Tajuk: KEMATIAN MERUPAKAN LANGKAH PERTAMA

ABSTRAK
Setiap yang hidup pasti akan merasai mati (Ali Imran: 185). Demikianlah ketetapan Allah Subhanahu wa ta’ala  terhadap makhluknya dan tiada sesuatu pun dapat menghalangnya melainkan dengan keizinan Allah Subhanahu wa ta’ala  sendiri. Bahkan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  turut merasai kematian. Dari hadis riwayat Ibnu Abi Al Dunya meriwayatkan bahawa kematian adalah ketakutan yang mengerikan. Rasa sakit ketika mati lebih pedih daripada dihiris dengan gunting dan gergaji mahupun direbus dengan air panas. Sekiraya seseorang mayat dibangkitkan kembali dan menceriakan sakitnya mati kepada manusia nescaya manusia tidak akan dapat hidup dengan tenang dan tidur dengan tenteram. Kajian ini akan meyentuh aspek persediaan dan perihal kematian. Banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi hari kematian. Kematian bukan hanya melibatkan sakaratulmaut semata-mata, malah ia merupakan rentetan kepada kahidupan di alam barzakh dan hari kebangkitan di Padang Masyhar. Sesungguhnya manusia disyariatkan untuk mengingati maut. Manusia perlu beramal denga amalan soleh dan bertaubat di atas dosa- dosa lalu. Taubat tidak seharusnya ditangguhkan semata-mata untuk mengejar kenikmatan dunia. Hal ini kerana saat kematian tidak dapat diramal oleh manusia dan sudah tertulis di Luh Mahfuz. Apabila seseorang manusia sudah sampai saat kematian dan kehadirannya maka semua taubat sudah tidak memberi erti kepadanya. Aspek pengurusan jenazah juga amar penting dalam memelihara kesejahteraan si mati. Jenazah perlu diuruskan mengikut tatacara yang betul untuk arwah sebelum menghadap dengan Allah Subhanahu wa ta’ala. alam barzakh persinggahan manusia selepas mati. Mereka yang baik amalannya di dunia tidak akan menghadapi masalah apabila berhadapan dengan malaikat Mungkar dan Nakir malah diluaskan kuburnya dan diterangi cahaya, sebaliknya amalan yang jahat akan disempitkan kuburnya serta ditemani kegelapan. Kebangkitan manusia di Padang Masyhar merupakan hari di mana manusia akan dikumpulkan. Di saat itu, amalan sepanjang hidupnya akan dihisab. Bagi mereka yang melakukan amal kebaikan akan dimasukkan ke dalam syurga bersama para salihin dan syuhadah. Sedangkan mereka yang buruk amalannya akan dicampakkan ke dalam neraka bersama golongan kafir.

PENDAHULUAN
Mati adalah satu perkara biasa, keadaannya lumrah bagi yang hidup. Dengan kata lain, mati bukanlah satu masalah atau menjadi permasalahan kepada kita kerana mati itu merupakan satu realiti yang dialami oleh semua makhluk bernyawa.

Sebenarnya mati adalah suatu pintu ke akhirat di mana manusia tidaklah mencapai Haqqul-Yakin (keyakinan yang bersungguh) melainkan dia melalui kematian terlebih dahulu. Adapun dengan kata lai, mati adalah sebagai sebuah pintu gerbang untuk menemui kekasih iaitu Allah Subhanahu wa ta’ala.

Apa yang menjadi kemusykilan pada kita adalah permasalahan iman dan amalan sementara menghadapi mati itu. sejauh manakah keyakinan seseorang terhadap peristiwa kematian itu mendorong beliau menyediakan bekalan ke sana dengan cara yang berkesan.

Mati meupakan guru bisu yang tidakdengan kata-kata melainkan dengan kejadian nyata. Kita belajar dengan cara merenungkannya. Nyatanya, mengigati mati adalah perkara yang membuat kitaberubah daripada kebiasaan. Ia juga sebuah latihan untuk menjadi lbih peka terhadap setiap tingkah laku kita.

