Thursday, April 22, 2010

Saidina Ali bin Abi Thalib Cabaran-cabaran Yang Dihadapi Pada Zaman Pemerintahannya

Disediakan untuk :
Ust Abd. Aziz bin Harjin

Disediakan oleh :
Nur Amirah binti Abdul Rahim
2009683846

Abstrak
Sebagai seorang sepupu kepada Rasulullah S. A. W. , Saidina Ali sememangnya amat rapat dengan baginda sejak kecil lagi. Beliau juga merupakan pemuda pertama yang memeluk agama Islam. Beliau juga telah banyak membantu dan menyumbang kepada perluasan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S. A. W. . Oleh itu, beliau pernah diberi penghargaan yang tinggi oleh Rasulullah S. A. W. sendiri kerana komitmennya yang menyumbang kepada kerajaan Islam adalah sangat tinggi. Selepas kewafatan Rasulullah S. A. W. , Saidina Ali mula memegang jawatan sebagai seorang khalifah yanh keempat. Sebagai seorang khalifah, beliau telah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan keatasnya dengan penuh semangat dan dedikasi. Pada zaman pemerintahannya, Saidina Ali terpaksa menempuh pelbagai jenis cabaran. Antaranya, beliau pernah melakukan perubahan dari segi akhlak para pegawai pemerintah yang berada dibawah penguasaannya. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri, yakni akhlak yang baik jikalau diamalkan oleh para pegawai pemerintah tingi, diibaratkan sebagai sebuah kunci bagi kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, dan kemajuan sesebuah negara, lebih-lebih lagi untuk negara Islam. Selain daripada itu, Saidina Ali juga terpaksa berhadapan dengan krisis atau masalah diskriminasi yang berlaku diantara orang Arab dengan orang bukan Arab, yakni orang tahanan perang yang telah dimerdekakan yang diberi nama sebagai kaum Mawali. Golongan bekas tahanan perang tersebut, Mawali, telah dipandang sebagai golongan kelas bawahan oleh orang Arab. Namun, Saidina Ali tidak bersetuju dengan mereka dengan tidak mempedulikan pandangan dan apa yang telah diperkatakan oleh orang Arab. Malah, beliau telah memberikan layanan yang sama rata terhadap kedua-dua golongan tersebut. Namun, sikap beliau yang lebih mementingkan keadilan yang tidak berbelah bahagi itu telah melahirkan rasa tidak puas hati orang Arab terhadapnya. Selain daripada itu, semasa Perang Shiffin, Saidina Ali pernah terperangkap atau terjerat antara dua pilihan, yakni sama ada mahu memberikan arahan untuk menghentikan peperangan ataupun meneruskannya sehingga pasukan bala tentera yang dipimpinnya dapat meraih kemenangan. Konflik ini dicetuskan oleh pihak musuhnya, yakni pasukan tentera Syam yang telah mengangkat lembaran Al-Quran dihujung pedang, yang kononnya sebagai tanda bahawa tersebut pasukan Syam hendak menyerah kalah. Oleh itu, terdapat pasukan Saidina Ali yang bertelagah kerana ada yang mahu meneruskan peperangan dan ada juga yang ingin Saidina Ali memberi arahan agar peperangan dihentikan.

Pendahuluan
Saidina Ali merupakan sepupu kepada Rasulullah S. A. W. . Walaupun usia Rasulullah S. A. W. tidaklah terlalu tua bagi Saidina Ali dan masih lagi muda, namun Rasulullah S. A. W. sendiri telah melayan dan menganggap beliau sama seperti seorang bapa yang amat menyayangi anaknya. Saidina Ali juga merupakan pemuda pertama yang telah memeluk agama Islam. Beliau juga banyak menghabiskan masa mudanya dengan sentiasa berada disamping Rasulullah S. A. W. . Malahan, Saidina Ali juga telah mengahwini Fatimah, yakni anak perempuan kandung Rasulullah S. A. W. . Saidina Ali pernah berjuang dengan penuh keberanian lantas mengetuai beberapa peperangan demi Islam. Selepas kewafatan Rasulullah S. A. W. , baginda telah digantikan dengan tiga orang sahabatnya yang memegang jawatan khalifah yang kemudiannya, menjadi giliran Saidina Ali pula untuk mengambil alih jawatan yang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar itu. (Dargue, 1985)

