Tajuk: Hijrah Rasulullah S.A.W

SINOPSIS
Hijrah merupakan salah satu peristiwa penting dan merupakan tongkat kepada agama Islam untuk di globalisasikan dengan secara meluas tanpa sebarang penentangan. Walaubagaimanapun, untuk mencapai kejayaan Hijrah ini bukanlah senang. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memimpin umat Islam dalam Hijrah umatnya dari kota Makkah ke kota Madinah dengan menunjukkan beberapa sifat dan sikap yang bagus seperti kepimpinannya, kesabarannya dan strateginya. Sifat dan sikap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ini sewajarnya dicontohi oleh umat Islam sekarang. Hijrah boleh terbahagi kepada dua sekiranya mengikut maksud iaitu dari segi istilah dan bahasa. Setiap segi mempunyai maksud yang berlainan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga tidak berhijrah ke Madinah tanpa sebab. Terdapat pelbagai sebab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berhijrah ke Madinah antaranya ialah kerana mengikut suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala . Sekiranya Allah tidak membenarkan beliau berhijrah, penghijrahan umat Islam sememangnya tidak akan berlaku sama sekali. Terdapat juga beberapa sebab lain Rasulullah berhijrah. Rasulullah berhijrah ke Madinah bukanlah secara tiba-tiba tetapi telah dirancang dengan strategi yang bagus oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ternyata di sini dengan strateginya yang begitu baik dan sukar dihalang pihak Quraisy. Hijrah ini juga dikatakan merupakan satu wawasan baru bagi umat Islam untuk mengembalikan kembali Islam. Semasa di Makkah, umat Islam sememangnya dipulaukan dan dizalimi oleh orang Quraisy tetapi selepas Hijrah berlaku, umat Islam mendapat kembali keamanan yang selam ini mereka nantikan. Kejayaan Hijrah Rasulullah dan para sahabat ke Madinah ini telah membawa kesan yang amat besar antaranya ialah pembukaan semula kota Makkah. Kejayaan ini merupakan titik perubahan Islam kepada dunia. Segala sikap, sifat dan teladan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sewajarnya dicontohi.

PENDAHULUAN
Peristiwa Hijrah merupakan satu detik sejarah yang besar ertinya bagi umat Islam dan perkembangannya. Ini disebabkan Rasulullah telah Berjaya meletakkan satu prinsip atau dasar untuk dihayati oleh umat Islam dalam mengharungi kehidupan mereka seharian.
Hijrah ialah perpindahan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya dari Kota Makkah ke Madinah Al Munawarah. Perpindahan merupakan sunnah para nabi dan rasul. Penghijrahan tersebut dilakukan bukan kerana ingin mencari satu tempat yang lebih selesa tetapi kerana ingin meluaskan dakwah yang mereka sebarkan.
Hijrah bagi umat Islam merupakan sesuatu yang amat penting, sama ada dilihat dari sudut sejarah perkembangan atau dari sudut pengajaran-pengajaran yang tersirat disebalik peristiwa tersebut, untuk dijadikan landasan serta panduan bagi kehidupan, sama ada kehidupan individu atau bermasyarakat dan bernegara.
Daripada peristiwa Hijrah, umat Islam dapat mengambil daripadanya beberapa pengajaran dan konsep yang terpenting dalam perjuangan hidup sebagai seorang muslim, kerana setiap muslim mempunyai tanggungjawab yang tersendiri yang perlu dilaksanakan. Ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab tesebut akan berhadapan dengan berbagai rintangan dan halangan. Dengan itu, pengalaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya dalam peristiwa Hijrah boleh dijadikan panduan.
Seperti di dalam Ayat 125 Surah An Nahlu, setiap umat Islam haruslah berdakwah dengan cara yang paling baik di dalam usaha mengajak manusia supaya menerima Islam sebagai satu cara hidup. Pendakwah juga perlulah memiliki beberapa sifat keistimewaan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah semasa beliau menghadapi segala rintangan dan halangan yang dilakukan oleh kaum Quraisy.
Semua ini memperlihatkan kepada kita satu pengajaran atau konsep jika perjuangan kita kurang mendapat sambutan yang menggalakkan belum bererti kita sudah gagal, tetapi hendaklah berusaha mencari satu tapak lain yang akan memberi kita satu semangat baru, konsep ini boleh digunakan dalam semua aspek kehidupan kita.

Maksud Hijrah
Dari segi bahasa, Hijrah bermaksud berpindah dan meninggal. Dari segi istilah pula, seperti terdapat dalam penggunaan Al Quran dan Al Sunnah, ialah Hijrah jasad iaitu Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah. Hijrah ini semata-mata keizinan dari Allah malah ia merupakan satu perintah yang wajib secara fardhu di masa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kewajipan ini telah pun berlanjutan sampai ke tahun pembukaan Makkah dibuka oleh baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .
