Tajuk: Kelahiran Umar Bin Abdul Aziz

PENDAHULUAN

Umar bin Abdul Aziz ialah khalifah ke-8 dalam kerajaan Bani Umayyah. Beliau juga sering dianggap khalifah ar-Rasyidin yang ke-5 disebabkan sistem pemerintahannya yang berteraskan ciri-ciri sistem pemerintahan khalifah ar-Rasyidin. Beliau dikenali sebagai orang bangsawan yang berbudi halus. Kehidupan beliau sebagai gabenor sungguh jauh berbeza daripada kehidupannya sebagai khalifah. Orang ramai akan tahu bahawa beliau telah lalu di sesuatu jalan cuma daripada bau minyak wangi yang digunakannya. Beliau juga menjadi ikutan pemuda sezaman dengannya. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa beliau ditakdirkan melakukan usaha yang bersejarah dalam Islam kecuali ketulusan peribadinya serta keadilan sikapnya. Beliau terbukti sebagai suatu mukjizat Islam yang nyata. Cara beliau dilantik menjadi khalifah juga luar biasa kerana tidak seorang pun dapat menduga berlakunya deretan peristiwa sehingga menyebabkan beliau mencapai jawatan khalifah. Umar bin Abdul Aziz seorang yang berjiwa halus tetapi tegas. Ini terbukti melalui cara pemerintahan yang dilaksanakan olehnya pada kerajaan Bani Umayyah yang membawa kepada kejayaan membentuk kembali aqidah, akhlak, dan pemikiran yang menurut Islam. Beliau juga menerapkan kembali cirri-ciri pemerintahan yang pernah dilaksanakan oleh moyangnya, Umar bin Khattab. Beliau juga pernah menganggap dirinya sebagai pengganti kepada moyangnya Umar bin Khattab, tidak kepada Sulaiman bin Abdul Malik. Umar seorang yang amanah dan tidak sesekali akan menyalahgunakan harta kerajaan meskipun beliau mempunyai hak tetapi beliau tidak. Beliau juga mengubah sikap kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat tunggal dalam pentadbirannya. (Nadwi, Abulhasan Ali, 1913, 37) 

Kelahiran Umar bin Abdul Aziz
Nama sebenar Umar bin Abdul Aziz ialah Abu Hafs Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin As bin Umayah bin Abd Syams. Beliau keturunan Umar bin Khattab melalui ibunya yang bernama Laila Umm Asim binti Asim bin Umar bin Khattab. Beliau dilahirkan di Madinah al-Munawwarah pada tahun 63H/682M. Bapanya pernah menjadi gabenor Mesir selama beberapa tahun. Beliau ialah sepupu kepada khalifah yang ke-7 dalam kerajaan Bani Umayyah iaitu Sulaiman bin Abdul Al-Malik. Beliau terkenal kerana sentiasa menerapkan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah s. a. w. Setelah bapanya wafat, bapa saudaranya, Khalifah Abdul Walid bin Marwan (khalifah ke-6) membawa beliau ke Damsyik dan dikahwinkannya dengan puterinya yang bernama Fatimah dan beliau dilantik sebagai penyelia perusahaan susu selama 2 tahun. (Ensiklopedia Islam, 2004, 122 dan Ensiklopedia Dunia, 2005, 69) 

