Tajuk: Langkah Untuk Mengukuhkan Iman Dalam Diri

ABSTRAK
Manusia ialah makhluk ciptaan Allah (Subhanahu wa ta’ala) yang dibekalkan dengan fitrah. Fitrah adalah sesuatu yang semulajadi wujud dalam diri manusia mengikut apa yang terbaik untuk kepentingan manusia itu sendiri. Fitrah terpenting yang ada pada diri manusia ialah fitrah beragama. Secara fitrah manusia adalah beragama atau beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Tanpa iman manusia hidup dalam kegelapan. Iman penting kepada manusia dan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Manusia dijadikan Allah terdiri daripada dua komponen iaitu jasmani dan rohani. Manusia dibekalkan dengan akal sebagai alat untuk memenuhi keperluan kedua-duanya. Beriman ialah mengaku dan berikrar dengan lisan, membenarkan dalam hati akan kewujudan dan kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala, dibuktikan dengan amalan yang zahir. Terdapat beberapa definisi yang menerangkan tentang konsep iman. Iman dihuraikan dalam sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Bukhari sebagai kepercayaan kepada Allah, terdapat beaikatn-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari kebangkitan, dan qadak dan qadar seperti yang tertulis sebagai rukun iman. Iman merupakan kunci keislaman seseorang yangdalam perwujudannya disimbolkan dengan mengucap dua kalimah shahadah iaitu persaksian bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan juga sesungguhnya Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Terdapat beberapa perkara yang membatalkan iman seseorang. Ramai yang tidak menyedarinya kerana terleka dengan kemewahan dunia. Mereka juga tidak memahami peranan iman dalam kehidupan seharian mereka. Iman merupakan anugerah Allah kepada manusia yang sangat tidak ternilai harganya dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. melalui iman manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah. Dengan iman juga manusia akan mempunyai kekuatan rohani dan jasmani. Ciri –ciri orang yang beriman berbeza dengan ciri-ciri orang yang fasik. Antara contoh ciri- cirri orang yang beriman ialah sentiasa sujud dan patuh kepada Allah dan mempunyai akhlak yang terpuji. Iman adalah segala-galanya dalam hidup manusia dan manusia memerlukannya sebagai pedoman hidup mereka kerana iman adalah cahaya yang menerangi hidup manusia yang berada dalam kesesatan. Iman tidak dapat dilihat melalui pancaindera manusia dan sesungguhnya juga iman membimbing manusia ke arah jalan yang diredhai dan dirahmati oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan membawa manusia kepada kebahagiaan dan keharmonian yang abdi di dunia dan di akhirat kelak.

PENDAHULUAN
Keimanan merupakan tonggak asas dalam diri seseorang individu. Ia merupakan cahaya yang menerangi hidup manusia. Ia bukanlah sesuatu yang boleh kita abaikan dan dipandang ringan kerana ia boleh membawa manusia kepada kebahagiaan atau kesusahan yang abadi. Oleh kerana itulah adalah menjadi suatu keharusan bagi kita yang mempunyai akal untuk memikirkannya dalam mencari ketenteraman dengan hakikat yang sebenar dalam hidup kita ini. Setiap ibadat yang diwajibkan oleh agama merupakan perantaraan untuk menyucikan jiwa orang yang beriman. Iman merupakan kepercayaan yang tertanam dalam hati tentang kewujudan Allah (Subhanahu wa ta’ala) sebagai pencinta seluruh alam. Iman juga ditafsirkan sebagai pengakuan secara lisan, keyakinan dalam hati, dan beramal dengan anggota. Keyakinan manusia terhadap Allah (Subhanahu wa ta’ala) dapat dinamakan iman hanya apabila keyakinan itu dapat mendorong manusia untuk benar-benar megabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Iman kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) dalam Islam merupakan faktor utama yang membentuk sistem keimanan yang utuh. Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada membatalkan iman seseorang. Kebanyakan individu tidak menyedari hakikat ini dan menyebabkan mereka terus terleka dengan keseronokan dunia. Sesungguhnya iman seseorang itu tidak dapat dilihat melalui pancaindera. dan sesungguhnya juga iman itu tidak dapat diwarisi dari individu kepada individu yang lain kerana ianya bergantung kepada amal ibadat masing- masing. Ianya juga tidak dapat dibeli dengan wang ringgit untuk memilikinya. Sebagai manusia yang diberikan akal fikiran yang sempurna seharusnya kita memikirkan cara untuk memiliki permata iman itu kerana iman itu lebih tinggi nilainya jika dibandingkan dengan segala kemewahan yang kita kejar di dunia ini. Tanpa iman manusia hidup tanpa arah tuju. Iman membimbing manusia kepada jalan yang terang dan diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala. Individu tanpa iman dan agama ibarat manusia yang tidak ada nilainya, selalu bingung, ragu- ragu dan tidak mengetahui hakikat dirinya. Iman menanamkan pandangan hidup bahawa manusia ini mempunyai kemuliaan di sisi Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan melambangkan asas keperibadian, rahsia kekuatan, dan rahsia kemuliaan. Orang yang beriman menyakini bahawa kebahagiaan di hari akhirat dan kejayaan dalam kehidupan dunia bergantung kepada amal dan bukannya kekayaan. Oleh itu, dengan memahami konsep iman ia dapat mengukuhkan iman dalam diri seseorang itu.

