Thursday, April 22, 2010

RIWAYAT HIDUP AL-FARABI DAN SUMBANGANNYA KEPADA TAMADUN ISLAM

DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN

DISEDIAKAN OLEH:
MOHD NABEHAN BIN MOHD RODZI
200981156

ABSTRAK
Al-Farabi merupakan seorang ilmuan Islam yang menguasai pelbagai ilmu pengetahuan tetapi beliau lebih cenderung dalam bidang falsafah dan mantiq. Sepanjang hayatnya al-Farabi kerap mengembara di samping berguru dengan ahli pujangga dan ahli falsafah yang masyhur untuk mendalami ilmunya. Beliau merupakan tokoh falsafah Islam yang sangat gigih dalam bidang penulisannya dan dikatakan menulis sekitar 100 karya ilmiah yang merangkumi pelbagai tema. Antara karyanya yang terkenal ialah kitab “Fi Mabadi Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah” yang menjelaskan tentang Teori Kemasyarakatan dan Kenegaraan al-Farabi. Al-Farabi tidak pernah mengambil usaha untuk mencatatkan sendiri peristiwa-peristiwa di dalam penghidupannya sejak dari kecil hinggalah ke zaman penhujung hayatnya. Beliau telah mempelajari pelbagai ilmu dan beliau telah mengklafikasikan berbagai ilmu tersebut kepada cabang ilmu kepada lapan kumpulan utama. Antara penulisan yang pernah al-Farabi tulis seperti membincangkan tentang fizik, falsafah tabii yang berkaitan dengan psikologi malah beliau juga pernah menulis tentang ilmu muzik. Penulisan al-Farabi juga melibatkan ilmu metafizikal yg berbagai dan berjumlah lima belas buah. Selain itu, al-Farabi juga lebih cenderung kepada politik dan beliau juga menyatakan pemimpin merupakan individu yang penting dalam pembentukan sesebuah negara. Pemimpin sangat diperlukan untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian sesebuah masyarakat dalam sebuah negara. Oleh itu beliau mengatakan yang pemimpin juga merupakan seorang tokoh falsafah. Tokoh falsafah juga sentiasa berpegang pada panduan berfikir iaitu berfikir dahulu sebelum bertindak. Hal ini adalah sangat sesuai untuk diaplikasikan ketika memimpin sesebuah negara. Oleh itu, adalah sesuai seseorang itu menjadi pemimpin jika mempunyai ciri-ciri tersebut agar negara yang dipimpinnya itu menjadi aman, makmur dan maju. Beliau juga pernah menyatakan yang seorang pemimpin itu perlulah sempurna dari sifat fizikal serta mental moralnya kerana fungsi ketua negara adalah amat berat dan merupakan asas keamanan sesebuah negara. Oleh kerana pelbagai falsafah serta penulisan yang dilakukan oleh al-Farabi telah menjadikan beliau merupakan seorang tokoh yang terkenal dan disegani pada masa itu.

PENGENALAN DAN RIWAYAT HIDUP AL-FARABI
Al-Farabi merupakan tokoh ahli fakir yang terkenal terutama dalam bidang falsafah. Nama sebenar beliau ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Bin Tarchan. Sebelum ini antara gelaran beliau yang telah diberikan kepadanya seperti Abu Nasr, “al-Mu’allimu al-thani”(Guru Kedua). Namun panggilan yang paling masyhur adalah al-farabi. Beliau telah dilahirkan pada sekitar tahun 257-339H bersamaan dengan 870-950M, semasa pemerintahan Khalifah al-Muti’illah ‘ala’llah dan meninggal dunia semasa pemerintahan Abu al-Qasim al-Muti’llah pada tahun 861-945M. Tempat lahir beliau terletak di satu tempat yang bernama Wasij dalam daerah Farab, Transoxiana, Turki. Manakala, Al-Farabi dikatakan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 339H ketika berumur kira-kira lapan puluh tahun. Al-Farabi mempunyai keperibadian yang tinggi antaranya pernah di katakana bahawa beliau mempunyai atau memiliki daya akal yang sangat tinggi sejak dari awal lagi dan mempunyai kelebihan menguasai hampir kesemua bidang ilmu pengetahuan. Beliau telah mempelajari pelbagai pendidikan dan ilmu seperti fikah, tafsir, ilmu hadis dan arithmetic asas. Al-Farabi menjalani kehidupan di dunia ini berdasarkan sistemnya yang tersendiri. Beliau mengamalkan cara hidup zuhud dan lebih cenderung pada pengasingan diri ‘uzlah’, malah beliau juga tidak tertarik untuk tinggal di rumah besar yang penuh dengan kemewahan. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang tekun belajar dan menuntut segala jenis ilmu pengetahuan dan berminat mengikuti aliran pemikiran daripada berbagai-bagai ahli fikir. Beliau juga mengisi masa usianya dengan membaca dan menulis di samping membuat komentar terhadap tulisan falsafah dan mantiq Yunani. Beliau juga mempunyai keupayaan yang tinggi dalam penguasaan dan penggunaan bahasa sehingga dia dapat menguasai tujuh puluh dialek. Beliau juga pandai bermain alat muzik disamping menulis buku muzik dengan tujuan untuk memberi idea yang lebih baik terhadap buku Yunani yang dulunya mempunyai terdapat beberapa kekaburan di dalamnya. Al-Farabi menjalani asas pendidikan berdasarkan dua disiplin yang besar iaitu pertamanya pendidikan awal di tempat sendiri di Farab. Kedua ialah ilmu pengetahuan yang ditimba sepanjang pengajiannya dan pengembaraan di luar daerah Farab. Antara ilmu yang pernah dipelajari pada tahap pertama ialah fikah, hadis, tafsir al-quran dan bahasa. Selain itu , al-Farabi juga dilaporkan menuntut ilmu fizik, matematik, astronomi dan muzik. Mengenai pekerjaan hariannya Ibn Abi Usaybi’ah menyatakn bahawa al-Farabi sewaktu di negerinya adalah seorang kadi.