Tetapi terdapat beberapa ulamak yang menganggap Hijrah itu berpindah dari bumi untuk menyelamatkan diri, berpindah dari bumi yang diamalkan Bidaah dan berpindah dari bumi yang banyak perkara maksiat dan penyakit yang berbahaya.
Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam
Hijrah ialah satu peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah dakwah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Ia adalah kejadian yang berlaku kepada diri baginda yang setiap muslimin dan muslimat mesti ketahui kerana mengetahui kehidupan baginda adalah sebahagian daripada akidah Islamiah dan iman kita kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Oleh itu, hendaklah kita mengetahui sejarah Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya kerana Hijrah adalah satu peristiwa penting yang mengubah perjalanan hidup dan sejarah Islam.
Hijrah adalah satu batu asas yang pertama bagi pembinaan masyarakat Islam dan negara Islam di mana peristiwa ini melepaskan jiwa yang beriman dari fitnah dan ejekan para seteru Islam. Hijrah juga adalah marhalah perlaksanaan dakwah dan penyebarannya ke seluruh pelusuk dunia dengan penuh bebas dan bukan melarikan diri dari menghadapi maut dan bukan untuk kemuslihatan diri. Selain itu, Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga adalah titik tolak dalam kerjasama dan sanggup bertungkus lumus membina masyarakat baru dalam sesebuah negara yang bebas. Seterusnya, Hijrah Rasulullah juga adalah sebesar-besar tanda pertolongan Allah Subhanahu wa ta’ala pada agamaNya dan pembukaan jalan untuk menyebarkan dakwah dan meningkat perlaksanaanya.
Sebab-Sebab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam Berhijrah
Terdapat banyak sebab Rasulullah berhijrah. Antaranya ialah setelah baginda ditahan dan disekat oleh ahli Makkah akan setiap pintu dakwahnya. Baginda juga berhijrah setelah baginda hilang harapan dari kaumnya untuk menerima seruannya dan hilang harapa dari negeri markas untuk menjadikan markas dakwah Islamiah malah mesti mencari bumi lain yang dikira sesuai dan subur untuk disemaikan dakwahnya dengan itu ternyatalah bahawa Hijrah baginda bukanlah kerana kepentingan peribadi bahkan sebab pertama dan terakhir adalah kerana mengikut perintah Allah Subhanahu wa ta’ala .

Strategi Yang Diatur Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .
Seperti yang kita tahu, Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ini semuanya telah dirancang dan diatur Rasulullah sehingga ianya mencapai kejayaan. Strategi baginda adalah seperti dibawah :
1) Rasulullah pergi ke rumah Abu Bakar di waktu manusia berehat tengahari supaya kedatangannya tidak diketahui oleh manusia.
2) Menyuruh Abu Bakar mengeluarkan keluarganya dari majlis percakapan supaya tidak ada sesiapa pun yang mengetahui rahsia penghijrahan.
3) Tidak menceritakan secara detail kepada Abu Bakar, tetapi cuma sekadar mengatakan yang Allah Subhanahu wa ta’ala telah mengizinkan mereka berpindah,
4) Meminta Abdullah bin Abu Bakar mengintip rahsia daripada orang-orang Quraisy dan memberitahu kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan Abu Bakar.
5) Meminta Amir bin Fahirah datang memelihara kambing di kaki bukit bagi menghapuskan kesan-kesan tapak kaki mereka.
6) Mencari seorang pemandu yang boleh membawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan Abu Bakar ke Madinah melalui jalan yang tidak biasa dilalui oleh para musafir ke Madinah.
7) Memilih Gua Thur sebagai tempat perlindungan, di mana gua tersebut tidak menuju ke Madinah jadi orang tidak akan menyangka para musafir akan singgah berehat di gua tersebut. Dengan bertujuan mengelirukan orang-orang Quraisy.
8) Keluar di waktu malam dan dari sebelah belakang rumah Abu Bakar.
