Tajuk: Kelahiran Ali Bin Abi Talib dan sumbangannya dalam dakwah Islam

PENDAHULUAN:

Ali Bin Abu Talib merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, ketika berusia 10 tahun. Al Hasan bin Zaid dikatakan bahawa Ali tidak pernah menyembah berhala sedikitpun, kerana usianya pada waktu itu masih terlalu kecil. Ali merupakan orang yang pertama kali menerima Islam kerana sejak kecil Ali di bawah asuhan Rasulullah s.a.w. dan Khadijah, sehingga ia tidak sempat terpengaruh oleh tradisi kafir jahiliyah pada masa itu. Beliau merupakan pemuda berketurunan Bani Hasyim yang lahir di Mekah pada tahun 600 masihi iaitu 10 tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik sebagai Rasul. Ali merupakan sahabat, sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w, suami kepada sayidatina Fatimah. Ali telah dipelihara oleh Nabi Muhammad sejak kecil. Nabi mengambil Ali sebagai anak angkatnya untuk mengurangkan beban dan tangunggan ayahnya, Abu Talib yang mempunyai ramai anak. Ali wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah bersamaan 661 Masihi kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam. Ali terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan yang luar biasa sehingga Nabi menggelarnya Zu Al-Fiqar dan Asad Allah. Ali memiliki sifat yang sangat mulia, bermaruah, jujur, menghormati janji dan berhati-hati dalam urusan harta benda orang Islam. Beliau juga mempunyai ilmu pengetahuan agama yang sangat tinggi, berpandangan jauh, pandai berhujah dan mempunyai daya pemikiran yang sangat tajam. Ali pernah menyelamatkan nyawa Nabi Muhammad s.a.w dengan tidur di tempat tidur Rasulullah untuk mengaburi mata kaum Quraisy. Ali sentiasa menyertai perang menentang kaum kafir pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, bahkan terus mendampingi nabi sehingga kewafatan baginda. Ali pernah memegang bendera sewaktu perang yang telah membawa kejayaan pada tentera Islam ketika itu. Beliau merupakan periwayat hadis, pernah menjadi jurutulis kepada satu perjanjian. Ali menerima jawatan sebagai khalifah yang ke empat semasa negara berada di dalam keadaan tidak aman. Pelbagai masalah politik, keselamatan negara dan masalah umat Islam terpaksa di hadapi oleh Ali. Beliau turut menghadapi tentangan daripada gabenor Syam iaitu Muawiyah Bin Abi Sufian. 

Khalifah al-Rasyidin keempat. Ali bin Abu Talib adalah sahabat, sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w, suami kepada Sayidatina Fatimah. Beliau dilahirkan di kota Mekah pada tahun 600 Masihi, iaitu 10 tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik sebagai rasul. Nama lengkap dan keturunanya ialah Ali bin Abu Talib bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurashi. Ali adalah kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, iaitu ketika berusia 10 tahun (Hamzah, 1998: 242). Nabi Muhammad s.a.w menjaga Ali sejak usia 6 tahun dan pernah menyebutnya sebagai “saudaraku” dan “ahli warisku” (Rahman, 2003: 43). Nabi Muhammad mengambil Ali sebagai anak angkatnya untuk mengurangkan beban dan tanggungan ayahnya, Abu Talib yang mempunyai ramai anak (yahaya, 1986: 107). Ali terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan sehingga Nabi Muhammad s.a.w. menggelarnya Zu al-Fiqar. Beliau juga digelar asad Allah. Ali memiliki sifat mulia, bermaruah, jujur, menghormati janji dan berhati-hati dalam urusan harta benda orang Islam. Kesemuanya adalah hasil didikan yang diterimanya daripada Rasulullah s.a.w. (Hamzah, 1998: 242). Ali juga mempunyai ilmu pengetahuan agama yang sangat tinggi, jujur, berpandangan jauh dan pandai berhujah. Beliau juga terkenal sebagai orang yang mempunyai daya pemikiran yang tajam. Dengan sebab itu beliau di pilih menjadi penulis wahyu dan surat-surat Rasulullah. Dalam konteks hari ini beliau dianggap sebagai Setiausaha Rasulullah (Yahaya, 1986: 107). 