Kemudian beliau dipilih oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Walid sebagai penguasa di Madinah al-Munawwarah pada tahun 87H/705M. Kemudian kuasanya diperluaskan sehingga meliputi Makkah dan Ta’if dan seterusnya menjadi pemerintah seluruh Hijaz pada tahun 93H/711M. Ketika itu beliau baru berusia 24 tahun. Penampilannya sebagai gabenor sangat berbeza daripada para gabenor yang lain kerana beliau sangat adil dalam memerintah. Lantaran itu, beliau dicatat sebagai gabenor yang berprestasi dan bereputasi baik. Sikap lemah lembut beliau terhadap musuh Bani Umayyah yang berhijrah ke Hijaz menyebabkan gabenor Iraq, Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi tidak menyukainya. Justeru itu, Umar berselisih pendapat dengan khalifah akibat hasutan Hajjaj dan para pendokongnya yang tidak menyenangi Umar serta ditambah lagi dengan satu fitnah yang mengatakan dia melindungi orang yang lari daripada pengadilan (Iwa’ al-Farini) menyebabkan beliau dipecat pada tahun 93H/711M. Tetapi semasa pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik bin Marwan, beliau diberi kepercayaan lagi dengan menjawat sebagai al-Katib (setiausaha). (Ensiklopedia Dunia, 2005, 69) 
Walaupun begitu, Umar tidak pernah bercita-cita untuk menduduki jawatan khalifah. Ketika khalifah Sulaiman menderita sakit, dia meminta pertimbangan daripada wazir (Perdana Menteri) Raja bin Haiwah, tentang siapa yang layak menjadi khalifah untuk menggantikannya, kerana putera mahkota, Ayyub, meninggal. Pada waktu itu, Raja mengemukakan bahawa Umar bin Abdul Aziz adalah calon yang tepat untuk jawatan itu kerana beliau seorang lelaki yang soleh untuk dijadikan khalifah umat Islam dan bersesuaian dengan pelantikan khalifah secara warisan. Pada mulanya keluarga Abdul Malik atau penyokong-penyokong Yazid dan Hisham cuba menentang perlantikan Umar tetapi akhirnya mereka bersetuju setelah menerima amaran keras daripada Raja bin Haiwah. (Ensiklopedia Islam, 1998, 99) 

Namun begitu, Umar dalam satu perbincangan dengan Raja tentang sakitnya khalifah dan penggantinya, mengatakan kepada Raja, “Dengan bersaksi Tuhan saya meminta kepadamu, seandainya khalifah menyebut-nyebut nama saya untuk jawatan itu, hendaklah engkau menghalanginya, dan kalau dia tidak menyebut-nyebut nama saya, janganlah engkau mengingatkan kepadanya. ” Namun, rupa-rupanya sebelum khalifah Sulaiman wafat, dia bersama wazirnya itu telah membuat keputusan, bahawa Umar diangkat menjadi khalifah pengganti dan Yazid bin Abdul Malik ditunjuk pula sebagai calon khalifah sesudah Umar. Pada 99H/717M, Umar dibaiat dan dilantik sebagai khalifah Bani Umayyah yang ke-8 menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik yang meninggal dunia di Dabiq. (Ensiklopedia Islam, 2004, 123) 

Perlantikan Umar telah menggemparkan keluarga Abdul Malik. Menurut wasiat Abdul Malik, khalifah selepas Sulaiman ialah anaknya Yazid bin Abdul Malik. Tetapi oleh kerana keistimewaan yang ada pada Umar menyebabkan khalifah Sulaiman mencalonkan beliau sebagai penggantinya. Umar bin Abdul Aziz adalah seorang yang warak dan sangat patuh kepada ajaran Islam dan tidak ada seorang pun daripada khalifah-khalifah Bani Umayyah yang dapat menandinginya dalam hal ini. Dari awal-awal lagi beliau telah cuba melaksanakan pentadbiran Islam sepenuhnya sepertimana yang dilakukan oleh moyangnya, Umar bin al-Khattab. Dengan sebab itu, beliau pernah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai khalifah al-Rasyidin ke-5. (Ensiklopedia Islam, 1998, 99) 

Beliau seorang khalifah yang sangat jujur kerana tidak suka menggunakan harta negara untuk kepentingan peribadi. Beliau hanya sempat memerintah selama 2, 5 tahun. Walaupun masa pemerintahannya terlalu singkat, beliau telah berjaya mendamaikan pelbagai pertelingkahan dalaman umat Islam, terutama dengan kaum Syiah. Dikatakan bahawa kematian Umar kerana diracun di rumah paderi Sam’an dari negeri Mu’irrah. Pada bulan Februari tahun 102H/720M, beliau kembali ke rahmatullah setelah sakit selama 20 hari dan tempat beliau digantikan oleh Yazid bin Abdul Malik. Beliau disifatkan sebagai kesedihan Bani Umayyah kerana pada zaman kanak-kanak beliau pernah terjatuh dari kenderaannya dan mukanya luka. (Ensiklopedia Untuk Pelajar, 2003, 31 dan Ensiklopedia Dunia, 2005, 70) 

