Tajuk: Konsep Pentadbiran Keluarga Dalam Islam

Sinopsis
Islam merupakan agama yang sempurna dan tinggi kedudukannya. Nilai-nilai Islam perlu dilaksanakan untuk mengecapi sebuah keluarga yang bahagia. Ia merupakan salah satu keperluan yang amat penting bagi umat manusia di muka bumi ini. Ini adalah untuk memenuhi kehendak naluri manusia. Salah satu cara untuk memenuhi kehendak ini adalah melalui pembentukan keluarga. Justeru itu islam menyediakan satu garis panduan yang merangkumi asas-asas untuk memimpin manusia mencapai kebahagiaan yang mereka mahukan sekali gus mendapat keredaan Allah

Keperluan pembentukan keluarga amat penting bagi umat Islam. Malah kepentingannya dirasa oleh semua golongan di atas muka bumi ini. Adapula yang mengatakan bahawa pembentukan keluarga diperlukan untuk faedah pasangan suami isteri. Adapula yang mengatakan pembentukan keluarga diperlukan untuk melindungi wanita yang lemah daripada penganiyaan. Pemilihan dalam pencarian jodoh juga amat dititik beratkan dalam agama Islam. Ini akan dapat melatih umat Islam untuk mencari jodoh yang sesuai dengan kehendak syarak dan agama Islam itu sendiri. Masalah Agama Islam membolehkan poligami dan begitu juga keadaan Rasulullah berpoligami adalah salah satu masalah yang amat penting dan kerap dibincangkan, baik dalam kalangan kaum Muslimin atau bukan. Sejarah perkahwinan Rasulullah dengan isteri-isterinya juga dapat memberi pedoman kepada masyarakat Islam. Umat Islam dapat mencontohi apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah dalam pembentukan sebuah institusi keluarga yang bahagia dan kukuh. 

Keluarga Islam adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Subhanahu wa ta’ala yang mana asas pemahaman anggotanya adalah hanya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala dan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Setiap manusia yang dikurniakan keluarga seharusnya bersyukur kerana bukan semua orang bernasib baik, ada juga yang dilahirkan sebagai yatim piatu. Oleh itu kita seharusnya bersyukur dan menghargai nikmat pemberian Tuhan. Kasih sayang keluarga adalah harta yang tidak ternilai dan tidak dapat diganti dengan wang ringgit

Pendahuluan
Konsep keluarga amat dititik berat dalam Islam malah turut diikuti oleh agama yang lain. Ia merupakan salah satu keperluan yang amat penting bagi umat manusia di muka bumi ini. Ini adalah untuk memenuhi kehendak naluri manusia. Salah satu cara untuk memenuhi kehendak ini adalah melalui pembentukan keluarga. Manusia sebagai makhluk ciptaan Allah telah dibekalkan sejak awal kejadiannya dengan keinginan untuk berkeluarga, beranak pinak. Setiap keluarga juga menginginkan kebahagian. Untuk mengecapi sebuah keluarga yang bahagia dan menurut syarak, konsep pentadbiran keluarga menurut Islam dan konsep pentadbiran Rasulullah dalam keluarga perlu diperaktikkan. Justeru itu islam menyediakan satu garis panduan yang merangkumi asas-asas untuk memimpin manusia mencapai kebahagiaan yang mereka mahukan sekali gus mendapat keredaan Allah. Allah berfirman:
”Dan di antara tanda tanda kebesaran Allah dijadikan kamu (manusia) pasangan hidup dari jenis kamu supaya dengannya Allah anugerah kasih sayang (mawaddah) dan rahmat (kasihan belas) dengan yang demikian itu jadi petanda kebesaran Allah untuk orang orang yang berakal”
Ayat ini menjadi asas untuk manusia memahami tujuan sebenar perkahwinan. Islam meletakkan tujuan yang amat murni dalam perkahwinan antara alam manusia dengan alam haiwan atau jin. Perhubungan jenis di kalangan haiwan hanya memuaskan nafsu syahwat tanpa sebarang akad atau tanggungjawab. Dalam alam jin meskipun ada adat resam ala manusia tetapi tidak ada sebarang akad dan tidak termaktub sebarang tanggungjawab seperti yang wujud dalam alam manusia. Islam meletakkan satu definasi bersifat amanah untuk seorang lelaki kepada isteri atau pasangan yang bukan sahaja untuk menunaikan fitrah tetapi lebih besar ialah untuk menikmati rahmat dan kebaikan serta keampunan daripada Allah. Ertinya tujuan memuaskan hawa nafsu syahwat semata mata dalam perkahwinan hamper tidak disebut kerana ia hanya satu tuntutan naluri manusia. Kalau hawa nafsu syahwat menjadi tuntutan dalam perkahwinan maka perkahwinan manusia tiada bezanya dengan perhubungan jenis antara haiwan. Kemesraan wujud dalam alam haiwan seperti juga alam jin dan alam manusia tetapi bezanya Islam menganjurkan pada manusia supaya kemesraan dinikmati mengikut jalan yang diredhai Allah. Kemesraan mengikut cara yang mendapat rahmat Allah akan mewujudkan sebuah keuarga yang dipenuhi dengan keberkatan dan barakah, keberkatan yang akan melahirkan nilai nilai kemesraan dan kebahagiaan yang direstui dan dilindungi Allah