Secara ringkas, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri telah merahsiakan perjalanan Hijrahnya kecuali beberapa orang seperti Abu Bakar As Siddiq r. a, dua orang puteranya dan Ali bin Abu Talib r. a. Bagi memastikan baginda di samping Abu Bakar selamat dalam perjalanan, seorang pemimpin jalan yang sudah berpengalaman telah dipilih. Rasulullah berjalan menuju kea rah Yaman, hal ini sengaja dilakukan demikian untuk menjadi helah dan menyesatkan kaum musyrikin yang dijangka pasti mengekori jejak langkah baginda. Selain itu, maklumat pergerakkan musuh sentiasa diintip oleh anak Abu Bakar r. a iaitu Abdullah dan melaporkannya kepada Rasulullah yang bersembunyi di dalam gua. Amir bin Fuhairah ditugaskan mengembala kambing sambil mengikut jejak Abdullah supaya terhapus jejak Abdullah yang menjadi penghubung dengan Rasulullah dan ayahnya Abu Bakar r. a. Demikianlah betapa cermat strategi dan wawasan yang diperlihatkan oleh Rasulullah, melaksanakan dengan penuh berani, sabar dan yakin dengan perjuangan yang sentiasa mendapat restu daripada Allah Subhanahu wa ta’ala .

Hijrah Suatu Wawasan
Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat dari Makkah ke Madinah ialah atas kehendak dan keizinan Allah Subhanahu wa ta’ala . Peristiwa ini bukanlah menandakan suatu kekalahan dan melarikan diri daripada perjuangan dan permusuhan dari musyrikin terhadap kebangkitan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tetapi yang lebih penting dan utama ialah kerana perjuangan menegakkan Islam dan menyediakan medan baru bagi melaksanakan ajaran Islam dalam seluruh urusan kehidupan manusia. Hijrah ini bukanlah secara tiba-tiba dan spontan tanpa perencanaan dan strategi yang disusun rapi, sebaliknya berlaku adalah dengan penuh cermat dan berwawasan.
Sebelum berlaku Hijrah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah Berjaya menyediakan persiapan kekuatan keperibadian di kalangan sahabat yang akan menjadi pendokong dan penerusan perjuangan menegakkan dakwah Islamiah, bersedia berjihad, berkorban dan menjualkan harta dan nyawa mereka untuk membeli syurga Allah Subhanahu wa ta’ala .
Demikian juga sebelum baginda berhijrah, baginda telah mengenal pasti bahawa Madinah merupakan tempat subur, subur dengan hati-hati mereka yang akan bersedia menerima Islam. Rasulullah juga telah mengadakan perjanjian dengan penduduk Madinah iaitu Perjanjian Baiah Pertama dan Baiah Kedua. Terdapat sebahagian dari orang-orang Madinah tersebut tersebut telah menerima Islam termasuk Ka’ab bin Malik.
Kejayaan Hijrah
Peristiwa hijrah telah membawa perubahan dan peradaban yang besar lagi menyeluruh, justeru menjadi umat beriman dan beramal dengan peranannya sebagai khalifah di muka bumi Allah Subhanahu wa ta’ala bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud :
“ Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu wahai umat Muhammad bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi seperti mana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah yang berkuasa dan ia akan menegakkan dan mengembangkan agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan dia juga akan menggantikan keadaan mereka keamanan setelah dahulunya mereka mengalami ketakutan, mereka terus beribadat dengan baik tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Ku. ”
Selain dari kejayaan membina generasi terbaik dan mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala , peristiwa Hijrah telah mengajar dan mendidik umat Islam menjadi umat yang cekap, berdisiplin, bersabar, berkhemah tinggi, berani dan sentiasa menuju ke hadapan. Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh generasi pertama sehingga tertegaknya dakwah Islamiah di Madinah. Pada tahun ke 9 Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabat-sahabatnya telah kembali dengan ama tanpa pertumpahan darah. Kota Makkah telah Berjaya dibersihkan seluruhnya dari sebarang bentuk kesyirikan tehadap Allah Subhanahu wa ta’ala . Natijah daripada keiman, persaudaraan dan kesabaran generasi Islam dan peranannya dalam semua sudut kehidupan insan. Keangkuhan, kezaliman dan penyelewengan berjaya dihancurkan di tengah-tengah pengorbanan umat Islam yang ikhlas terhadap Allah Subhanahu wa ta’ala . Kemenangan ini telah dinyatakan dalam Al-Quran pada Surah Al Fath yang bermaksud :
“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan setelah berjaya menguasai Makkah dan engkau melihat manusia berduyun-duyun menerima masuk agama Allah Subhanahu wa ta’ala maka ucaplah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah keampuanan kepadaNya. Sesungguhnya Ia sangat menerima taubat. ”
Pengajaran Dan Renungan Hijrah
Di muka-muka yang lepas, kita telah mengetahui erti hijrah dalam Islam iaitu di dalam mauduk Hijrah dan perpindahan orang Islam.
Allah telah meletakkan kesucian agama dan akidah itu lebih dari yang lain. Tiada makna sekiranya ada harta, negara dan pangkat tetapi akidah dan syi’ar agama terancam, musnah dan disusuhi. Oleh yang demikian maka Allah mewajibkan ke atas setiap hambanya agar mengorbankan segalanya sekiranya keadaan memaksa demi kepentingan Islam.