Kita tidak perlu gusar untuk bertemu dengan kematian atau peristiwa kematian kerana urusan ini adalah urusan Allah Subhanahu wa ta’ala  sendiri dan merupakan sunnah-Nya kepada sekalian makhluk. Mengingati mati membuatkan manusia lebih serius dalam menjalani kehidupan kerana umur yang amat pendek. Justeru kerana umur yang terlalu pendek, kehidupan menjadi amat berharga.

Namun sejauh manakah kita bersiap sedia untuk kehidupan selepas mati itu sebagaimana yang kita yakini? Apakah amalan yang benar-benar boleh menolong atau memberi manfaat kepada kita di sana? Apakah amalan yang sungguh-sungguh boleh menolong kita selepas mati mengikut sumber kitab suci Al-Quran dan Al-Hadith yang sahih dan tidak berdasarkan amalan bidaah?

TAKRIF KEMATIAN
Kematian merupakan saat di mana erpisahnya roh daripada jasad yakni nyawa daripada badan. Segala amalan di dunia apabila seseorang itu menghadapi kematian melainkan tiga perkara iaitu ilmu yang disebarkan, sedekah dan amal jariah serta doa daripada anak yang soleh. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda;

Guru yang berbicara adalah Al-Quran dan guru yang bisu adalah kematian

Maut adalah saat yang menyakitkan yang harus ditempuh semua orang tanpa mengira pangkat dan darjat. Detik kematin merupakan waktu ketika kita akan lupa dengan segala sesuatu sebelumnyadan hanya dibayangi perhitungan amal di hadapan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Kematian bukanlah satu kepergian yang murni dan bukan juga kefaaan hakiki. Ia merupakan perubahan keadaan serta perpindahan tempat daripada alam dunia ke alam barzakh sebelum dibangkitkan semula di Padang Masyhar untuk dihisab.

Al-Qurthubi meriwayatkan bahawa maut adalah hal yang menakutkan, perkra yang menyeramkan. Sesungguhnya maut itu memutuskan kesenanagn dan mendatangkan hal yang dibenci. Hal yang memutuskan hubunganmu, memisahkan anggota tubuhmu, menghancurkan sendi-sendimu. Pastilah menakutkan, sesuatu yang besar dan harinya pastilah hari yang besar.

PERSEDIAAN MENGHADAPI KEMATIAN

Berkata Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Abu Zar:“ Wahai Abu Zar! Sesungguhnya dunia ini adalah penjara kepada orang mukmin, sedangkan kubur adalah tempat rehatnya dan syurga tempat tinggalnya. Wahai Abu Zar, sesungguhnya dunia ini adalah syurga orang kafir, sedang kubur tempat seksaanya dan neraka temat tinggalnya”.

Seseorang mukmin itu hendaklah selalu bertaubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Jangan pula ia lupa mengerjakan ibadat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala  dan memohon diampunkan segala dosa yang lalu. Dugaan yang menimpa manusia kerapkali mengingatkannya tentang urusan akhirat dan mendorongnya kapada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Apabila seseorang mecapai umur baligh, sedang akalnya sempurna, maka sudahlah ia menjadi mukallaf. Ketika itu segala kewajipan agama tertuju kepadanya. Dia dituntut oleh Allah Subhanahu wa ta’ala  untuk mematuhi perintah dan larangan, amar ma’ruf ahi mungkar, mengingati tentang janji-janji Allah Subhanahu wa ta’ala  dan ancaman-ancamanNya, tentang balasan pahala dan penyeksaan atas dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa ta’ala  tidak memungkiri janji.

Maka sudah sewajarnya seorang pemuda bersungguh memelihara masa mudanya agar tidak terjerumus ke dalam kemurkaan Allah S. WT, sehingga menyebabkan ia menerima seksaanNya yang pedihsebaliknya berusaha mencapai kemanisan iman berasaskan Rukun Islam dan Rukun Iman. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ;
‘Rebutlah peluang lima sebelum lima. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum masa sakit. Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa kaya sebelum masa miskin... dan masa hidup sebelum mati. ’

Wanita pula seharusnya memelihara dirinya kerana kebanyakan penghuni neraka adalahdaripada kaum wanita. Dalam riwayat Ahmad dan Thabarani, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda;
“ Jika seorang wanita (isteri) itu bersolat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadhan, lalu mentaati suaminya, nescaya dia akandiberikan pilihan untuk memasuki syurga daripada mana-mana pintu syurga yang dipilihnya.