2. 1 KONSEP IMAN DAN CIRI-CIRI ORANG YANG BERIMAN

Secara amnya, iman mempunyai beberapa definisi. Iman ialah membenarkan dalam hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota. Iman juga didefinisikan sebagai kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku, dan perbuatan seharian. Jadi iman itu bukanlah pengakuan semata – mata dengan ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan bukan pula merupakan pengetahuan tentang rukun iman. Sesungguhnya juga iman itu bukanlah semata-mata penyataan seseorang dngan lidahnya bahawa dia adalah orang yang beriman[mukmin] kerana orang-orang munafik turut mengaku dirinya beriman tetapi sedangkan hatinya tidak sebagai mana yang disebut dalam firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) “Dan ada diantara manusia itu yang mengatakan : kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, sedangkan mereka bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan menipu orang yag beriman, tetapi yang sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri dan mereka tidak sedar”. (al-baqarah 8-9). Iman itu juga bukan pula semata-mata mengerjakan amal dan syiar yang biasa dilakukan oleh orang-orang yang beriman kerana banyak penipu-penipu besar yang zahirnya mengerjakan ibadat dan perbuatan baik tetapi hatinya kosong seperti mana disebut dalam firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) “sesungguhnya orang-orang munafik (beriman palsu) itu hendak menipu Allah, dan Allah menipu mereka. Apabila mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, mereka ria (mengambil muka) kepada manusia dan tiada mengingati allah melainkan sedikit sekal. iman itu bukan semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana banyak orang yang mengetahui hakikat iman itu tetapi mereka tidak juga beriman. Firman allah “sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahuinya” (al baqarah 146).
Keimanan itu disamping pengetahuan, pengertian dan kepercayaan yang kuat perlu seiring dengan ketundukan hati, kepatuhan dan kerelaan menjalankan perintah allah sebagai mana yng disebut dalam firman Allah “maka demi tuhan kau, mereka belum dinamakan beriman, sebelum mereka meminta keputusan kepada engkau (Muhammad) dalam perkara yang menjadi perselisihan antara mereka, kemudian itu mereka merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau putuskan dan mereka menerima dengan senang hati” (an nisa’65). al quran selalu mengemukakan dan menggambarkan iman itu dalam bentuk budi pekerti yang baik dan amal yang berguna sebagai garis pemisah antara orang-orang yang beriman dengan orang kafir dan munafik, sebagai mana yang disebut dalam firman Allah “sesungguhnya beruntunglah orang- orang yang beriman dan mereka yang yang. Dan yang menjauhi diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak berguna. Dan yang mengerjakan perbuatan suci (membayar zakat) dan mereka yang menjaga kesopanannya” (al mukminun 1-5). Iman juga menjadi dasar berfikir bagi seseorang, menjadi dasar perbuatan dan menjadi pendorong amal jihad. Iman ini adalah nur di dalam kalbu, suatu anugerah ilahi yang tidak ternilai harganya. Perkataan iman itu terdiri daripada hamzah, mim, nun. Iman ini melahirkan rasa takut dan cinta, tuma’ninah, dan ketenangan jiwa. Hati yang tenteram akan menimbulkan pergaulan baik dantidak akan akan merasa takut jatuh ke dalam perangkap khianat. Dikatakan seseorang itu iman kepada sesuatu, apabila orang itu menetapkan dalam hatinya itu, membenarkan dan meyakinkan, tidak merasa takut dalam hatinya itu, iaitu takut yang dialaminya selama ini. Sementara itu yang dkatakan lemh iman itu ialah apabila hati seseorang itu tidak tenteram dan walaupun tenteram ianya hanyalah sementara dan tidak sempurna. Dia tidak merasa aman dan yang dikatakan kuat iman seseorang itu apabila kehidupannya itu berjalan baik, hatinya itu membenarkan adanya sesuatu, pendiriannya kuat, sabar, tabah dalam menghadapi apa jua keadaan. Diantara ciri-ciri orang yang sempurna imannya ialah hati sentiasa tenang dan tenteram, sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara yang baik, sentiasa membenci untuk