Dalam perkembangan dakwah Islam, Ali adalah seorang pejuang yang bersifat berani (Hamzah, 1998: 243). Pada suatu malam Rasulullah menyuruh Ali bin Abu Talib untuk tidur di tempat tidur beliau dan berselimut dengan selimut beliau. Perintah yang seberat ini tidak mungkin akan diterima oleh orang lain dengan hati yang lapang, pada saat itu, Ali sedar akan bahaya yang akan ditanggungnya, akan tetapi kerana keteguhan iman Ali dan besarnya kecintaannya kepada Rasulullah, maka Ali menerimanya dengan lapang dada. Demikianlah Ali melaksanakan perintah Nabi, Allah menutup mata mereka dan dengan mudah sekali Nabi keluar dari rumahnya. Dengan menaburkan sedikit tanah di atas kepala mereka, sambil membaca pemulaan surah Yasin, kemudian Nabi pun lalu di hadapan mereka dengan selamat (al-Muhdhor, 1993: 490). Pernah Rasulullah mengalami krisis ekonomi, sehingga tidak ada sesuatu pun untuk dimakannya. Ketika berita ini didengar oleh Ali, maka Ali keluar mencari pekerjaan yang hasilnya akan diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Ia menuju ke kebun seorang yahudi dan disana beliau mengairi pohon-pohon kurma, dengan satu perjanjian setiap satu timba akan diberi sebiji buah kurma. Waktu itu Ali sempat mengairi sebanyak 17 timba, sehingga beliau pulang dengan membawa 17 biji buah kurma (al-Muhdhor, 1993: 495). Ali bersama-sama baginda dalam semua peperangan kecuali perang Tabwuk kerana ditugaskan agar berada di Madinah. Dalam perang Khandak, beliau antara pejuang Islam yang banyak menghapuskan musuh. Manakala dalam Perang Khaibar, beliau adalah pemegang bendera yang membawa kejayaan kepada tentera Islam. Ali juga merupakan seorang periwayat hadis, mengahafaz al-Quran dan banyak mengeluarkan fatwa. Dalam bidang bahasa, beliau adalah penyair yang berkaliber (Hamzah, 1998: 243). Setelah menjadi khalifah (656) untuk menggantikan Uthman yang terbunuh, Ali memulakan pemerintahannya dalam suasana penuh kesedihan. Baginda antara lain memecat pegawai yang dilantik oleh Uthman (memerintah 644-656) ; mengambil tanah yang telah dibahagi-bahagikan oleh Uthman kepada kerabatnya; memberi kaum muslimin bantuan daripada baitulmal secara adil; menyusun sistem pemerintahan dengan menekankan kepentingan umat; meninggalkan Kota Madinah dan menjadikan Kufah sebagai pusat pemerintahan (Rahman, 2003: 43). 