Pembentukan Keluarga Menurut Islam

Keperluan Pembetukan Keluarga
Pembentukan keluarga bukan sahaja diutamakan oleh Islam, malah kepentingannya dirasa oleh semua golongan di atas muka bumi ini. Pembentukan keluarga amat penting untuk manusia. Salah satu cara pemenuhan keperluan manusia yang terpenting ialah melalui pembentukan keluarga. Adapula yang mengatakan bahawa pembentukan keluarga diperlukan untuk faedah pasangan suami isteri. Adapula yang mengatakan pembentukan keluarga diperlukan untuk melindungi wanita yang lemah daripada penganiyaan. Islam telah menyempurnakan pandangan-pandangan tersebut dengan memberikan alasan yang lebih luas dan menyeluruh. Diantaranya :-
i) Pembentukan keluarga adalah untuk memastikan kesinambungan generasi manusia. Tiada siapa yang dapat menafikan keluarga merupakan satu unit terpenting dan asas kepada kesinambungan ganerasi manusia. Mustahil ganerasi manusia akan kekal tanpa wujudnya keluarga. Pengabaian pembentukan keluarga dapat membawa kepada kehancuran. Hal ini dapat dilihat di Barat pada masa kini. 
ii) Pembentukan keluarga juga diperlukan untuk memelihara akhlak dan tatasusila. Kejadian manusia adalah sangat berbeza dengan kejadian makhluk-makhluk lain. Manusia merupakan kejadian yang paling mulia mengatasi kejadian yang lain. Kejadian ini harus dipelihara. Salah satu cara bagaimana kemuliaan ini dipelihara melalui pembentukan keluarga oleh kerana manusia merupakan kejadian yang sempurna. Naluri cinta dan seks harus disalurkan melalui jalan yang mulia juga, iaitu melalui pembentukan keluarga. Pengabaian hal ini telah menyebabkan banyak masyarakat dan generasi dahulu dan kini hancur akibat kebuasan hawa nafsu. Perbuatan ini akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak dan tatasusila. 
iii) Pembentukan keluarga juga untuk mencapai kebahagian, kehormonian, kebaikan dan kasih sayang. Kebahagiaan dalam ertikata yang sebenarnya ialah terletak pada kerohanian. Rohani dan jasmani mencapai kesempurnaan melalui institusi keluarga. 
Pemilihan Jod¬oh
Dalam pemilihan jodoh, Islam menggalakkan seseorang lelaki itu memilih bakal isterinya wanita yang mempunyai 4 ciri utama :-
berharta, berketurunan baik, kecantikan dan keimanan. 
Kebanyakkan lelaki biasanya akan memilih kecantikan kerana itu adalah tarikan awal kepadanya. Tetapi Islam menggalakkan agar memilih wanita yang solehah atau beriman. Kecantikan, harta, dan keturunan tidak akan kekal selamanya dan belum tentu dapat menjamin kebahagiaan. Hal ini turut dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim : Terjemahannya :-
“Menikahi wanita itu kerana 4 perkara iaitu kerana kekayaannya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan keimanannya. Maka pilihlah yang beriman, nescaya kamu akan bahagia”
Keimanan ditekankan kerana kebahagiaan yang dinikmati melalui pembentukan keluarga bukan sahaja di dunia, malah di akhirat. Setelah seseorang perempuan itu berkahwin maka tanggungjawab beribaadt kepada Allah Subhanahu wa ta’ala terletak di atas suaminya. Wanita solehah dapat menyelamatkan suami daripada tanggungjawab ini di akhirat. 