Hasil Karya Dan Peri Pentingnya

Al-Farabi menulis banya penulisan tentang hampir kesemua cabang ilmu yang diketahui wujud di zaman Pertengahan dengan satu pengecualian yang perlu dicatatkan iaitu bidang perubatan. Para biografi tradisional telah mengenal pasti lebih seratus karya yang ditulisnya. Beberapa di antaranya ilah karya-karya itu hanya berterusan wujud di dalam terjemahan Ibrani dan Latin. Sebilangan besar daripada karyanya yang terus tersimpan masih tinggal dalam bentuk manuskrip. Al-Farabi menulis kesemuanya karyanya di dalam Bahasa Arab. Secara umumnya para sarjana bersetuju bahawa kebanyakan hasil karyanya ditulis sama ada di Baghdad atau Damsyik. Di sebabkan penulisan tokoh ini meluas mencakupi bidang yang berbagai, maka ramai sarjana moden yang cuba mengenal pasti bentuk serta pola penulisannya serta titik asas kemiripan intelektualnya dengan mengklafikasikan ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Pembahagian penulisannya lebih bermakna jika pembahagian itu menuruti pembahagian ilmu yang dikemukakan sendiri oleh al-Farabi di dalam kitab ihsa al-‘ulum. Di dalam Ihsa’ al-‘ulum, al-Farabi telah mengklasifikasikan berbagai-bagai cabng ilmu kepada lapan kumpulan utama; ilmu nahu dan linguistik, ilmu logik, ilmu matematik, ilmu fizik, ilmu metafizik, ilmu politik, ilmu fikah dan ilmu kalam. Bidang fikah mendapat catatan yang paling pendek di dalam perbincangan al-Farabi tentang cabang-cabang ilmu di dalam kitab yang dinyatakan. Bagaimanapun beliau lebih banyak berusaha kepada bidang logic berbanding dengan bidang lain. Beliau menulis syarah kepada keseluruhan karya logic Aristotle yang dikenali dengan nama Organan, termasuklah kategori, Heremenutika, Analitika Priora, Analitika Posteria, Topika, Sophistik atau Retorika dan Poetika. Sebuah karya yang penting lagi menarik ialah perbicaraan tentang hadis yang dikumpulnya dengan tujuan memberitahu dan membuktikan bahawa seni logik Aristotle sebenarnya digalakkan oleh hadis-hadis ini. Kedudukannya yang utama dalam bidang logik digambarkan oleh seorang hakim dan ahli sejarah idea Andalusia abad kelima bernama Said ibn Ahmad al-Andalusi. Kepakaran al-Farabi di dalam seni logic telah memenangi hati dan pujian bukan sahaja di kalangan generasi Muslim, malah juga oleh tokoh pemikir Yahudi di Zaman Pertengahan bernama Maimonides. (Bakar, 1991: 42-46)

