Tajuk: Manusia Dijadikan Sebaik-Baik Kejadian

ABSTRAK
Allah Taala telah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian yang memiliki keistimewaan tertentu jika dibandingkan dengan makhluk ciptaanNya yang lain. Keistimewaan pertama ialah Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas ini merangkumi tugas memelihara kesejahteraan dan kemakmuran bumi antara alam dengan penghuninya, antara makhluk dengan makhluk, dan manusia dengan penciptaNya. Allah Taala berfirman, “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: sesungguhnya Aku hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”Tuhan berfirman: sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. Keistimewaan kedua ialah, Allah menciptakan manusia dengan memberikan hak kepada manusia untuk membuat pilihan atau perjalanan hidupnya di alam ini. Setiap yang dilakukan akan diberi perhitungan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Maka beruntunglah manusia yang beramal semasa kehidupannya. Keistimewaan ketiga dan yang terakhir yang dapat dijelaskan di sini ialah, manusia dikurniakan dengan akal fikiran. Penggunaan akal fikiran dengan baik akan membawa kepada kesejahteraan di dalam cara hidup. Dengan akal juga manusia dapat membezakan antara perkara buruk dengan perkara yang tidak baik.

PENDAHULUAN
Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan hidup bagi manusia, petunjuk serta rahmat bagi kaum yang percaya. Dia mengarahkan dan menunjukkan kepada kebenaran dan jalan yang lurus. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad, adalah hamba Allah dan utusan dari Allah.
Dalam memacu pembangunan negara secara holistik, modal insan yang bertaqwa dan mempunyai jiwa yang bersih serta integriti diri yang kukuh amat diperlukan. Dengan lahirnya tonggak-tonggak penggerak akan menjamin pembangunan negara terus dapat dipacu dan mendatangkan kebaikan kepada seluruh umat dan menjauhkan masyarakat daripada menanggung kesan yang menggugat keharmonian hidup. Antara asas kepada lahirnya tenaga kerja seperti ini ialah memahami nilai diri manusia yang telah dijadikan Allah di muka bumi. Nilai diri tersebut ialah, pengiktirafan manusia sebagai makhluk yang mulia berbanding dengan makhluk lain.

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DI MUKA BUMI.
Allah telah memuliakan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang dijadikan di atas muka bumi ini. Kemuliaan yang dianugerahkan kepada manusia ini dapat dilihat melalui beberapa keistimewaan yang ada padanya dan tidak ada pada makhluk yang lain. Keistimewaan pertama ialah sebagai khalifah di muka bumi.

Dalam firman Allah yang bermaksud, “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: sesungguhnya Aku hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”Tuhan berfirman: sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. (AL-BAQARAH:30)

Dengan hikmah Allah, keinginan untuk membangunkan muka bumi dan bekerja adalah antara citara asal yang ada dalam sanubari manusia. Konsep manusia sebagai khalifah ini juga dijelaskan oleh sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaannya. ”.

MANUSIA BEBAS MEMILIH.
Keistimewaan kewujudan manusia ialah, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih. Untuk menonjolkan kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain samada malaikat atau binatang serta alam benda yang lain, Allah telah memberikan kebebasan memilih kepada manusia dalam segala aspek yang bersifat iradi sekalipun dalam aspek akidah iman dan kufur serta perlakuan yang mengakibatkan pahala dan dosa.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia berasal daripada air mani yang bercampur antara lelaki dan perempuan untuk Kami uji. Kemudian Kami jadikan mereka boleh mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami memberikan petunjuk kepada mereka dua jalan samada jalan orang bersyukur atau jalan orang yang kufur” (Al-Insan: 2-3)

Dan Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Maka barang siapa yang mahu hendaklah dia beriman dan barang siapa yang mahu kafir biarlah dia kafir”.  (Al-Kahfi: 29)

Dengan adanya kebebasan memilih ini manusia dipertanggungjawabkan terhadap tindakan-tindakan yang dilakukannya di dunia untuk diperhitung di akhirat kelak. Dalam perbincangan ilmu fiqah konsep ini dinamakan sebagai taklif. Semua tindakan manusia akan dibicarakan samada kecil atau besar. Manusia tidak akan ada hujah lagi dihadapan Allah apabila tetap melakukan maksiat terhadapNya setelah segala keterangan tentang syariatNya diperjelaskan oleh Rasul.

MANUSIA MEMPUNYAI AKAL FIKIRAN.
Perbezaan paling ketara ialah manusia mempunyai akal
dan dengan terciptanya akal menyebabkan manusia itu lebih mulia daripada makhluk lain. Makhluk lain tidak mempunyai akal untuk mereka berfikir dan mencipta sesuatu yang baru untuk kemudahan kehidupan mereka. Mereka tidak mempunyai akal maka mereka tidak ada undang-undang khas untuk diri mereka. Mereka juga tidak mempunyai syariat untuk berhubung dengan PenciptaNya seperti mana manusia lakukan.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam....... "Yang membezakan manusia dengan makhluk lain ialah akal. "

Tidak dinafikan kegunaan akal kepada manusia begitu besar sekali. Dengan akallah manusia dapat hidup bermasyarakat dengan rukun damai. Dapat membangunkan dunia untuk kepentingannya. Dengan akal juga manusia dapat mengalahkan makhluk lain, menguasai dunia ini. Dengan adanya akallah manusia boleh muncul sebagai ketua atau pemimpin, membimbing yang lemah dan mengajar yang jahil. Kalau tidak ada akal manusia tidak mampu untuk berbuat demikian. Mungkin kehidupan manusia sama sahaja dengan haiwan atau makhluk-makhluk lainnya..

Dan apa yang lebih bermakna lagi dengan akal jugalah manusia dapat menerima perintah Allah dan melaksanakan dalam kehidupannya. Manusia boleh menyusun peraturan hidupnya, membuat batas-batas tertentu dan sama-sama akur kepadanya. Berkat segala itulah hidup manusia lebih tersusun, harmoni dan menjadi lebih bermakna berbanding kehidupan makhluk lain.

KESIMPULAN
Allah telah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian yang memiliki keistimewaan tertentu jika dibandingkan dengan makhluk ciptaanNya yang lain. Semua kelebihan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah untuk manusia merupakan suatu anugerah yang hebat dan patut disyukuri oleh semua manusia. Manusia diangkat oleh Allah, Tuhan Pencipta Sekelian Alam, untuk menjadi khalifah atau penaung di alam bumi yang indah ini. Ditugaskan untuk memakmurkan bumi, memberi kesejahteraan kepada kehidupan sejagat serta melakukan kebaikan dan mengumpul kabaikan di muka bumi untuk bekalan ke alam akhirat. Manusia juga diberikan hak untuk bebas memilih. Semua pilihan yang kita lakukan mempunyai perhitungan di akhirat kelak. Pilihan yang baik akan mendapat berkat dan keredhaan dari Allah, manakala pilihan yang tidak baik akan mendapat balasan di akhirat kelak. Kelebihan paling utama ialah, Allah membekalkan manusia dengan akal fikiran. Dengan akallah kita mampu untuk melaksanakan semua tanggungjawab kita di muka bumi ini. Kesimpulannya, manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang mulia.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com