Nabi Berpoligami
Masalah Agama Islam membolehkan poligami dan begitu juga keadaan Rasulullah berpoligami adalah salah satu masalah yang amat penting dan kerap dibincangkan, baik dalam kalangan kaum Muslimin atau bukan. Orang-orang Islam yang telah membincangkan dan memahami tujuan Islam membenarkannya, tidak akan keberatan untuk menerimanya, bahkan akan memuji agama Islam. Namun sebaliknya orang yang belum memahaminya, akan menentang dan mencelanya. Di samping itu ada pula mereka yang telah keterlaluan dan berani melemparkan tuduhan-tuduhan jasmanian kepada Rasulullah. Padahal Rasulullah amat jauh daripada tuduhan yang demikian itu. 
Para-para pembahas berpendapat bahawa agama Islam telah membataskan hak berpoligami, yang dahulunya secara mutlak dan tidak terbatas. Agama Islam membataskan 4 orang sahaja
Bukti-bukti jelas yang menggesa hal ini antaranya Allah berfirman:
“Kahwinlah perempuan-perempuan yang kamu suka, dua, tiga dan empat, sekiranya kamu takut tidap dapat berlaku adil maka seorang sahajalah. ” (an-Nisa’:13) 
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara perempuan-perempuan sekalipun kamu hati-hati membuatnya” (an-Nisa’:129) 
Al-marhum Qasim Amin telah mengulas kedua-dua ayat ini dengan berkata:
“Sekiranya orang yang memerhati kedua-dua ayat ini mengambil hokum mengharamkan madu pasti hukumnya itu tidak jauh dari pengertian kedua-dua ayat tersebut. Kalaulah tidak kerana as-sunnah dan praktik ada mengharuskannya. ”
Qasim Amin:Tahrarul-Mar’ah, bab Poligami
Al-Bukhary meriwayatkan dari al-Miswar bin Markraman yang berkata:
“Aku telah mendengar Rasulullah berkata atas mimbar, bahwa Bani Hisyam Ibnul Mughirah meminta supaya aku izinkan mereka mengahwinkan anak perempuan mereka kepada Ali bin Abu Talib. Aku tidak mengizinkan, aku tidak mengizinkan, aku tidak mengizinkan kecuali sekiranya Ali bin Abu Talib mahu menceraikan anakku dan mengahwini anak mereka. Fatimah adalah sebahagian dariku, apa yang menyakitinya adalah menyakitiku juga, dan apa yang mencurigainya adalah mencurigaiku.”
Isteri-isteri Rasulullah

Khadijah binti Khuwailid (wafat 3 SH) 
Dia adalah isteri Rasulullah yang pertama dan orang yang paling banyak membantu perjuangannya di tahun-tahun pertama kerasulan. Sebelum masa kerasulan dia dipanggil dengan gelaran "wanita suci". Rasulullah menikah dengannya 15 tahun sebelum diangkat menjadi rasul. Putera-puterinya dari Rasulullah adalah Qasim, Abdullah. Kedua-dua mereka meninggal ketika masih kecil. Kemudian Zainab, Ruqaiyah, Ummi Kalsom dan Fatimah Az Zahrah. Dia memberikan dorongan moral kepada Rasulullah dalam perjuangan beliau. Khadijah wafat pada "aamul-huzni" [tahun kesedihan] dan dimakamkan di Ma’Ia. Sebelum beliau wafat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak menikahi wanita lain selain beliau. 