Setelah mencapai umur 40 tahun, spatutnya tidak ada masa lagi untuk berehat-rehat, ataupun mengejar sesuatu urusan dan mengaturkan sesuatu kegembiraan mengenai hal keduniaan kerana sempitnya waktu yang tinggal. Di waktu itu tiada masa lagiuntuk berlalai-lalai dan bergurau senda kerana saat kematian sudah hampir tiba.

SAKARATULMAUT

Apabila si pesakit itu mengalami sakit kuat, dan telah ternyata tanda-tanda hampir ajalnya, hendaklah anak isterinya dan kaum kerabatnya memerhatikan keadaanya. Jika pesakit kelihatan seperti putus asa dan ketakutan, maka mereka hendaklah mengingatkan segala kebajikan dan kebaikannya yang lalu. Ingatlah jua rahmat Tuhan dan keampunanNya kepada oranr-orang yang berdosa dan kemaafanNya terhadap orang-orang yang lalai. Itulah amalan yang dilakukan oleh para salihin terhadap orang yang sedang nazak agar mereka merasa lega apabila mendengar ucapan itu.

Ahli keluarga pesakit dituntut untuk mengajar pesakit mengucap ‘ Lailaha Illallah’. Seperti sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ;
‘Ajarilah orang-orang yang menempuh maut di kalanganmu dengan kalimah ‘Lailaha Illallah’. Maka barang siapa yang mengakhiri hidupnya dengan capan Lailaha Illallah maka akan masuk syurga.
 (Hadis Riwayat Muslim)

Dikatakan membaca surah Yasiin akan memudahkan roh keluar dari jasad. Mati itu ada kesusahan dan sakarat. Adakalanya mudah dan adakalanya berat bagi kaum mukmin. Tetapi ada yang diriwayatkan daripada mmalaikat maut ‘alaihis salam  bahawasanya ia berkata;
“Sesungguhnya aku sentiasa berlemah lembut dan beringan-ringan terhadap orang mukmin”

Adakalanya muncul pelbagai fitnah dan ujian, moga-moga dijauhi Allah daripada semua itu. Sebab itulah mereka yang hadir membanyakkan bacaan Al-Quran dan hadis-hadis yang mencela dunia. Tersebut dalam Atsar, bahawasanya syaitan yang terkutuk itu amat hampir kepada seorang hamba Allah Ta’ala yang sakaratulmaut. Saat itu, syaitan akan mencari peluang memesongkan akidah. Hanya dengan mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala  dapat menghalangnya.

PENGURUSAN JENAZAH
Mengurus jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua orang Islam dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.
Di antaranya yang wajib kita kerjakan dalam mengurus jenazah ialah :
1. Memandikannya.
2. Mengkafankan jenazah.
3. Solat ke atas jenazah.
4. Mengebumikannya.

SYARAT MANDI
Mandi dengan merata air ke seluruh anggota badan jenazah.
Syarat mayat dimandikan.
1. 1 Hendaklah mayat orang Islam.
1. 2 Cukup anggota atau sebahagian badannya.
1. 3 Berumur enam bulan atau kurang, tetapi telah lengkap anggotanya.
1. 4 Mayat itu bukan mati syahid