Sejarah tentang kehidupan Saidina Ali banyak menceritakan tentang ketaatannya terhadap Allah S. W. T. dan terhadap Rasulullah S. A. W. . Ini adalah kerana beliau telah mula membantu Rasulullah S. A. W. mengembang dan menyebarkan ajaran Islam sejak usia beliau masih lagi muda belia. Rasulullah S. A. W. juga pernah memberikan penghargaan yang tinggi kepada beliau kerana bersungguh. sungguh memperluaskan perkara-perkara yang perlu disampaikan kepada seluruh umat manusia supaya mereka terpelihara daripada kebinasaan di dunia dan di akhirat kelak. Tambahan pula, suruhan yang telah diamanatkan kepada Rasulullah S. A. W. telah disebarkan secara meluas dengan pengorbanan yang telah Saidina Ali lakukan. (Husaini, 1989)

Sebagai seorang khalifah, Saidina Ali telah menempuh pelbagai cabaran demi cabaran sepanjang pemerintahannya. Walaubagaimanapun, semua itu tidak menghalangnya daripada memperjuangkan prinsip yang beliau telah pelajari dari Rasulullah S. A. W. sendiri. Selain daripada itu, beliau juga ada mempamerkan banyak kualiti yang baik untuk dijadikan sebagai amalan bagi seluruh umat Islam. Sejarah kehidupan beliau juga banyak menceritakan tentang kepahlawanannya dan sejarah manusia lain yang penting untuk dipelajari, dikaji dan direnungkan. (Husaini, 1995)
Bersikap tegas demi menjaga disiplin para pemerintah tinggi

Ketika Saidina Ali memegang jawatan sebagai seorang khalifah, beliau telah banyak melakukan transformasi yang menjurus kepada pemulihan akhlak para pegawai tinggi pemerintah. Ini kerana, beliau mempunyai pegangannya yang tersendiri dimana beliau berpendapat bahawa pemimpin yang mempunyai akhlak yang terpuji boleh menyumbang kepada kemajuan serta kemakmuran negara kerana jikalau pemerintah sesuatu negara itu memiliki akhlak yang terpuji, maka rakyatnya juga akan turut mencontohi dan mengamalkan sikap yang telah ditonjolkan oleh pemerintah mereka. Beliau juga tidak memberi kelonggaran sehingga boleh menyebabkan para pegawai tinggi mengabaikan tanggungjawab mereka. (Mukhlas, 2004)

Pernah salah seorang daripada pegawainya yang bernama Mundzar bin Jarud yang merupakan seorang gabenor di Istakhar. Gabenor ini sering membazirkan masanya dengan bersenang-lenang. Sebagai contoh, Mundzar sangat gemar untuk pergi memburu sehingga dia menjadi leka lalu mengakibatkannya meninggalkan tugas-tugas yang perlu dilaksanakannya sebagai seorang gabenor. Oleh sebab itu, dia telah menerima surat peringatan yang keras daripada Saidina Ali. Saidina Ali telah mengetahui perbuatan Mundzar itu kerana beliau telah diberitahu tentangnya. Beliau juga telah menyatakan di dalam suratnya bahawa jika perbuatan Mundzar itu terbongkar di depan mata Saidina Ali, beliau akan mengenakan hukuman yang berat keatasnya. (Mukhlas, 2004)