melakukan kemungkaran, bersyukur menerima nikmat Allah, sabar menerima dugaan daripada Allah, dan iltizam dengan ibadat-ibadat sunat. Sebaliknya, ciri-ciri bagi orang yang lemah iman ialah hati yang sentiasa gelisah, tidak merasa perlu untuk melakukan kebaikan, pecah amanah, berakhlak buruk, dan khianat. Tanpa iman manusia adalah sesat bahkan lebih sesat dari haiwan. Firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) maksudnya: “mereka itu seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu ialah orang yang lalai”. Keimanan pada diri manusia memiliki sifat selalu bertambah dan berkurang. Keimanan itu tidak selamanya tertanam dengan mantap dalam diri manusia akan tetapi selalu berubah- ubah. Bertambah atau berkurangnya iman itu dpengaruhi oleh berbagai faktor samada dari diri manusia itu sendiri dari faktor luaran yang kesemuanya itu menjadikan keadaan iman dalam diri manusia sentiasa berubah dari masa ke masa.

2. 2 PERANAN IMAN DAN PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Iman memainkan peranan yang sangat penting kepada manusia. Tanpa iman manusia hidup dalam kegelapan dan tidak ada arah tujuan. Iman membawa cahaya kepada manusia yang hidup dalam kegelapan jesteru membawanya kearah kebahagiaan yang abadi. Menurut buku syariah tingkatan 4, dinyatakan didalamnya beberapa peranan iman didalam kehidupan kita. Antara peranan iman ialah mewujudkan kekuatan jiwa. Seseorang yang beriman kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) memperolehi satu kekuatan jiwa yang unik. Dan kekuatan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang beriman itu sendiri. Orang yang beriman tidak akan merasa susah untuk melaksanakan perintah Alah Subhanahu wa ta’ala. mereka telah bersedia dari segi jasmani, rohani, dan juga akal untuk melakukannya tanpa perlu ada paksaan dari sesiapa. Selain itu mereka sanggup melakukan amalan-amalan yang mempertahankan kesucian Islam daripada kepentingan diri sendiri. Selain itu iman mewujudkan ketenteraman. Seseorang yang beriman akan sentiasa tenteram jiwanya samada dalam situasi apa pun tidak kira ketika gembira mahupun didalam kesusahan sekali pun. Ketika gembira dia akan bersyukur kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) kerana dia tahu bahawa kegembiraan itu kurniaan dari allah. Nikmat kegembiraa itu akan digunakan menurut kesesuaian dan ketetapan Allah Subhanahu wa ta’ala. dan ketika menghadapi kesusahan pula, seseorang yang beriman pula tidak mudah gelisah dan hilang pertimbangan. tetapi sebaliknya dia akan bersabar dan menerima qadha dan qadar Allah ini dengan penuh redha kerana sesungguhnya dia mengetahui bahawa sabar itu separuh daripada iman. Sebagaimana firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) didalam surah al-Maidah maksudnya : “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang- orang yahudi, dan orang-orang nasrani, sesiapa saja antara mereka yang beriman kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan hari akhirat serta beramal soleh, maka mereka tidak akan merasa takut dan bimbang dan mereka juga tidak akan berduka cita. ” dan firman Allah lagi: “dialah [Allah ] yang memberi ketenangan ke dalam hati oang- orang mukmin supaya bertambah lagi iman mereka disamping iman mereka yang sedia ada. ” (Surah al fatihah 48 :4) Selain itu iman juga mendorong melakukan amalan- amalan dengan ikhlas. Amalan-amalan itu juga dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada allah yang telah memberikan kepadanya segala nikmat untuknya hidup di dunia ini dan tanpa keikhlasan amalan seseorang itu menjadi sia –sia seperti mana yang dijelaskan oleh firman allah (Subhanahu wa ta’ala) yang berikut : Maksudnya : “Maka kecelakaan yang besar bagi orang yang melakukan solat iaitu mereka yang berkeadaan lalai dari menyempurnakan solatnya. juga orang yang berkeadaan riak. ” (Surah al ma’un, 107 :4-6). Iman juga turut mendorong amar maruf dan nahi mungkar iaitu mengajak semua orang melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara- perkara yang keji dan mungkar yang dilarang oleh allah. Orang – orang yang beriman di perintahkan supaya berusaha