MENGKAFANKAN MAYAT
Hendaklah disediakan tiga lembar kain kafan dibentangkan dengan disusun, kain yang paling lebar diletakkan di bawah atau dengan cara kain tiga lembar dibentangkan dan letaknya agak serong yang atas melebar dan yang bawah mengecil, setiap lembar disapu dengan wangi-wangian atau minyak wangi yang tidak mengandungi alkohol.
Hendaklah disediakan tali pengikat sebanyak tiga atau lima utas yang diletakkan di bawah kain kafantersebut. Hendaklah disediakan kapas yang disapu dengan wangi-wangian dan kayu cendana yang digunakan untuk menutup antara lain :
1. Kemaluan
2. Wajah (muka)
3. Kedua buah dada
4. Kedua Telinga
5. Kedua siku tangannya
6. Kedua tumitnya
Angkatlah mayat tersebut dengan berhati-hati kemudian baringkan di atas kain kafan yang sudah dibentangkan. Tutupkan jenazah itu dengan kapas yang telah disediakan pada bahagian-bahagian yang telah disebutkan di atas.
Hendaklah kain kafan tersebut diselimutkan atau ditutupkan dari lembar yang paling atas sampai lembar yang paling bawah, kemudian ikatlah dengan tali daripada kain yang telah disediakan sebanyak tiga atau lima ikatan. Semua tali pengikat mayat hendaklah disimpul hidup di sebelah kiri. Sebelum diikat di bahagian kepala, benarkan warisnya melihat atau menciumnya.
Tulislah kalimah "ALLAH dan MUHAMMAD" di dahi mayat dengan menggunakan minyak wangi.

SOLAT JENAZAH
Dalam mengerjakan solat jenazah, yang paling utama ialah dikerjakan secara berjemaah dan harus dijadikan tiga saf (barisan) sekurang-kurangnya setiap satu saf dua orang. Bagi orang perempuan diperbolehkan mengikuti berjemaah bersama-sama dengan orang lelaki atau boleh mendirikan solat ke atas jenazah setalah disolatkan oleh orang lelaki. Adapun hukum solat jenazah ini adalah Fardhu Kifayah seperti hal menguruskannya.

Cara mengerjakan Solat Jenazah
Bagi jenazah lelaki, Imam yang akan mendirikan solat ke atasnya hendaklah berdiri searah dengan kepala jenazah itu.
Bagi jenazah perempuan, Imam hendaklah berdiri searah dengan lambung atau bahagian tengah jenazah itu.
Tentang tempat untuk mengerjakan solat jenazah, diperbolehkan di dalam masjid, di surau atau di tempat lainnya yang memungkinkan solat berjemaah dengan syarat tempatnya itu luas dan bersih.

ALAM BARZAKH
Apabila kubur telah diratakan, maka hendaklah orangramai yang hadir tunggu sebentar di kubur untuk membaca Al-Quran sambil beristighfar, untuk mayat dan mendoakannya agar dikurniakan Allah Taala ketetapan, kerana pada ketika itulah ia sedang menghadapi ujian. Yakni, si mati itun sedang disoal oleh kedua Malaikat Mungkar dan Nakir yang merupakan ujian yanng besar bagi si mati.
Siapa Tuhanmu? Apa agamamu? Siapa Nabimu? Orang yang dikurniakan Allah Taala ketetapan di waktu itu akan menjawab; Allah Tuhanku. Islam agamaku. Munhammad nabiku. Akan tetapi orang yang disesatkan Allah Subhanahu wa ta’ala  akan bingung dan ragu-ragu sebagaimana keadaannya di waktu hidup di dunia dahulu penuh dengan kesesatan dan keraguan ataupun sentiasa meringankan perintah-perintah Allah Taala serta melakukan segala laranganNya. Maka ketika itu pula kedua malaikat tadi akan memukulnya, menyempitkan kuburnya serta memenuhi kubur itu dengan pelbagai azab dan seksa.
Adapun si Mukmin yang tetap serta lurus perjalanannya atas keimanan da ketakwaan pada masa hayatnya, maka kedua malaikat tadi akan menggembirakannya dengan pelbagai berita baik. Kuburnya dilapangkan serta dipenuhi pelbagai cahaya dan kenikmatan. Semua amalan solehnya dari sembahyang, sedekah, puasa, bacaan Al-Quran dan zikrullah akan mengiringinya dan menenteramkannya serta menghalangnya daripada segala ketakutan dan bencana. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda;
Kubur itu merupakan tempat tempat pertama dari penempatan di akhirat. Siapa yang terselamat dari situ, maka sesudah itu semuanya akan menjadi mudah dan ringan tetapi siapa yang terkulai, maka sesuda itu akan menjadi lebih berat dan dashyat.

