Tajuk: Sahifah Madinah Dan Pengajaran Yang Boleh Didapatinya

Sinopsis
Penerimaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. sebagai ketua negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari semasa ke semasa. Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian daripadanya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai kuasa terhadap kaumnya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. adalah sebagai ketua hakim yang akan memutuskan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan di luar bidang kuasa ketua-ketua kaum berkenaan. Orang-orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan hendaklah mereka membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam. Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini. Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Mekah sebelum hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. ke Madinah. Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. 

PENDAHULUAN
Ketika ketibaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. di Madinah, terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Kharaj digelar sebagai Ansar iaitu Golongan Penolong dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Mekah pula digelar Muhajirin iaitu golongan Pendatang. Orang-orang Yahudi di Madinah terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa’, Quraizah dan Nadir. Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. membuat perjanjian dengan seluruh penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah. Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini. Ini kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi MuhammadSallallahu ‘alaihi wa sallam. untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu ialah Al-Qur’an yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu. Ia berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi amalan perlembagaan di negara itu. Piagam Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan plak buku teks untuk kanak-kanak raja. Ia juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Mauriya, yang hanya menjadi buku teks pembelajaran untuk anak-anak raja waktu itu. Ia juga dikatakan aspek utama piagam Madinah. 

PERBINCANGAN
Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Mekah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam. Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh mengganggu penganut-penganut agama lain. Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini member peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam. Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi MuhammadSallallahu ‘alaihi wa sallam. sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolak oleh orang-orang Yahudi. (Abdul Basit bin Abdul Rahman, 2002) 

Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam ini akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam ini, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa’ yang berkomplot dengan orang Arab Quraisy Mekah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana bekerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjasama dengan Quraisy Mekah dalam Perang Khandak. (Abdul Basit bin Abdul Rahman, 2002) 

Pembentukan Piagam Madinah
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dalam membentuk piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan peraturan-peraturan masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam ini. (H. Salim Bahreisy, 1980) 

Langkah pertama
Rasulullah mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah. (H. Salim Bahreisy, 1980) 

Langkah kedua
Beliau telah mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar. (H. Salim Bahreisy, 1980) 

Langkah ketiga
Beliau mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar. Berdasarkan langkah-langkah tersebut, maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam piagam ini ialah Nabi MuhammadSallallahu ‘alaihi wa sallam. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda. Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah. Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing. Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan kota Madinah dari serangan musuh-musuh dari luar kota ini. Keselamatan orang Yahudi terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut. (H. Salim Bahreisy, 1980) 

Tujuan Piagam Madinah
Tujuan Rasulullah mencipta piagam ini ialah untuk menghadapi masyarakat majmuk Madinah. Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk. Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum. Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan. Mewujudkan keamanan di Madinah. Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat. Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin. Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah. Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi. Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah. (Haji Abdul Hadi Awang, 1992) 

Prinsip Piagam Madinah
Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara. Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara. Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah. Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan Negara. Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara. Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial. Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan. Kebebasan beragama. Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam. Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian. (Haji Abdul Hadi Awang, 1992) 
Kandungan Piagam Madinah
Ulama’ berpendapat sahifah Madinah menepati piagam atau perlembagaan yang merupakan perjanjian di antara kerajaan dan rakyat dan penegasan tentang dasar Negara dan siasahnya. Terdapat 47 perkara di dalam sahifah Madinah dan bolehlah disimpulkan kepada 6 perkara iaitu memeterai perjanjian persaudaraan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Ikatan persaudaraan dalam kalangan tiap-tiap individu Muhajirin dan Ansar. Kedudukan orang-orang bukan Islam yang menjadi warga Negara Islam Madinah. Perisytiharan secara terbuka Negara Madinah adalah Negara Islam. Meletakkan hukum tertinggi iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bertindak sebagai ketua Negara dan meletakkan dasar bahawa kepimpinan seterusnya mestilah orang Islam. (Sh. Muhammad Ashraf, 1968) 

Kandungan Piagam Madinah

Fasal 1
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab iaitu Piagam Bertulis dari Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lali masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka. 

