sempadan kekafiran yang amat berbahaya. 
Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat itu ialah seseorang yang kufur. Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib mendirikan solat. Kita juga hendaklah melakukan apa yang disuruh dan menghindarkan diri dari melakukan apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. 
Ini dapat disimpukan, orang yang meninggalkan atau mengabaikan solat, rezekinya tidak berkat meskipun dia nampak kaya. Ancaman Allah terhadap golongan ini adalah cahaya soleh pada dirinya menjadi lenyap, muncul masalah-masalah yang membuatkan mereka tidak tenang dan tidak disukai oleh orang mukmin. Untuk mendapat solat yang berkualiti, sempurna dan mampu mencegah pelakunya dari perbuatan dosa dan kemungkaran, maka hendaklah golongan ini menjauhi dosa-dosa besar dan kecil. 

RUJUKAN
1. Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan bin Mahmud bin Salman (2001). Koreksi Total Ritual Shalat, Penerbit Pustaka Azzam. 
2. Ahmad Nazhari (2002). Neraka wail bagi orang yang solat. Penerbit Jasmin Enterpraise. 
3. Prof. Dr. T. M. Hasbi Ash Shiddieqy (1995). Hukum dan tuntutan solat. Penerbit Thinker’s Library Sdn. Bhd., Malaysia. 


Ustaz Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com