Selain itu, terdapat seorang lagi gabenor yang pernah menerima surat peringatan keras daripada Saidina Ali. Gabenor tersebut dikhabarkan gemar bersenang-lenang dengan menyalahgunakan harta anak-anak yatim dan janda. Di dalam surat yang ditulis Saidina Ali juga menyatakan bahawa beliau telah diberitahu bahawa gabenor tersebut juga berlagak baik dihadapan orang ramai. Gabenor tersebut berpura-pura dengan cara menyampaikan khutbah di atas mimbar untuk menunjukkan kewarakkannya, padahal ketika di rumah, beliau memerintah tukang masaknya agar menghidangkanya makanan yang sangat mewah sehingga orang miskin tidak dapat membayangkan betapa mewahnya makanan tersebut. Ini menunjukkan bahawa gabenor tersebut adalah seorang yang munafik. (Mukhlas, 2004)
Perselisihan antara orang Arab dengan orang kaum Mawali

Pada zaman pemerintahan Saidina Ali, negara yang diperintah olehnya dahulu mempunyai rakyat yang berbilang bangsa. Antara kaum-kaum yang tinggal bersama adalah seperti kaum Arab, Iran, Nabat, Byzantium dan Barbar. Oleh itu, terdapat pelbagai tanggapan dan ragam yang terjadi kepada sesama kaum-kaum tersebut. Ini berlaku antara kaum yang pada mulanya merupakan tawanan perang dengan kaum yang berasal disitu, yakni kaum Arab. Namun, tawanan-tawanan tersebut telah dimerdekakan lalu mereka ini digelar sebagai Mawali. Disebabkan itulah, kaum Mawali ini dipandang dan dianggap sebagai orang kelas bawahan dan hanya layak mendapat hak yang kurang berbanding dengan kaum Arab. (Husaini, 1995)

Oleh kerana Saidina Ali yang memegang jawatan khalifah pada masa itu, orang Arab memiliki tanggapan bahawa merekalah orang yang lebih tinggi darjatnya berbanding dengan kaum-kaum yang lain, yakni kaum Mawali. Namun, tanggapan seperti inilah yang memberi cabaran kepada Saidina Ali semasa pemerintahannya kerana beliau adalah seorang yang amat mementingkan keadilan. Justeru itu, beliau terpaksa dan sering menerima tentangan dan rungutan daripada orang Arab. Ini adalah kerana mereka langsung tidak berpuas hati dengan sikap beliau kerana layanan yang Saidina Ali diberikan kepada mereka adalah sama sahaja dengan kaum Mawali. (Husaini, 1995)

Ada riwayat yang menceritakan tentang Saidina Ali yang pernah didatangi oleh dua orang perempuan. Salah seorang wanita tersebut datang daripada golongan Mawali, dan seorang lagi pula merupakan orang Arab. Kedua-dua wanita tersebut pergi menemui Saidina Ali kerana ingin meminta bantuan daripadanya demi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi mereka. Beliau kemudiannya bersetuju dengan permintaan mereka, lalu memberikan sejumlah wang yang sama banyak kepada wanita-wanita tersebut. Namun, wanita Arab pada ketika itu meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beliau kerana tidak mendapat layanan yang lebih istimewa daripada wanita dari kaum Mawali itu. Kemudian Saidina Ali menjelaskan kepadanya bahawa beliau tidak pernah dan tidak mahu membeza-bezakan rakyatnya. (Husaini, 1995)
Tekanan semasa Perang Shiffin

Semasa Saidina Ali dan bala tenteranya memerangi bala tentera Syam dalam perang Shiffin, pasukan Saidina Ali hampir memenangi peperangan tersebut. Pada ketika itu, pasukan Syam sudah lemah maka Saidina Ali serta bala tenteranya sudah hampir pada kemenangan. Walaubagaimanapun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Pasukan Syam telah mengacung-acungkan lembaran Al-Quran dihujung pedang sebagai tanda bahawa mereka ingin meminta simpati supaya peperangan dihentikan dan kononnya mereka mahu menyerah kalah. (Mukhlas, 2004)