Cabangan utama yang kedua daripada penulisan al-Farabi adalah membincangkan tentang fizik(tab’iyat). Di dalam cabangan ini, kita dapat membahagikan penulisan al-Farabi ke dalam tiga kategori utama. Pertama ialah kita dapati syarah ke atas beberapa buah penulisan Aristotle dan penafsir Greek bagi tokoh itu. Di antara yang terpenting di dalam kategori ini ialah Sharb kitab al-sama’ al-Tabi’ili Aristutalis(Syarah Tentang Ilmu Fizik Aristotle). Kategori kedua daripada cabang utama ini terdiri daripada beberapa buah risalah saintifik karangan tersendiri yang membincangkan tentang psikologi fakulti, zoology, meteorology, sifat ruang dan masa dan juga tentang vakum. Semua karya ini pada asasnya adalah sebuah risalah metafizik namun ia tetap penting bagi bidang fizik, Di dalam kategori yang ketiga dan terkahir kita dapati bahawa terdapat beberapa buah karya yang dikarang sebagai sanggahan kepada pandangan serta pendapat sesetengah ahli falsafah dah ahli kalam terutama tentang asoek khusus bagi falsafah tabii. Falsafah tabii risalahnya tentang psikologi yang paling penting. Ia juga boleh didapati di dalam kelompok karya sains politik (ketatanegaraaan) atau metafizik. Sebagai seorang yang mengamalkan tasawuf, al-Farabi lebih merupakan tabib jiwa berbanding dengan tabib jasad kerana beliau pernah menulis tentang pentingnya pengubatan dengan menggunakan kesan muzik terhadap jiwa. Di antara karyanya yang banyak bilangan di dalam ilmu muzik , kitab yang telah disebutkan ialah kitab al-musiqa al-kabir yang telah dianggap oleh orang ramai sebagai karya muzik yang paling penting tentang teori muzik di Zaman Pertengahan. (Bakar, 1991:49-50)
Di dalam bidang muzik, al-Farabi lebih daripada seorang pakar teori. Beliau juga merupakan seorang penggubah dan pemain muzik yang sangat hebat. Sebagai tambahan kepada kajian tentang muzik, kita juga perlu menyebut risalah beliau di dalam bidang ilmu yang bertajuk Fima yasihh wa ma la yasihh min ahkam al-nujum yang mana sebagai bukti yang al-Farabi tidak berkenan dengan menganggap astrologi sebagai satu ilmu yang sah. Kategori lain bagi penulisan al-Farabi melibatkan ilmu metafizikal yang berbagai dan berjumlah kira-kira lima belas buah. Di dalam kategori ini juga bentuk-bentuk atau jenis penulisan adalah di dalam bentuk pentafsiran, sanggahan, dan risalah-risalah karangan bebas. Dua buah karya yang penting yang berkaitan di antara satu sama lain ialah Maqalat fi aghrad ma ba’d al-tabi’iah dan Kitab al-huruf. Risalah metafizikal la-Farabi yang lain termasuklah yang masyhur, Fusus al-Hikam, KItab fi’lwahid wa’l-wandah. Fusus al-Hikam merupakan sebuah kitab al-Farabi yang masyhur dan berpengaruh secara berterusan di dunia Timur di dalam bidang metafizik. Sebagai tambahan kepada senarai karya metafizik yang dikemukakan di atas, patut disebut juga karya-karya al-Farabi seperti Ta’liqat fil-hikmah dan Kitab fi zuhur al-falsafah. Karya-karya ini membicarakan tentang punca metafizikal dan pernyataan sejarah bag Sophia atau hikmah. Walaupun al-Farabi menulis beberapa buah karya yang menyentuh tentang aspek khusus linguistic dan ilmu kalam, namun satu-satunya lagi kategori utama penulisan beliau yang perlu dititk berat ialah tentang falsafah politik atau sains kemsyarakatan. Karya al-Farabi tentang akhlak dan etika juga adalah salah satu karya yang termasuk di dalam kategori ini. Tema asas di dalam falsafahnya bagi bidang ini ialah kebahagiaan sebenar yang baginya adalah”kebahagiaan” duniawi dan kebahagian abadi di dalam penghidupan di hari kemudian. Karya beliau di dalam bahagian ini termasuklah kitab ara’ ahl al-madinat al-fadilah, Kitab al-siyasat al-madaniyah, Kitab al-millat al-fadilah. Karya-karya al-Farabi tentang politik yang merupakan karya-karya yang terakhir ditulisnya daripada karya-karyanya yang lain. Penulisan al-Farabi tentang politik mempengaruhi para pemikir Muslim dan Yahudi sehinggakan Ibn Rushd tokoh yang berbanding dengan ahli falsafah lainnya, jelas dipengaruhi oleh al-Farabi sehingga mempertahankan teori kenabian al-Farabi yang dikritik oleh al-Ghazali. Karya-karya al-Farabi tentag politik yang merupakan karya-karya yang terakhir ditulisnya daripada karya-karyanya yang lain dan di dalam satu suasana kejatuhan daripada segi mutu dan nilai penghidupan berpolitik, merupakan percubaan yang paling awal di dalam Islam di dalam memberi gambaran ilmiah dan kefalsafahan tentang apa itu yang dikatakan kerajaan dan masyarakat yang sempurna. Pengetahuannya tentang karya Plato iaitu Republic dan Laws menyediakan beliau dengan bahan-bahan intelektual untuk membentuk gagasan falsafah dan membuat analisis kefalsafahan sejauh mana karya klasik Greek ini bersesuian dengan doktrin politik dan agama di dalam Islam. Tokoh ‘nabi-raja’ yang dikemukan oleh Plato ditafsirkan oleh al-Farabi sebagai merujuk kepada nabi yang membawa syari’ah atau peraturan dan undang-undang Ilahi seperti yang terdapat di dalam tradisi rumpun agama Nabi Ibrahim. (Bakar, 1991:50-58)