Aisyah binti Abu Bakar (wafat 58 H) 
Hubungan Rasulullah dengan Abu Bakar sangat akrab. Abu Bakar boleh dikatakan seorang yang sentiasa berada bersama dengan Rasulullah setiap waktu. Rasulullah berkahwin dengan puteri Abu Bakar untuk menghilangkan rasa keseganan dan kekakuan Abu Bakar terhadap Rasulullah serta menambah kelancaran pergaulan dan eratnya perhubungan antara mereka. 
Aisyah mempunyai fikiran yang tajam dan Rasulullah mengambilnya dalam pembentukkan syariat Islam yang menjadi faktor yang amat penting untuk menghafal dan memelihara serta menyebarkan hadis-hadis Rasulullah. Begitu juga untuk menyampaikan berbagai macam syariat dan hukum kepada manusia. Hal ini ditegaskan dalam satu hadis. 
“Ambillah separuh dari agamamu dari Al-Humaira’ ini. :” (Aisyah) 

Hafsah binti Umar (wafat 45 H) 
Hubungan Rasulullah dengan Umar juga akrab. Menjadi satu penghormatan pula kepada al-Faruq bila memperintahkan puteri beliau. Diriwayatkan setelah suami Hafsah meninggal, Umar menawarkan kepada Abu Bakar untuk mengahwini anaknya. Abu Bakar tidak menawab. Umar menawarkan pula kepada Usman dan beliau juga berdiam. Umar mengadukan kedua-duanya itu kepada Rasulullah yang berkata kepadanya:
“Biarlah yang mengahwini Hafsah seorang yang lebih baik lagi daripada Abu Bakar dan Usman. Biarlah Usman berkahwin dengan orang yang lebih baik daripada anak perempuanmu”
Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengahwini Hafsah dan mengahwini puterimya Raqaiyah dengan Usman. 

Juwairiah binti Harits bin Abu Dhirar (wafat 56 H) 

Nama asal adalah Burrah binti Harits. Dia ditawan oleh kaum Muslimin pada perang Bani Musthaliq dan diberikan kepada Tsabit bin Qais sebagai bahagian dari rampasan perang. Dia diberi hak oleh Tsabit untuk menebus kemerdekaannya dengan imbalan sejumlah harta. Dia pergi berjumpa dengan Rasulullah untuk minta bantuan, Rasulullah menawarkan kepadanya persetujuannya membayar sejumlah harta yang telah disepakati itu kemudian setelah merdeka Rasulullah menikahinya. 

Maimunah binti Harits (wafat 50 H/670 M) 
Nama asal adalah Burrah, Rasulullah menggantinya dengan Maimunah. Dialah wanita yang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah dan kerananya turun ayat yang bermaksud:
"Perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi.. ". (Al- Ahzab:50) 

Mariah Qibtiah (wafat 16 H/637 M) 
Seorang wanita asal Mesir yang dihadiahkan oleh Muqauqis, pembesar Mesir kepada Rasulullah tahun 7 H. Setelah dimerdekakan lalu dinikahi oleh Rasulullah dan mendapat seorang putra bernama Ibrahim. Sepeninggal Rasulullah dia dijaga oleh Abu Bakar kemudian Umar dan meninggal pada masa kekhalifahan Umar. 

Saudah binti Zam`ah (wafat 23 H/643 M) 
Dia masuk Islam bersama suaminya dan turut hijrah ke Habsyah. Dalam hijrah yang kedua, suaminya meninggal dunia, lalu dinikahi oleh Rasulullah setelah Khadijah wafat. Rasulullah membawanya hijrah ke Madinah. Dia termasuk isteri Nabi yang sering memberikan giliran harinya kepada Aisyah. 

