Tajuk: Manusia Amat Memerlukan Kepada Agama Islam

ABSTRAK
Agama Islam merupakan agama rasmi bagi Malaysia dan telah termaktub di dalam Perlembagaan. Islam merupakan sebuah agama yang toleran dan syumul. Sejak negara Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah pada tahun 1957, pelbagai undang-undang yang selaras dengan kehendak Islam telah dilaksanakan oleh kerajaan. Sehingga kini, Syiar Islam telah berdiri megah dan Malaysia juga telah diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah Negara Islam yang maju. Dalam memahami agama Islam dalam sesebuah kehidupan, terdapat beberapa faktor yang mendorong manusia memerlukan agama yang suci ini. Antara faktor luaran ialah keluarga, masyarakat dan negara. Dalam sesebuah keluarga, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Hakikat ini sudah ditegaskan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) di dalam Al-Quran melalui surah At-Tahrim, ayat 6, yang bermaksud: “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah ”. manakala faktor dalaman ialah individu itu sendiri. Ilmu, amal, dan iman merupakan aspek-aspek penting dalam diri manusia bagi menjadikan agama Islam penting dalam kehidupan seharian. Kesimpulannya, agama Islam merupakan komponen yang mengambil tempat pada bahagian terpenting dalam meluruskan liku-liku perubahan, dengan menampilkan fungsi pokoknya sebagai jalan dan pengendali yang membendung aliran kesesatan. Di samping itu, melalui agama Islam, kehidupan manusia dapat menuju ke arah terwujudnya sesuatu keperibadian utama yang intergral, terpadu, dan harmoni secara Islam, sehingga bermanfaat bagi diri dan ummat.

PENDAHALUAN
Agama Islam merupakan agama rasmi bagi Malaysia dan telah termaktub di dalam Perlembagaan. Islam merupakan sebuah agama yang toleran dan syumul. Sejak negara Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah pada tahun 1957, pelbagai undang-undang yang selaras dengan kehendak Islam telah dilaksanakan oleh kerajaan. Sehingga kini, Syiar Islam telah berdiri megah dan Malaysia juga telah diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah Negara Islam yang maju. Pendidikan Islam (Syed Mahadzir;2005;8)
Pengertian agama Islam dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah Syarak. Takrif “Islam” dari segi bahasa boleh diertikan dengan berbagai-bagai makna, sebab perkataan Islam itu adalah nama terbitan dan kata kerja ialah perkataan “Salam”. Perkataan ini mengandungi tiga makna iaitu; pertama : tulen dan suci dari sebarang kecacatan zahir dan batin. Kedua : damai, aman dan sejahtera. Manakala ketiga: taat dan menyerah. Tasawwur Islam (Azizah Zakaria; 2006; 31)
Pengertian Islam dari segi syarak pula ialah mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepadanya serta beriman dengan ajaran Allah (Subhanahu wa ta’ala) yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam Rasullullah telah memberi takrif yang pelbagai tentang Islam menurut suasana majlis dan keadaan orang yang bertanya. Seterusnya diperjelaskan lagi oleh ulama dengan pelbagai bentuk definisi untuk memberikan gambaran tentang Islam. Tasawwur Islam (Azizah Zakaria; 2006; 31)
Antara definisinya ialah, dalam sebuah hadis ditegaskan bahawa pada suatu hari Malaikat Jibrail menemui Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menanyakan tentang Islam dan dengan sekaligus memberikan pelajaran kepada orang-orang yang hadir bagaimana caranya mempelajari agama. Dalam hadis itu diterangkan : Bermaksud : “ Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab : Islam itu ialah engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, keluarkan zakat, engkau puasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji jika engkau sanggup pergi kepadanya. ” (Riwayat Muslim) Tasawwur Islam (Azizah Zakaria; 2006; 32)

FAKTOR DALAMAN
Aspek yang mendorong kepada faktor dalaman adalah individu itu sendiri. Dalam seseorang individu, faktor iman, amal dan ilmu memainkan peranan yang amat penting.

Iman
Iman menurut bahasa bermaksud mengiktiraf, mengakui dan membenarkan sesuatu tanpa mendustakannya. Dari sudut istilah pula, iman bermaksud membenarkan dengan hati, mengiktirafkan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota. Oleh itu, setiap insan haruslah menetapkan hatinya dengan Islam dan sentiasa melakukan perkara yang dapat meningkatkan imannya seperti memahami ayat-ayat Al-Quran.

Amal
Amal adalah pelengkap kepada ilmu. Kedua-duanya akan dapat membantu seseorang menjadi hamba Allah yang soleh. Allah amat murka kepada orang yang tidak beramal dengan ilmunya. Sebagai contoh, seseorang yang mengetahui solat itu adalah wajib tetapi tidak mengerjakannya.