Telah kita tegaskan di sini juga, sesungguhnya memang menjadi sunnah Allah di bumi ini telah menjadikan kekuatan rohani yang ternukil di dalam akidah kepercayaan yang sihat dan agama yang benar itu sebagai pengawal kepada kekuatan maddi dan material. Suatu umat yang begitu tebal dan kaya dengan ajaran agama di kala itu juga kekuatan materialnya, seperti negara dan hartabenda akan kekal lebih utuh dan kukuh. Andaikata ia miskin dari segi akhlak dan tidak senonoh dari segi kepercayaan akidahnya, maka kekuatan materialnya juga turut lemah dan tergugat. Telah kita tugaskan bahawa sejarahlah yang menjadi saksi utama tentang kebenaran ini.
Untuk demikian maka Allah Subhanahu wa ta’ala telah mewajibkan dasar mengorbankan harta dan negara demi kepentingan Islam sekiranya keadaan memaksa. Dengan berbuat demikian akan terjamin keselamatan harta benda, negara dan jiwa walaupun pada mulanya nampak merugikan segala-galanya.
Perpindahan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sudah cukup untuk member satu bukti yang nyata. Secara kasar, tindakan meninggalkan negara itu bererti menghilang atau melenyapkannya. Pada hakikatnya, itulah sebenarnya bentuk pengorbanan dan pemeliharaan yang sejati. Boleh jadi pembelaan dan pengorbanan itu nampak seolah-olah peninggalan dan pembelakangan. Baginda telah pulang setelah berada di dalam buangan (Hijrah) beberapa tahun ke bumi pertiwinya yang penduduknya pernah menghalau baginda, dengan penuh kemegahan dan kekuatan tanpa diganggu oleh sesiapapun. Sedangkan dahulunya semua orang menanti-nanti sahaja peluang baik untuk memusnahkan diri baginda. Tercapai segala-gala ini adalah hasil dari tertegaknya agama Islam dan keagungangnya.
Selain itu, jasa para sahabat dan teman seperjuangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam seperti Abu Bakar As Siddiq dan Abdullah bin Abu Bakar yang sanggup menolong Rasulullah dari apa segi pun. Para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengambil risiko walaupun tahu bahawa nyawa mereka juga terancam untuk membantu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menjayakan Hijrah ini demi kepentingan agama Islam yang dibawa baginda pada ketika itu.

KESIMPULAN
Penghijrahan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah telah banyak memberi pengajaran kepada kaum muslimim. Oleh itu, sewajarnya kita cuba memahami sebahagian daripada pengajaran tersebut. Sekurang-kurangnya kita bertindak mengambil langkah-langkah perlu, bagi memastikan pengajaran Hijrah itu benar-benar dimanfaatkan dalam kehidupan seharian kita.
Menggerak langkah mengambil pengajaran dari peristiwa Hijrah menjadi kewajipan kerana semua kaum muslim. Langkah-langkah yang perlu diambil melibatkan semua pihak. Melibatkan orang perseorangan, badan-badan kebajikan malah pihak yang berwajib sendiri.
Isi-isi diatas tidak menumpukan secara khusus pengajaran Hijrah tetapi juga tentang Hijrah itu sendiri. Kita perlulah menghayati Hijrah dan bukan sekadar mengetahui dan memahaminya sahaja.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berhijrah dengan penuh serius untuk menegakkan Islam. Sambutan mengingati Hijrah juga sepatutnya dilakukan secara bersungguh-sunguh. Perkara ini perlu bagi memastikan setiap umat Islam menghayati Hijrah dan perjuangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya.
Jikalau identiti Islam tertegak, ini dapat mempengaruhi masyarakat lain agar menerima dan menganut agama Islam.
Kesimpulannya, Hijrah merupakan suatu peristiwa yang amat penting bagi umat Islam. Tanpa penghijrahan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam , mungkin tiada lagi Islam pada zaman sekarang. Oleh itu, selain menghayati Hijrah ini. Kita juga perlulah mengambil segala pengajaran yang terdapat dalam penghijrahan Rasulullah ini. Segala sikap dan sifat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam seperti sabar dan tabah juga perlulah dicontohi.
Marilah kita memperbaharui sikap dan azam serta mencontohi perjuangan orang Islam muhajirin dengan mengorbankan tenaga, harta benda, fikiran, ilmu pengetahuan dan lain lain demi mengabdikan diri kita kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . Mudah-mudahan seluruh umat muslimim dan muslimat dapat menempuh era hidup baru dan akan mendapat kecemerlangan menjelang wawasan 2020 dan juga wawasan terakhir yang kekal abadi iaitu wawasan akhirat.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com