Kemudian, pasukan tentera yang dipimpin oleh Saidina Ali mula mempunyai tanggapan dan pendapat yang berbeza. Bagi yang mempunyai akal pemikiran yang panjang, mereka sedar dan mengerti bahawa apa yang telah dilakukan oleh pasukan Syam itu hanyalah suatu muslihat yang kotor untuk mengelirukan mereka. Namun, bagi yang pendek akal pemikirannya pula, mereka menganggap bahawa pasukan tentera Syam benar-benar mahu menyerah kalah. Keadaan sedemikian telah membawa kepada perselisihan faham dan pertelingkahan sesama ahli-ahli pasukan tentera Saidina Ali lantas mengundang bencana terhadap beliau. (Semait, 1985)

Disebabkan reaksi mengejut yang ditonjolkan oleh pasukan Syam tersebut, Saidina Ali didatangi sebahagian daripada pasukannya yang telah terpedaya dengan muslihat licik musuh mereka. Mereka meminta izin daripada beliau agar memberi pengumuman untuk menghentikan serangan terhadap pasukan Syam. Pemikiran mereka juga sebenarnya sudah terdorong oleh keinginan mereka terhadap kedamaian dan tidak mahu berperang lagi. Namun, Saidina Ali menolak keras permintaan mereka. Beliau menjelas dan menerangkan bahawa apa yang telah dilakukan oleh musuh mereka itu hanyalah suatu muslihat semata-mata. Beliau juga mengarahkan mereka agar berubah fikiran dan meneruskan sahaja peperangan sehingga pasukan Syam benar-benar tewas. Ini telah megundang kepada kemarahan terhadap sebahagian daripada pasukannya yang inginkan perdamaian. Mereka bukan sahaja menolak arahan beliau malah, mengugut untuk tidak lagi memihak kepada Saidina Ali. (Ja'Farian, 2003)
Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Saidina Ali merupakan seorang khalifah yang sangat komited dengan tugasan atau tanggungjawab yang telah diberikan atau diamanahkan kepadanya. walaupun beliau terpaksa menghadapi pelbagai jenis cabaran sepanjang pemerintahannya. Sebagai seorang yang bijaksana, beliau arif bahawa negara yang maju bergantung kepada tahap moral dan disiplin yang diterapkan didalam negara tersebut. Oleh sebab itu, beliau amat prihatin kepada tahap moral para pegawai pemerintah. Ini adalah kerana, jika para pegawai pemerintah menonjolkan budi pekerti yang baik, maka rakyatnya juga akan mencontohi pemimpinnya dan mengamalkan sikap yang baik.

Sikap orang Arab yang menganggap bahawa kaum Mawali merupakan golongan kelas bawahan juga telah memberi cabaran kepada Saidina Ali. Ini kerana, beliau adalah seorang yang mementingkan keadilan. Walaupun beliau tahu bahawa sikapnya itu tidak disenangi rakyatnya, yakni dari kaum Arab, beliau tetap teguh dengan pendiriannya yang telah beliau belajar dan contohi daripada Nabi Muhammad S. A. W. sendiri. Sebagai contoh, beliau telah mengambil tindakan untuk mengendahkan apa yang orang Arab katakan. Walaupun sikapnya itu pernah dipersoalkan, Saidina Ali menjelaskan kepada mereka bahawa beliau tidak akan pernah sesekali membeza-bezakan rakyatnya. Pada pandangannya, kesemua rakyatnya adalah sama, maka semua orang akan mendapat hak dan layanan yang sama.

Selain itu, tahap kesabaran Saidina Ali tercabar apabila pasukan tenteranya mengugutnya agar mengeluarkan arahan supaya menghentikan peperangan yang berlaku antara mereka dengan bala tentera Syam. Saidina Ali terpaksa berhadapan dengan pasukannya yang berselisih pendapat, yakni yang ingin menghentikan peperangan dan yang ingin meneruskan peperangan. Ini berlaku apabila pasukan Syam mengacungkan Al-Quran sebai tanda ingin menyerah kalah. Saidina Ali tersepit di antara dua pilihan. Jika peperangan dihentikan, bermakna pasukan Syam telah berjaya memperdayakan mereka. Jika beliau meneruskan peperangan, maka ahli pasukannya yang tidak bersetuju dengannya akan beralih arah dan tidak akan menyebelahinya lagi.

No comments:

Post a Comment