Ilmu
Seseorang yang mempunyai ilmu hendaklah mengamalkannya. Hal ini kerana ilmu dapat membantu membezakan antara kebaikan dan keburukan. Apabila seseorang mempunyai ilmu pengetahuan, hatinya akan mudah terbuka untuk menerima dan menghayati ajaran Islam. Oleh itu, seseorang manusia harus mengamalkan ilmu yang ada pada dirinya. Hal ini kerana dapat meningkatkan rasa cintanya kepada agama Islam seterusnya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Pendidikan Islam Tingkatan lima (Muhammad Zaini Bin Yahya; 2007)

FAKTOR LUARAN
IBU BAPA & KELUARGA
Ibu bapa hendaklah memberi pendedahan awal mengenai kepentingan agama Islam kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Peribahasa juga mengatakan melentur buluh biar dari rebungnya. Sebagai contoh, ibu bapa wajib menyuruh anak-anak mereka melaksanakan solat lima waktu sehari semalam. Hal ini kerana solat merupakan tiang agama dan menjadi tunjang utama dalam sesebuah agama.
Selain itu, ahli keluarga juga memainkan peranan penting. Orang yang terdekat ialah adik beradik. Mereka perlu menyokong dan meembantu adik-beradik mereka yang lain dalam mendalami Islam. Contohnya, apabila masuk waktu solat, si abang atau kakak boleh mengajak adik-adik mereka yang masih kecil untuk bersolat berjemaah bersama-sama mereka.

MASYARAKAT & NEGARA
Masyarakat perlu mengetahui perkembangan jiran tetangga mereka. Janganlah hidup bersendirian tanpa mempedulikan orang sekeliling. Misalnya, kita perlu membantu saudara baru @ mualaf yang baru hendak mengenali agama Islam. Niat suci mereka ini haruslah disanjung dan dihormati. Kita perlu membantu mereka dari pelbagai aspek seperti cara hidup dan sebagainya.
Pihak kerajaan boleh menubuhkan pusat-pusat Islam yang dapat mendidik masyarakat dalam mendalami Islam. Sebagai contoh, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). PERKIM adalah sebuah pertubuhan sukarela yang diwujudkan untuk memberi perkhidmatan kebajikan dan kerja-kerja pembangunan masyarakat serta menghulur bantuan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, orang kurang upaya dan lain-lain yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama selari dengan ajaran Islam.
Pendidikan Islam Tingkatan lima (Muhammad Zaini Bin Yahya; 2007)

KESIMPULAN
Islam sebagai ajaran yang bersumberkan wahyu Allah, disampaikan seluruh manusia melalui Rasullullah Khatamun Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk kesejahteraan manusia, baik di dunia mahupun di akhirat. Hakikat terjemahan Islam yang sebenarnya adalah melingkupi agama dan kebudayaan. Hal ini pun diakui oleh para orientalis barat, seperti yang termaktub pada Shorter Encyclopedia of Islam :
“ the wider signification given to the term Islam as a cultural complex, embracing specific political structures and legal and social traditions”.
Pendidikan Islam Sebagai Penggerak Pembaharuan (Basri Agus; 1984; 18)

Oleh hal yang demikian, faktor dalaman dan luaran yang mendorong manusia memerlukan agama Islam haruslah memainkan peranan. Dalam sesebuah kehidupan, semua perkara haruslah lahir dari hati yang ikhlas. Apabila hati ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara, semuanya akan berjalan dengan lancar dan sempurna. Selain itu, faktor luaran haruslah menyokong faktor- faktor dalaman. Hal ini dapat memudahkan seseorang insan tersebut memahami betapa pentingnya agama Islam dalam kehidupan dengan cepat.

Kesimpulannya, agama Islam merupakan komponen yang mengambil tempat pada bahagian terpenting dalam meluruskan liku-liku perubahan, dengan menampilkan fungsi pokoknya sebagai jalan dan pengendali yang membendung aliran kesesatan. Di samping itu, melalui agama Islam, kehidupan manusia dapat menuju ke arah terwujudnya sesuatu keperibadian utama yang intergral, terpadu, dan harmoni secara Islam, sehingga bermanfaat bagi diri dan ummat. Pendidikan Islam Sebagai Penggerak Pembaharuan (Basri, Agus; 1084; 17 dan 22)


RUJUKAN
1) Basri, Agus (1984) Pendidikan Islam Sebagai Penggerak Pembaharuan. PT AlMa’arif Jalan Tamblong No. 48-50.
2) Zakaria, Azizah (2006) Tasawwur Islam. Bangsar Utama Kuala Lumpur Book Publication Sdn, Bhd.
3) Syed Mahadzir (2005) Pendidikan Islam. Taman Perindustrian Bukit Serdang Selangor Penerbitan PCT Sdn. Bhd.
4) Prof Dr. Hasan Langgulung (1985) Pendidikan Dan Peradaban Islam. I/39 Kebon Sirih Barat- Jakarta Indonesia Penerbit Pustaka Al- Husna.
5) Yahya, Muhammnad Zaini (2007) Pendidikan Islam Tingkatan Lima. Kawasan Perindustrian Setapak, Kuala Lumpur.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com