untuk menghapuskan perkara-perkara yang mungkar mengikut kemampuan yang ada. jika seseorang itu tadak mampu melakukan apa-apa tindakan kerana takut kepada ancaman hendaklah menanam kebencian dalam hatinya terhadap perkara mungkar itu. Hadis Rasullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam maksudnya “sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah diubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, dan sekiranya tidak mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati yakni selemah-lemah iman. ”. Iman juga memupuk semangat berkorban. Ini berlaku apabila mereka telah beriman dan yakin dengan segala janji allah. Mereka akan berkorban apa saja samada harta dan jiwa raga untuk mendapatkan keredhaannya. Orang yang beriman juga yakin bahawa dunia ini adalah tempat untuk mencurahkan segala bakti dan Allah akan memberikan ganjaran besar didunia dan di akhirat. Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman : “sesiapa yang beramal soleh samada lelaki atau perempuan sedang dia beriman, mka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa-apa yang mereka lakukan. ” Selain itu orang-orang yang mempunyai kepakaran yang tertentu boleh berkorban masa dan tenaga untuk membantu membangunkan masyarakat sekalipun dangan ganjaran yang kecil manakala orang yang berharta boleh berkorban harta benda dan wang ringgit unutk memajukan masyarakat dalam segenap bidang. Selain itu iman ialah amalan yang membawa kepada kemanisan iman. orang yang beriman sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemanisan imannya. dia akan melakukan segala ynang diperintah oleh allah dan rasulnya dan meninggalkan segala yang dilarang. terdapat beberapa cara untuk mendapatkan kemanisan iman ini antaranya ialah cinta kepada Allah dan Rasulnya lebih dari cinta kepada orang lain, memperbanyakkan
amalan-amalan sunat, perbanyakkan zikirullah, sabar menghadapi ujian dan cabaran, memperbanyakkan amalan kebajikan, mendalami ilmu pengetahuan dan beristiqamah.
Terdapat beberapa perkara yang mmbawa kepada membatalkan iman seseorang muslim itu. Antaranya ialah bertawakkal dan bergantung selain daripada Allah. Firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) :Al-Maaidah :23 “maksudnya:Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. Tawakkal bukanlah bererti meninggalkan kerja, malah Allah menyuruh kita dua perkara dalam hal ini, pertama memerintah kita bekerja dan yang kedua jangan kita meletakkan pergantungan hidup kepada pekerjaan itu. Allah menyuruh kita bekerja, berusaha, tetapi ia menyuruh kita beriman bahawa Dialah yang memberi rezeki. Selain itu mengikrari nikmat Allah samada secara terang atau secara tersembunyi membawa kepada membatalkan iman. Ini adalah segala nikmat itu adalah datang daripada Allah sesungguhnya Dialah pemberi nikmat. Firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) “maksudnya:sekiranya kamu menghitung nikmat Allah tidaklah dapat kamu menghitungnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari”. Firmannya lagi “Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kepentinganmu apa yang ada di langit dan apa yang ada dibumi dan menyempurnakan untukmu nikmatnya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang keesaan Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberikan penerangan (Surah Luqman:20). Perkara lain yang membawa kepada membatalkan iman ialah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya. Firmannya “sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itulah orang-orang pendusta”An Nahl :105). Tidak beriman dengan semua sumber-sumber hokum daripada Al-Kitab dan Al- sunnah. Selain itu mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat, ia telah menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya. Firman Allah maksudnya:Dan kecelakaanlah bagi orang-orang kafir kerana siksaan yang sangat pedih iaitu orang yang lebih menyukai kehidupan dunia dari akhirat, dan menghalang halangi manusia dari jalan Allah dan yang menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh. Dan firmannya lagi :Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak rugi.