Pendidikan Umar bin Abdul Aziz
Semasa bapanya dilantik sebagai pemerintah di Mesir, beliau turut dibawa bersama dan di sana beliau menghafal al-Quran. Kemudian bapanya telah menghantarnya ke Madinah semula mempelajari ilmu agama dan mendalami ilmu sastera. Kota Madinah pada masa itu menjadi pusat ilmu pengetahuan dan khazanah para ulama hadis dan tafsir. Di kota Madinah ini beliau mendapat pendidikan dan pengajaran serta bimbingan yang sihat. Pendidikan yang diperolehinya sangat mempengaruhi kehidupan peribadinya di kemudian hari dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya. Beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya di kota Madinah sehingga ayahnya wafat pada tahun 85H/704M. (Ensiklopedia Islam, 2004, 122) 

Sumbangan Umar bin Abdul Aziz

Sepanjang tempoh pemerintahannya di Hijaz, langkah pertama yang diambilnya adalah membentuk sebuah ‘Dewan Penasihat’ yang beranggotakan sepuluh ulama yang berpengaruh di kota itu. Di dalam dewan itu, beliau bersama mereka membincangkan pelbagai masalah agama, urusan rakyat dan pemerintahan. Melalui dewan itu beliau berusaha mempersatukan pandangan antara umara (penguasa) dengan ulama dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan pemerintah. Antara sumbangan yang lain ialah menggali telaga-telaga, membaiki jalan, memerintah dengan penuh keadilan tanpa penentangan daripada para pembangkang politik Bani Umayyah dan gabenor-gabenornya. Beliau berjaya menarik hati semua golongan dan menghormati mereka. (Ensiklopedia Dunia, 2005, 69 dan Ensiklopedia Islam, 1998, 98) 
Walaupun tempoh pemerintahan Umar agak singkat, beliau telah membuat beberapa dasar penting. Dasar yang ditetapkannya meliputi bidang agama, sosial, politik dan ekonomi. Dalam bidang agama, beliau menghidupkan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s. a. w seperti pada zaman moyangnya, Umar bin Khattab, dalam rangka mengembalikan kemuliaan agama dalam pelbagai aspek kehidupan dan menggunakannya untuk mewarnai kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Beliau kemudian menerapkan hukum syariat secara serius dan sistematik. Namun, jasanya yang paling penting dalam bidang agama dan pengetahuan, yang hasilnya dapat diwarisi umat Islam sampai kini, adalah inisiatifnya untuk mengadakan kodifikasi hadis. Faktor yang mendorongnya melakukan sedemikian adalah kerana beliau khuatir hadis-hadis akan lenyap dan hadis-hadis palsu pula akan muncul. Beliau memerintahkan seluruh pemerintah negeri dan ulama hadis agar mencatat hadis-hadis. Pada waktu itu, hadis masih tersimpan dalam hafalan para sahabat dan rawi atau periwayat serta dalam catatan peribadi. Tugas untuk menghimpun dan menulisnya beliau amanahkan kepada ulama besar Imam Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri. (Ensiklopedia Islam, 2004, 122) 