Sofiah binti Huyai bin Akhtab (wafat 50 H) 
Sebelum memeluk agama Islam, dia merupakan penganut Yahudi Bani Akhthab yang tertawan dalam perang Khaibar. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam memilih dan memerdekakannya, lalu dia memeluk Islam, setelah itu dinikahi oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan wafat di Madinah. 

Ummu Habibah binti Abu Sofyan (wafat 44 H/664 M) 
Nama lengkapnya adalah Ramlah binti Abu Sofyan, dia ikut hijrah ke Habsyah bersama suaminya, tetapi suaminya terpengaruh di sana, lalu murtad dan meninggal dunia sebagai penganut Kristian. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam segera mengirim Amru bin Umaiah Dhumari untuk melamarnya buat Rasulullah. Najasyi, pembesar Habsyah menikahkannya kepada Rasulullah dengan mahar sebesar 400 dinar. 

Ummu Salamah (wafat 57 H/676 M) 
Nama lengkapnya adalah Hindun binti Umaiah, termasuk sahabat wanita yang masuk Islam pada jangka masa pertama. Dia termasuk yang ikut hijrah dua kali (Habsyah dan Madinah). Suaminya mati syahid dalam perang Badar, lalu Rasulullah menikahinya. Beliau termasuk wanita yang jenius, berakhlak mulia dan pandai menulis dan membaca. Dia dikurniakan usia yang panjang, dia wafat di Madinah dan dimakamkan di Baqi. 

Zainab binti Jahsy (wafat 20 H) 
Nama asalnya adalah Burrah, sepupu Rasulullah. Semula dia menikah dengan Zaid bin Haritsah, setelah dicerai, dia dinikahi Rasulullah dan diberi nama Zainab dan dipanggil dengan gelaran Ummul Hakam. Dia sangat warak dan kuat beragama serta banyak bersedekah. Beliau juga seorang yang suka bekerja sendiri, membantu orang-orang miskin dan selalu memberi derma kepada keluarga dan anak yatim. 

Penutup
Keluarga Islam adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Subhanahu wa ta’ala yang mana asas pemahaman anggotanya adalah hanya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala dan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Setiap anggota keluarga Islam ini menjalankan hak dan kewajiban masing-masing sesuai dengan peraturan Allah Subhanahu wa ta’ala. Ketaatan ini dimulakan dari sejak awal, iaitu dari sejak menentukan kriteria pasangan hidup, proses memilih, peminangan, pernikahan, serta proses menjalani kehidupan rumahtangga, iaitu sentiasa berada di jalan kebenaran, jalan Allah Subhanahu wa ta’ala. Untuk mengecapi sebuah keluarga yang bahagia, kukuh dan menurut syarak, konsep pentadbiran keluarga menurut Islam dan konsep pentadbiran Rasulullah dalam keluarga perlu diperaktikkan. Kehidupan pernikahan adalah kehidupan persahabatan antara seorang suami dan isterinya. Suami menjadi sahabat kepada isterinya dan isteri menjadi sahabat kepada suaminya secara sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Konsep keluarga berlandaskan Islam perlu dilaksanakan bagi memudahkan umat Islam untuk mentadbir dan membimbing keluarga di jalan yang sebetulnya. Umat Islam tidak seharusnya mencontohi cara kehidupan masyarakat barat. Hal ini adalah kerana cara dan konsep kehidupan masyarakat Barat adalah bertentangan dan berbeza dengan cara kehidupan umat Islam. Setiap manusia yang dikurniakan keluarga seharusnya bersyukur kerana bukan semua orang bernasib baik, ada juga yang dilahirkan sebagai yatim piatu. Oleh itu kita seharusnya bersyukur dan menghargai nikmat pemberian Tuhan. Kasih sayang keluarga adalah harta yang tidak ternilai dan tidak dapat diganti dengan wang ringgit

------------------------

Ustaz Ustaz Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com