KESIMPULAN
Jalan iman itu adalah jalan yang lurus dan adalah bahawasanya adalah suatu keharusan manakala manusia menginginkan petunjuk dan hidayah untuk meninggalkan semua jalan selain jalan iman itu. Dengan amat jelas sekali Al quran mengemukakan berbagai ayat yang menerangkan bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, para rasul, dan kitab-kitabnya, adalah orang-orang yang memiliki cahaya yang dapat ia jadikan pedoman untuk menempuh jalan yang lurus tanpa takut sesat dan ragu bahawa jalan lurus yang ditempuhinya itu akan membawanya ke jalan lain yang ternyata merupakan jalan yang sesat. Dan kerana itulah ia dapat mencapai tujuannya dengan aman dan selamat. Sementara itu, bagi orang-orang kafir mereka ini tidak mempunyai cahaya yang dapat dijadikan pedoman sehingga sukar bagi mereka untuk membezakan antara jalan yang lurus dengan jalan yang menyimpang. Ia selamanya berada dalam kegelapan, meraba raba dan tidak memiliki pedoman apa pun dalam menempuh jalan yang dilaluinya dan selamanya penuh ragu, penuh teka teki, dan tidak menentu. Dan seperti yang diketahui, apa yang disebut sebagai keraguan dugaan dan teka teki itu tidak mungkin dapat dijadikan pegangan menuju keyakinan dan mencapai jalan yang lurus. Banyak juga hadis yang menjelaskan masalah iman tetapi lebih mengacu pada ciri-ciri keimanan seeorang itu dan jika berbicara tentang iman tak mungkin dapat melepaskan diri daripada masalah keimanan. Iman sebagai perbuatan hati dibangunkan atas dasar pengetahuan yang telah diperolehi seseorang yang tidak lagi dipengaruhi oleh perasaan ragu-ragu kerana iman itu harus didirikan atas keyakinan yang kuat dan teguh dan oleh kerana itulah iman menjadi keadaan yang menteteramkan hati, tidak ada keraguan dalam segala tindakan. Keyakinan itu tidak menyesatkan angan- angan tetapi sebaliknya merupakan nur yang dijadikan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) dalam hati hambanya sehingga dengan keyakinan itu dapat jelas baginya segala hal yang ghaib. Yakin adalah ketetapan ilmu yang tidak berputar-putar, tidak terumbang ambing dan tidak tidak berubah-ubah dalam hati. Iman apabila telah sampai taraf yakin, tidak akan goyah dan berubah. Iman dapat bertambah dan berkurang seiring dengan amal soleh yang dilakukan oleh seseorang itu samada berterusan atau tidak.

RUJUKAN

1. Ariffin, Muhammad (2005), Pendidikan Syariah Islamiah tingkatan 4, 26 Jalan Daud Kampung Baru Kuala Lumpur : Percetakan Watan Sendirian Berhad
2. Maududi, Abul A’la (1970), Dasar- Dasar Iman, Perpustakaan Salman Institut Teknologi Bandung: Pustaka
3. Hawa, Al-ustaz Sa’id, Batas-batas iman dan kufur, No 18, Jalan Kuda Kepang 11/26, Shah Alam, Selangor:Dewan Pustaka Fajar
4. Yunus, Prof. Dr. H. Mahmud (2007), Tafsir Al-Quranul Karim, Victory Agencie, P. O. Box 12359, 50776 Kuala Lumpur, Percetakan Zafar Sdn. Bhd
5. Al Qardhawy, Dr, Yusuf, Iman dan Kehidupan, Jalan Kramat Kwitang 1 /8, Jakarta Pusat, Indonesia :N. V Jalan Bintang
6. Maududi, Abul A’la, Asas dan Prinsip Peradaban Islam: Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com