Dalam bidang politik, Umar menerapkan prinsip politik yang menjunjung tinggi kebenaran dan keadilan yang lebih utama daripada segala-galanya. Untuk melaksanakannya, beliau kemudian mengirim utusan-utusan ke beberapa negeri untuk melihat langsung cara kerja para gabenor. Beliau akan terus memecat jika ada amil atau gabenor yang tidak taat menjalankan agamanya dan bertindak zalim kepada rakyat seperti Yazid bin Abi Muslim (gabenor Afrika Utara) dan Salih bin Abdur Rahman (gabenor Iraq). Beliau juga mengembalikan tanah yang dirampas para penguasa kepada pemiliknya. Dalam menyelesaikan pertelingkahan, beliau menekankan bahawa para hakim harus berdasarkan al-Quran, sunnah Rasulullah s. a. w., ijmak, dan ijtihad. Oleh itu, beliau menetapkan beberapa syarat; memiliki ilmu pengetahuan tentang sejarah; menjauhi sifat tamak; bersifat penyantun; bekerjasama dengan para cendekiawan; dan bebas daripada pengaruh penguasa. (Ensiklopedia Islam, 2004, 123) 
Dalam bidang ekonomi pula, beliau mengurangi beban cukai yang dipungut daripada kaum Nasrani, menghantikan jizyah (cukai) daripada umat Islam, membuat aturan mengenai timbangan dan sukatan, membasmi cukai dan kerja paksa, memperbaiki tanah pertanian, pengairan, penggalian sumur-sumur, pembangunan jalan, menyediakan tempat penginapan bagi musafir, dan menyantuni fakir miskin. Dalam bidang ketenteraan Umar tidak menmberi perhatian untuk membangunkan angkatan yang kuat dan berlebih-lebihan. Beliau lebih mengutamakan urusan dalam negeri iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat. Langkah lainnya adalah menghapus kebiasaan mencela nama Ali bin Abi Talib dan keturunannya dalam khutbah setiap solat Jumaat, suatu kebiasaan yang sudah berjalan sejak Mu’awiyah bin Abi Sufyan, pengasas kerajaan Bani Umayyah. Meskipun Mu’awiyah mengakui Ali itu orang terhormat, tetapi dorongan nafsu politiknya memaksanya untuk mencela nama musuhnya itu. (Ensiklopedia Islam, 2004, 124) 

KESIMPULAN
Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa Umar bin Abdul Aziz ialah seorang yang bersifat sederhana, bijaksana, adil dan jujur, alim dan warak serta tawaduk dan zuhud. Beliau juga tidak memanfaatkan langkah-langkah yang disumbangkannya untuk memperkayakan dirinya, malahan beliau mengimbanginya dengan pola hidup yang sederhana dan keperibadian yang terpuji. Sebagai keluarga bangsawan beliau mungkin hidup mewah. Sebelum menjadi khalifah, beliau juga gemar memakai pakaian sutera selain memakai wangi-wangian. Namun begitu, keadaan berubah setelah beliau menjadi khalifah. Beliau juga menolak kuda-kuda kenderaan yang ditawarkan kepadanya oleh petugas kerajaan untuk mengangkut barang-barangnya. Lantas beliau menjual kuda-kuda itu dan memasukkan hasilnya ke dalam tabung negara (Baitulmal). Bahkan pakaiannya juga digantikan dengan yang lebih kasar. Malah tanah perkebunannya dan perhiasan isterinya juga beliau jual dan hasilnya beliau masukkan ke dalam Baitulmal. Beliau juga tidak mahu memakai harta negara untuk keperluan peribadi. Disebabkan sikap adilnya terhadap semua pihak yang diamalkan olehnya menyebabkan penganut agama lain seperti Kristian, Yahudi dan penyembah berhala turut menyanjunginya. Justeru itu, ramai di antara mereka termasuk kaum Barbar, bangsa Parsi dan juga Raja Sind (India) yang menganut pelbagai agama telah memeluk Islam. Kebaikan Umar juga bukan sahaja disebut oleh rakan-rakan dan penyokongnya tetapi juga oleh musuhnya dari keluarga Bani Abbas. Bahkan disebabkan pembaharuan sistem kewangan yang dilakukannya menyebabkan rakyatnya menjadi makmur sehingga sukar untuk berjumpa dengan pengemis dan faqir miskin yang berhak menerima zakat. Dalam tempoh pemerintahannya yang singkat selama 2, 5 tahun, beliau telah membawa banyak perubahan dan kerajaan Bani Umayyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurangnya penyelewengan dan Baitulmal juga penuh dengan harta zakat. Semuanya kerana jasa Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh pemerintah pada zaman sekarang. Tempoh pemerintahan Umar hanya singkat namun beliau dapat mengubah sistem pemerintahan kepada pemerintahan yang diredhai Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman. 

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com