Fasal 2
Bahawa mereka adalah satu umat berbeza dari manusia-manusia lain. 

Fasal 3
Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka : mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima diyat (wang tebusan) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang beriman. 

Fasal 4
Bani Auf dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 5
Bani al-Harith dari Yathrib ke Madinah bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tia-tiap puak dari Suku Khazraj hendaklah membayar wang tebusandarah mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 6
Bani Saidah dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 7
Bani Jusyam dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 8
Banu al-Najjar dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 9
Bani Amru bin Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 10
Bani al-Nabiet dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 11
Bani Aus dari Yathrib tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman. 

Fasal 12
Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan untuk menbayar wang tebusan darah dengan adil. 

Fasal 12-b
Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang yang di bawah kawalan seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu. 

Fasal 13
Bahawa orang-orang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman atau dosa atau perseteruan atau kerosakan di kalangan orang-orang beriman, dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang dari mereka. 

Fasal 14
Tidak sayugianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir, tidak sayugianya ia menolong mana-mana kafir terhadap seseorang mukmin. 

Fasal 15
Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin hendaklah salinh menjamin sesama sendiri terhadap gangguan orang lain. 

Fasal 16
Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka. 

Fasal 17
Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu adalah satu dan sama, oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mukmin tanpa diturut serta oleh mukmin yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka. 

Fasal 18
Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya. 

Fasal 19
Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah. 

Fasal 20
Bahawa orang-orang mukmin lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya. 

Fasal 20-b
Bahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh menghalang orang mukmin dari haknya. 

Fasal 21
Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali dipersetuji oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mukmin hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatan itu, bahkan tidak harus bagi mereka menegakkan terhadapnya. 

Fasal 22
Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya Allah dan Hari Kemudian, menolong mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa menolong orang itu maka keatasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima darinya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat. 

Fasal 23
Berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad. 

Fasal 24
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang. 

Fasal 25
Kaum Yahudi Bani Auf adalah satu ummah bersama orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri dan orang Islam dengan agama mereka iaitu Islam, begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri. 

Fasal 26
Yahudi Bani al-Najjar diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. 

Fasal 27
Yahudi Bani al-Harith diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. 

Fasal 28
Yahudi Bani al-Saidah diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. 

Fasal 29
Yahudi Bani Jusyaim diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. 

Fasal 30
Yahudi Bani al-Aus diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. 

Fasal 31
Yahudi Bani Tha’alabah diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf, kecuali orang-orang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri. 

Fasal 32
Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah diperlakukan sama dengan Bani Tha’alabah. 

Fasal 33
Bani Shutaibah diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan. 

Fasal 34
Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah diperlakukan sama dengan mereka itu. 

Fasal 35
Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi diperlakukan sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri. 

Fasal 36
Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari Nabi Muhammad. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 36-b
Tidak boleh disekat dari membuat kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya, barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 37
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama0sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 37-b
Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang dizalimi. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 38
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana mereka berada dalam keadaan perang (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 39
Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 40
Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlaku sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 41
Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 42
Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 43
Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya. 
 (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 44
Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 45
Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama Islam. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 46
Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana pihak-pihak yang lain yang menganggotai ini demi kebaikan mereka semata-mata iaitu perdamaian dari anggota-anggota piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

Fasal 47
Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah, dan bahawa mulai dari saat ini barang siapa berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah. (Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti Terjemahan Ustadh Mohd. Yusuf Hj. Ismail, 1993) 

KESIMPULAN
Kesimpulan yang telah saya simpulkan, piagam Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia. Dengan tergubalnya piagam Madinah, lahirlah sebuah negara Islam pertama di dunia di kota Madinah yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad. Akhirnya, Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya. Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara. Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam Islam yang baru, terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang bangsa seperti Malaysia. 

-----------------------

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com