PADANG MASYHAR
SESUNGGUHNYA pemeriksaan amalan di Padang mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim. Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarh-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api neraka jahanam di mana semua manusia akan meniti. Orang mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal salih yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya.

Orang pertama melalui sirat ialah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mengepalai umat lain. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bermaksud: “Dan direntangkan sirat di antara dua jurang neraka jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya bersama umatku yang lulus. ”Tahap kelajuan seseorang mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, kian laju menuju titian itu.

Al-Alamah Ibnu Abi Jamrah dalam kitab Bahjah An-Nufuus menegaskan, sesungguhnya disebut dalam hadis mengenai sifat sirat yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang dan ia mempunyai tujuh sekatan dan setiap sekatan itu mengambil masa 3, 000 tahun perjalanan. Dikatakan di tempat pemeriksaan pertama, manusia akan ditanya mengenai keimanannya kepada Allah.

Jika seseorang mukmin itu tidak ragu-ragu dalam keimanannya, dia dilepaskan ke tempat pemeriksaan kedua (solat). Begitulah seterusnya mengenai puasa, zakat, haji dan umrah, bersuci (wuduk dan mandi wajib) dan soal kemasyarakatan. Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri.

Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Cepat atau lambat meniti sirat juga bergantung kepada cepat atau lambatnya seseorang itu berlumba untuk mencapai keredaan. Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya

KESIMPULAN
Demikianlah akhirnya segala yang dikiranya perlu untuk pengisian ini. Insya’Allah sedang keberatan itu dari Allah Taala, dan kelebihan serta kebaikan juga di tangan Allah Taala, malah semua hal yang diusahakan kerana Allah Taala juga. Dan tiada kuasa dan tiada tenaga melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi Maha Besar., dan cukuplah Allah sebagai Pelindungk, dan dia adalah sebaik-baik pelindung.

Jelaslah kepada kita bahawa manfaat yang paling besar kepada manusia adalah mentaati Allah sementara kemudaratan yang paling besar ialah menderhakai Allah Subhanahu wa ta’ala. tidak ada perara yang lebih membahayakan manusia di dunia dan di akhirat lebih dari noda dan dosa-dosanya. Bahkan akan membahayakan masyarakat di sekelilingnya juga termasuklah difitnah.

Sesunguhnya di hadapan manusia itu adalah dua jenis kematian iaitu husnul khatimah dan suul khatimah. Sesiapa yang memeilih husnul khatimah, tirulah amalan dan kisah-kisah teladan para salehin dan hindarilah perbuatan dosa. Maka siapa yang memilih suul khatimah maka anda akan terus dibayangi kemurkaan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Pilihlah syurga atau neraka. Jalan ke syurga penuh duri; jalan ke neraka sarat dengan kesenanan duniawi. Namun kegembiraan di dunia ini adalah sementara dan kebahagiaan di syurga adalah selama-lamanya.










RUJUKAN
• Al-Qardawi, Yusuf (2000), Taubat Kepada Allah. Selangor. As-Syabab Media.
• Hj. Salleh, Abdullah Al-Qari (1994), Aneka Amalan Manfaat Selepas Mati. Kuala Lumpur. Dinie Publishers
• Haddad, Imam Habib Abdullah (2002), 121 Peringatan Tentang Umur Insan. Singapura. Pustaka Nasional
• Al-Zaghabi, M. Abdul Malik (2003), 82 Pertanyaan Tentang Alam Kubur. Jakrta Pustaka Al-Kautsar.
• Ibni Abd Allah Al-Qarni, Aidh (2003), Drama Kematian. Jakarta. PT Serambi Ilmu Semesta.
• Usman Adz-Dzahaby, Imam Al-Hafidzh Muhammad Ahmad, (2001), Dosa-dosa Besar (Edisi Baru Lengkap). SingapuraI. Pustaka Nasional

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com