PEMIMPIN NEGARA HARUSLAH SEORANG TOKOH FALSAFAH
Al-Farabi merupakan ahli falsafah Islam yang cenderung dalam bidang politik. Beliau banyak menghasilkan buku yang membincangkan tentang falsafah dan teori politiknya. Berdasarkan kitab yang dihasilkannya, iaitu “Fi Mabadi Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah” di dalam tajuk Konsep Ketua Negara Terbaik, beliau menekankan supaya seseorang pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah (philosopher-king). Merujuk kepada falsafah yang dikemukakan oleh al-Farabi itu, dapatlah diberi sedikit kupasan seperti berikut: Pemimpin merupakan individu yang penting dalam pembentukan sesebuah negara. Pemimpin sangat diperlukan untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian sesebuah masyarakat dalam sebuah negara. Perpaduan dan keharmonian tidak akan wujud dalam sesebuah negara sekiranya tiada seseorang yang memimpin bagi menunjukkan jalan untuk mencapai matlamat negara itu iaitu membentuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Seseorang pemimpin negara itu mestilah memiliki kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental untuk menghubungkaitkan antara manusia dengan alam dan tuhan bagi mewujudkan keseimbangan makrokosmos. Pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah adalah amat bertepatan dengan pengertian falsafah itu sendiri yang menerangkan bahawa falsafah itu merupakan ilmu, penyelidikan, atau pengajian yang berasaskan renungan (reflective) dan pentaakulan(reasoning) bagi merumuskan hakikat alam yang dilihat secara kesatuan dengan mengambil hasil kajian iaitu fakta dan data dari semua aspek alam semesta atau alam wujud iaitu dari semua disiplin ilmu dan membuat kesimpulan tentang hakikat kewujudan alam semesta secara keseluruhannya. Hal ini membuktikan bahawa seseorang pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah. Seorang tokoh falsafah akan sentiasa berfikir secara mendalam tentang hakikat kejadian sesuatu dengan mengambil serta melihat dari semua aspek sebagai satu kesatuan. Selain daripada itu, tokoh falsafah juga memiliki keupayaan berfikir yang tinggi. Sehubungan itu, taraf pemikiran yang tinggi yang dimiliki oleh tokoh falsafah akan membolehkannya menjadi seorang pemimpin yang berupaya memahami hakikat sesuatu kejadian bagi memimpin serta mentadbir untuk membentuk sesebuah negara. Kaedah yang digunakan sekiranya tokoh falsafah sebagai pemimpin negara adalah berdasarkan renungan, pentaakulan, dan hujahan yang logikal dan rasional di samping menggunakan akal sebagai pengukur kebenaran. Oleh itu, adalah sesuai jika seseorang pemimpin negara itu adalah seorang tokoh falsafah. (Zakaria, 1996:20-28)
Pemimpin sesebuah negara akan memikul tanggungjawab memimpin, merancang, dan melaksanakan pembangunan sosial dan ekonomi negara dalam pelbagai situasi. Sehubungan itu, sekiranya pemimpin negara merupakan seorang tokoh falsafah, maka dia akan sentiasa merujuk kepada penggunaan akal dan sentiasa meletakkan akal fikiran sentiasa berada di tempat yang teratas. Hal ini dapat diperjelaskan bahawa seseorang tokoh falsafah itu akan sentiasa berfikir dengan akal mengikut kaedah, peraturan serta batasan pemikiran kerana ia merupakan panduan dan pegangan bagi seseorang tokoh falsafah. Tokoh falsafah juga sentiasa berpegang pada panduan berfikir iaitu berfikir dahulu sebelum bertindak. Hal ini adalah sangat sesuai untuk diaplikasikan ketika memimpin sesebuah negara. Oleh itu, adalah sesuai seseorang pemimpin negara itu ialah seorang tokoh falsafah. Salah satu ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin ialah bersikap adil dalam semua tindakan sama ada kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain. Perpaduan dan keharmonian wujud sekiranya setiap tindakan dan keputusan yang dibuat olehnya adalah betul dan wajar. Keadilan tidak akan wujud sekiranya tiada ilmu. Sehubungan itu, tokoh falsafah melihat sesuatu ilmu sebagai satu kesatuan atau menyeluruh dan dihuraikan secara holistik. Ilmu yang benar akan mendorong seseorang untuk mengambil tindakan dan keputusan yang tepat dan wajar. Selain itu, seseorang tokoh falsafah tidak akan terfokus kepada satu bidang ilmu sahaja tetapi melihat bidang ilmu itu secara menyeluruh atau sebagai satu kesatuan dan dihuraikan secara holistik. Tokoh falsafah menjelaskan bahawa ilmu falsafah dan ilmu logik tidak boleh dipisahkan. Ilmu falsafah digunakan untuk mencari kebenaran manakala ilmu logik dapat digunakan untuk menentukan bahawa sesuatu hakikat kejadian itu antara benar dengan yang palsu. Kebenaran yang mutlak hanya dapat ditentukan oleh wahyu yang bersumberkan kepada al-Quran dan hadis dan sesuai diaplikasikan semasa mentadbir sesebuah negara. . (Zakaria, 1996:53-60)







KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan daripada falsafahAl-Farabi, ternyata falsafahnya agak meluas. Betapa tingginya ilmu beliau dalam menghuraikan ilmu falsafah. beliau banyak mengkaji sifat-sifat manusia serta sifat disebalik diri manusia. Ilmu ini dihuraikan dalam bentuk falsafah. Selain itu, prinsip-prinsip alam semesta serta kejadian alam semesta turut dikaji serta dibuat perbandingan dengan ahli falsafah Yunani, seperti Plato, Aristotle, dan Socrates. Sebab itu Al-Farabi dikatakan terpengaruh dengan pemikiran tokoh falsafah Yunani. Sesungguhnya ilmu falsafah itu mencerminkan segala keilmuan yang ada di dunia ini. Beliau juga mengemukakan beberapa teorinya dalam bidang falsafah politik dengan menerapkan elemen-elemen daripada teori nilai, logik, etika, dan falsafah agama. Karya-karya yang dihasilkannya merupakan suatu pemikiran yang khusus berkenaan al-Farabi yang dapat digunakan untuk membezakan antara karya-karya yang dihasilkannya dengan karya-karya tokoh-tokoh falsafah yang lain. Penulisan Al-Farabi mencakupi setiap bidang ilmu. Idea beliau juga mempengaruhi daripada segi keintelektualan ke atas dunia Islam di Timur dan juga dunia Latin di Barat. Beliau pernah menghuraikan secara terperinci pandangan tokoh falsafah Aristotle dalam bidang Fizik Meteorologi dan Logik. Berdasarkan pemikiran intelektual itulah, beliau diberi gelaran utama al-Mu’allim al-Thani (guru yang kedua). Dari sudut peribadi, falsafah-falsafah yang terdapat dalam kitab “Ara Ahl al-Madianah al-Fadilah”menunjukkan tentang pemikiran al-Farabi yang mementingkan perpaduan, kesejahteraan, keharmonian, dan persefahaman dalam membentuk sesebuah negara. Pemimpin atau ketua negara haruslah seseorang manusia sempurna yang meliputi sifat-sifat fizikal, mental serta moralnya. Fungsi ketua negara adalah amat berat dan merupakan asas keamanan sesebuah negara bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu, bertaqwa, dan bermatlamatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Selain itu, terdapat banyak daripada pemikiran dan pandangannya yang masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini yang msih boleh diguna pakai dan pengislaman sains dan falsafah Greek yang diusahakannya perlu mendapat perhatian yang wajar daripada kalangan sarjana Muslim hari ini.

No comments:

Post a Comment