Antara masalah lain yang dihadapi oleh saidina Ali termasuklah tuntutan daripada Sayidatina Aisyah, Talhah dan Zubir supaya Khalifah Ali menjadikan hukum syarah terhadap pembunuh Khalifah Uthman. Khalifah Ali turut menghadapi tentangan daripada gabenor Syam, Muawiyah bin Abu Sufian. Muawiyah tidak mahu memberi baiah kepada Ali selagi beliau belum menjalankan hukuman terhadap pembunuh Khalifah Uthman. Disebabkan hal ini, berlakulah peperangan diantara tentera Ali dan tentera Muawiyah. Perang yang berlaku pada tahun 657 Masihi ini dinamakan Perang Siffin. Perang tersebut berakhir dengan Majlis Tahkim. Akibatnya penyokong Ali berpecah dua, iaitu penyokong dan penentang. Mereka yang menyokong dikenali sebagai kaum Syiah dan mereka yang menentang pula dikenali sebagai kaum Khawarij (Hamzah, 1998: 244). Di tahun ke dua Hijrah, terjadilah perang Badar Al Kubra, suatu peperangan yang menentukan berlangsungnya keberadaan umat Islam dan dakwahnya. Untuk mengahadapinya, Rasulullah sebagai pemimpin perang yang amat cerdik, menyuruh Hamzah, Ali dan Abu Ubaidah. Di tengah pertandingan, Abu Ubaidah yang berlawan dengan Uthbah sempat terpotong kakinya, sehingga ia gugur sebagai syahid. Sedangkan Ali yang berhadapan dengan Al Walid dapat menghabisi nyawanya dengan cepat. Ali turut memegang bendera Rasulullah semasa perang Badar (al-Muhdhor, 1993: 496). Semasa perang Uhud, ketika Ali mengetahui keadaan Rasulullah yang parah, maka Ali segera menarik Rasulullah bersama Thalhah bin Ubaidilla hingga beliau dapat tegak kembali. Kemudian Malik bin Sinan segera menyedut darah yang bercucuran di wajah Rasulullah s.a.w (al-Muhdhor, 1993: 498). Semasa perang Khandak, Ali bin Abu Talib tampil menghadap Amru ketika disuruh berbuat demikinan semasa berada di medan perang dan beliau sanggup menghadapi tentangan Amru (al-Muhdhor, 1993: 500). Perdamaian Hudaibiyah diadakan tepat di bulan Dzil Qa’dah pada tahun ke 6 Hijrah. Pendamaian Hudaibiyah ini diadakan kerana pada waktu itu kaum musyrikin Quraisy melarang kaum muslimin memasuki kota Mekah untuk mengerjakan Umrah. Disebabkan itu, Rasulullah menyuruh Ali menulis isi perjanjian Hudaibiyah di antara kaum Quraisy (al-Muhdhor, 1993: 502). Perang Khaibar terjadi pada akhir bulan Muharram tahun 7 Hijrah. Di dalam peperangan ini nampak sekali kepahlawanan Ali bin Abu Talib dan kemuliannya yang diberikan Allah dan RasulNya kepadanya. Yang mana ia ditakdirkan oleh Allah dapat menakluk benteng Khaibar yang merupakan pertahanan yang paling strategik dan kuat bagi bangsa Yahudi di Jazirah Arab yang menakjubkan sekali (al-Muhdhor, 1993: 503). Rasulullah s.a.w mengutuskan Ali bin Abu Talib ke Yaman dengan dibekali sebuah surat untuk mengajak penduduk Yaman masuk Islam. Ketika surat itu dibacakan oleh Ali di hadapan mereka, maka seluruh kaum Hamdan menyatakan ke Islaman mereka. Dengan segera Ali bin Abu Talib menulis surat kepada Rasulullah untuk memberitahukan ke Islaman kaum Hamdan. Rasulullah s.a.w bersujud sebagai tanda syukur dan berdoa untuk keselamatan kaum Hamdan (al-Muhdhor, 1993: 508). Pada akhir pemerintahan Ali, suasana di dalam negara semakin kucar kacir. Oleh itu, tiga orang Khawarij iaitu Abdul Rahman bin Muljam, al-Birk bin Abdullah dan Amru bin Bakar al-Tamimi, merancang untuk membunuh Ali, Muawiyah dan Amru bin al-As agar umat Islam terlepas daripada peperangan yang dicetuskan oleh perebutan jawatan khalifah (Hamzah, 1998: 244). 

Ali bin Abu Talib wafat pada tahun 41 Hijrah bersamaan 661 Masihi ketika beliau dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh (Azman, 2003: 85). Bagaimanapun kedua-dua rakan Ibnu Muljam tidak berjaya membunuh kedua-dua sahabat yang menjadi sasaran mereka (Hamzah, 1998: 244). 

KESIMPULAN:
Khalifah Ali bin Abu Talib mempunyai perwatakan yang amat baik. Beliau banyak membantu dalam memperkembangkan ajaran Islam dikalangan umat terdahulu. Ini kerana beliau dididik dan dibesarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ali bin Abu Talib banyak berjasa semasa zaman pemerintahan beliau sebagai Khalifah ar-Rasyidin ke-4. Ali merupakan seorang khalifah yang jujur, bertanggungjawab, bermaruah dan berhati-hati dalam urusan harta benda orang Islam. Ali terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan. Ini dapat dibuktikan apabila beliau banyak menyertai siri peperangan bersama Rasulullah. Antara siri peperangan seperti perang Badar, Uhud, Khandak, Khaibar dan perang Siffin. Ali sanggup tidur di tempat tidur Rasulullah bagi mengelakkan Rasulullah dibunuh oleh orang Quraisy kerana kecintaan beliau kepada Rasulullah. Ali seorang khalifah yang cekal dan tabah, ini kerana beliau menerima jawatan sebagai khalifah dalam keadaan negara yang huru-hara dan tidak aman. Beliau wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah bersamaan 661 Masihi kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam di bandar Kufah ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh. 

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com