Tajuk: Riwayat Hidup dan Sumbangan Umar Al-Khattab

Pendahuluan
Dalam kajian ini, kita ingin membincangkan mengenai kehebatan Khalifah Umar al-Khattab. Menurut beberapa buah buku yang dikaji mengenai beliau, beliau berjaya mencipta sejarah keemasan negara Islam yang mendapat penghormatan dan sanjungan sepanjang zaman. Beliau khalifah Allah yang berbakat dan pintar menjadi lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Dalam masa 10 tahun 6 bulan beliau memerintah, seluruh empayar Rom dan Parsi tunduk di bawah kuasa pemerintahan Islam. Selain sebagai penakluk, Khalifah Umar al-Khattab berjaya menyusun pentadbiran yang berkesan dan teratur. Beliau pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara dan berjaya membentuk sebuah negara Islam yang baru. Di bidang keselamatan dalam negeri, beliau menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Pahlawan yang berjaya menundukkan Parsi dan Rom ini turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasaskan sistem pelajaran Islam. Umar al-Khattab mahir dalam ilmu fikah dan seorang pemidato yang hebat. Beliau seorang ahli gusti dan penunggang kuda yang cekap. Walaupun berada di tampuk kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini hidup sederhana mencontohi Rasulullah lebih-lebih lagi dalam bidang pentadbiran. Kita dapat lihat melalui kisah-kisah Saidina Umar Al-Khattab pada zaman pemerintahan dan kegemilangannya dan kisah-kisah tersebut dapat dijadikan teladan buat kita semua. Keberanian, ketegasan beliau serta kepandaian beliau dalam pentadbiran dan melaksanakan hukuman mahupun dari segi undang-undang yang bertepatan dengan syarak Islam pada ketika itu. Terdapat banyak hadis yang menerangkan tentang kebaikan dan kemuliaan Saidina Umar Al-Khattab. Hal ini menunjukkan Saidina Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang mempunyai sifat-sifat yang harus dicontohi oleh pemimpin masa kini. Pemimpin termasuklah pemimpin dalam keluarga pemimpin dalam sesuatu organisasi dan sebagainya. Sifat tegas Saidina Umar Al-Khattab menunjukkan beliau mempunyai pendirian yang tinggi dan sentiasa yakin dalam setiap perbuatan yang dilakukannya. Kepintaran beliau dalam menyusun pentadbiran dan juga mewujudkan pasukan-pasukan keselamatan demi menjaga Negara merupakan satu langkah yang baik bagi melancarkan pentadbiran semasa zaman pemerintahannya ketika itu.

Sejarah Hidup Saidina Umar al-Khattab & Sifat Peribadi Saidina Umar al-Khattab
Khalifah Umar bin Al-Khattab merupakan khalifah Islam yang kedua selepas Khalifah Abu Bakar ra. Perlantikannya merupakan wasiat daripada Khalifah Abu Bakar. Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam kira bicara, berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.
Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan Nabi, sewaktu berumur 33 tahun, kerana tertarik dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh adiknya Fatimah. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum ini beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat.
Beliau digelar “al-Faruq” yang bermaksud “orang yang membezakan hak dengan yang bathil”. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada gangguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad SAW juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya. Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh

Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang-orang ramai. Umar dilantik memegang jawatan sebagai khalifah kedua menggantikan Abu Bakar pada hari Selasa, 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, bersamaan dengan 23 Ogos 634 Masihi.
Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan adil. Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah. Pernah penyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika beliau memegnag jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya, malah beliau sendiri yang mengangkat gandum dan minyak untuk diberikan kepada salah seorang daripada golongan yang memerlukan.
Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya :
Kata mereka :
"Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya".

Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata :
"Benarkah mereka berkata demikian ?Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?". Bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak".

Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku" (Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah)
Beliau juga befikiran terbuka. Hal ini jelas apabila beliau menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat. Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan maskahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.
Sebelum memeluk Islam, beliau sangat kuat dan berani menentang Rasulullah SAW sikap beliau sangat ditakuti oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah. Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran “al-Faruq”
Beliau juga seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan rakyatnya. Beliau sendiri keluar menyamar sebagai rakyat biasa untuk meninjau keadaan rakyatnya. Pada suatu malam, beliau terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Beliau terus kembali mengambil gandum, memasakkan dan menyuapkan sendiri ke mulut kanak-kanak tersebut. Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

Kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Sumbangannya dalam Pentadbiran
Beliau telah membentuk Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am. Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah. Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.

Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan. Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah.
Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan. Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.

Golongan hamba pada masa itu diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka. Taraf golongan hamba disamakan dengan tuannya dalam hal tertentu, pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.

Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar Basrah. Tanah juga telah dikajiselidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.











Wafatnya Saidina Umar al-Khattab

Saidina Umar wafat pada tahun 644M selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi. Hamba Parsi tersebut ialah Abu Lu'lu'ah. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar di Masjid al-Nabawi. Abu Lu'lu'ah menikam beliau kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah. Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Kemudian, Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematian beliau.

Hadis Ibnu Abbas r. a katanya:
Ketika jenazah Umar bin Al-Khattab diletakkan di atas katil ramai orang yang datang menziarahi, berdoa, memuji dan menyembahyangkan jenazahnya sebelum dikebumikan. Ketika itu aku juga berada di kalangan mereka. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh seorang lelaki yang memegang bahuku dari belakang. Bila aku menoleh ke arahnya ternyata dia adalah Ali bin Abu Talib. Setelah berdoa untuk jenazah Umar, dia berkata: Kamu tidak meninggalkan seorang yang sangat aku cintai melebihi daripadamu. Sehingga bertemu dengan Allah sekalipun tidak ada yang dapat menandingi amalanmu. Demi Allah, aku yakin bahawa sesungguhnya Allah akan menempatkan kamu bersama-sama dengan dua orang Sahabat kamu di mana aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar dan aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar. Aku berharap semoga Allah menjadikan kamu bersama keduanya.

Kesimpulan
Melalui kajian ini, bolehlah disimpulkan bahawa Umar al-Khattab telah memberi banyak sumbangan dalam pentadbiran samada dari segi ekonomi, politik mahupun sosial. Dapat juga kita simpulkan bahawa Saidina Umar al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang tegas dan berani dalam sejarah hidupnya. Semasa beliau belum memeluk Islam beliau menentang Islam bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama beliau menentang Rasulullah SAW yang menyebarkan ajaran Islam pada ketika itu. Namun, dengan berkat doa Rasulullah, antara Abu Jahal dan beliau, beliau dipilih untuk memeluk Islam nescaya keislaman beliau telah membantu umat Islam menjadi lebih kuat dalam memperjuangkan Islam pada ketika itu. Beliau telah menjadi pencinta agung Rasulullah SAW. Beliau berhijrah secara terang-terangan dihadapan orang Quraisy tanpa perasaan takut dalam diri beliau. Terdapat beberapa hadith mengenai Umar al-Khattab. Antaranya ialah:

Dari Nabi s.a.w sabdanya: Aku bermimpi masuk ke dalam Syurga, aku melihat di dalamnya terdapat sebuah istana, maka aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Mereka iaitu Malaikat menjawab: Untuk Umar bin Al-Khattab. Aku cuba untuk masuk, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu. Setelah mendengar perkara itu, Umar menangis dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus cemburu kepadamu. (Hadis Jabir r. a)
Daripada hadith tersebut, kita dapat menilai bahawa Saidina Umar al-Khattab bukanlah seorang khalifah dan manusia biasa. Tetapi mempunyai banyak kelebihan sehinggakan disediakan syurga buatnya sebelum kewafatannya lagi. Ketegasannya dalam melaksanakan hukuman-hukuman mengikut syariat Islam tanpa mengira pangkat mahupun darjat menunjukkan beliau tegas dalam tugasannya sebagai khalifah pada zaman tersebut iaitu Zaman Khulafa’ ar-Rasyiddin. Oleh itu, sifatnya yang adil, tegas dan berani dapatlah kiranya kita contohi agar hidup kita sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com