Tajuk: Peperangan Khandak Dan Pengajarannya

Sinopsis
Peperangan Khandak berlaku pada bulan Syawal tahun lima hijrah. Dinamakan Khandak disebabkan parit yang digali oleh muslimin berdasarkan kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang Parsi ketika menghadapi peperangan. Peperangan ini juga dinamakan peperangan Ahzab (tentera bersekutu) kerana musuh telah bersatu untuk memerangi muslimin. Peperangan ini berlaku akibat pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Para pemimpin bani Nadhir telah pergi berjumpa dengan pemimpin Quraisy dan kabilah Ghothofan bagi menggesa mereka memerangi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berikutan penghalauan mereka daripada negeri mereka sendiri. Pemimpin-pemimpin itu kemudiannya menyahut permintaan mereka itu. Quraisy dan pengikut-pengikutnya membuat persiapan. Mereka diketuai oleh Abu Sufian. Ghothofan juga membuat persiapan dan mereka diketuai oleh ‘Uyainah bin Hisn. Jumlah keseluruhan tentera musuh ialah 10 000 orang. Pemimpin utama mereka ialah Abu Sufian. Sebaik mendapat berita persiapan musuh, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berbincang dengan para sahabat Mengenai tindakan yang perlu diambil, Salman al-Farisi mencadangkan supaya digali parit. Strategi tersebut dilaksanakan berikutan belum pernah diketahui oleh orang-orang Arab. Peperangan ini berpunca dari pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Kebijaksanaan Nu’aim bin Mas’ud dalam menggunakan tipu muslihat bagi menggagalkan Musyrikin telah banyak menolong kaum muslimin. Selain itu, doa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. yang telah diperkenankan Allah Subhanahu wa ta’ala. telah menyelamatkan muslimin daripada kesusahan disebabkan kesatuan yang diwujudkan oleh tentera Ahzab yang terdiri daripada orang-orang Arab dan Yahudi untuk memerangi muslimin. Perkara ini dapat memberi iktibar kepada kita bahawa kita seharusnya mengatur strategi yang bijak bagi menangani sesuatu masalah. Kita juga harus memohon doa dari Allah Subhanahu wa ta’ala yang merupakan satu-satunya tempat kita meminta kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. 

PENDAHULUAN
Peperangan Khandak berlaku pada bulan Syawal tahun lima hijrah dan dinamakan Khandak bersempena penggalian parit hasil cadangan Salman berdasarkan kebiasaan orang-orang Parsi ketika menghadapi peperangan. Peperangan ini juga dinamakan Ahzab kerana musuh telah bersatu memerangi muslimin. 

Peperangan ini berlaku ketika para pemimpin bani Nadhir masih tidak berpuas hati dengan penghalauan daripada negeri mereka yang diambil alih oleh muslimin. Mereka telah berjumpa dengan pemimpin Quraisy dan Ghothofan untuk menggesa mereka memerangi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pemimpin-pemimpin itu kemudiannya menyahut permintaan mereka itu. Yahudi bani Quraizhoh yang tinggal di Madinah membatalkan perjanjian yang dimeterikan. 

Peristiwa ini berlaku apabila Huyai bin Akhtob iaitu ketua bani Nadhir yang diusir dari Madinah telah berjumpa Ka’b bin Asad dan menghasutnya memerangi muslimin. Kebijaksanaan Nu’aim bin Mas’ud dalam menggunakan tipu muslihat bagi mengaburi kaum musyrikin telah banyak menolong kaum muslimin. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. turut berdoa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. bagi menolongnya dan Allah Subhanahu wa ta’ala telah memperkenankan doa baginda. 

Perang Khandak
Para pemimpin bani Nadhir telah pergi berjumpa dengan pemimpin Quraisy dan kabilah Ghothofan bagi menggesa mereka memerangi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berikutan penghalauan mereka daripada negeri mereka sendiri. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 
Quraisy dan pengikut-pengikutnya membuat persiapan. Mereka diketuai oleh Abu Sufian. Panji-panji mereka dibawa oleh ‘Uthman bin Talhah bin Abu Talhal al-‘Abdari. Bilangan mereka ialah 4000 orang, 300 ekor kuda dan 1500 ekor unta. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 
Ghothofan membuat persiapan dan mereka diketuai oleh ‘Uyainah bin Hisn. Dia membawa 1000 orang tentera berkuda. Bani Murrah juga membuat persiapan. Mereka diketuai oleh al-Harith bin ‘Auf al-Marri. Bilangan tentera mereka ialah 400 orang. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 
Begitu juga dengan bani Asyja’ yang diketuai oleh Mis’ar bin Rukhailah. Bani Salim yang diketuai oleh Sufian bin Abd Syams juga membuat persiapan. Jumlah tentera mereka ialah 700 orang. Bani Asad yang diketuai oleh Thulaihah bin Khuwailid al-Asadi juga mengambil langkah yang sama. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 
Sebaik mendapat berita persiapan musuh, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berbincang dengan para sahabat Jumlah keseluruhan tentera musuh ialah 10 000 orang. Pemimpin utama mereka ialah Abu Sufian. Mengenai tindakan yang perlu diambil, Salman al-Farisi mencadangkan supaya digali parit. Strategi tersebut dilaksanakan berikutan belum pernah diketahui oleh orang-orang Arab. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti (1991). 
Tentera muslimin berkhemah di bahagian timur Madinah dengan membelakangi bukit Sal’ iaitu deretan bukit di sekitar Madinah. Bilangan mereka ialah 3000 orang. Panji-panji Muhajirin diserahkan kepada Zaid bin Harithah dan panji-panji Ansar diberikan kepada Sa’d bin Ubadah. Tentera Quraisy pula berkhemah di kawasan tanah rendah dan Ghothofan pula di kawasan Uhud. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti (1991). 

Orang-orang musyrikin terkejut dengan benteng parit yang tidak pernah dikenali oleh orang-orang Arab sebelum ini. Mereka berbalas-balas panahan dengan tentera muslimin. Apabila peperangan panah berpanjangan, sekumpulan tentera berkuda musyrikin memaksa diri untuk merempuh benteng parit. Di antara mereka ialah ‘Ikrimah bin Abu Jahl, ’Amru bin Abd Wadd dan lain-lain. Muhammad Husain Haekal (1986). 
Serangan dan panahan berlarutan sehari suntuk sehingga menyebabkan muslimin tertinggal sembahyang dan mereka menqadho’nya selepas itu. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. melantik pasukan pengawal parit supaya musyrikin tidak merempuhnya pada waktu malam. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam. memberikan berita gembira kemenangan dan menjanjikan kebaikan kepada para sahabatnya. Orang-orang munafik pula telah melahirkan apa yang mereka sembunyikan di dalam hati sehingga mereka berkata: “Allah dan rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. ” Kemudian mereka menarik diri dengan beralasankan: “Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga). Kami bimbang musuh akan menyerang. ”Allah menjawab alasan yang diberikan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanyalah hendak lari. ” Yunus Ali Al-Muhdhor (1993). 
Suasana yang ada menjadikan muslimin berada dalam kesempitan kerana kepungan ini menjadikan kehidupan fakir miskin Madinah semakin tertekan. Keadaan semakin meruncing apabila Yahudi bani Quraizhoh yang tinggal di Madinah mengambil peluang membatalkan perjanjian yang dimeterikan. Peristiwa ini berlaku apabila Huyai bin Akhtob iaitu ketua bani Nadhir yang diusir dari Madinah telah berjumpa Ka’b bin Asad dan menghasutnya memerangi muslimin. Muslimin berada dalam keadaan kritikal ketika itu kerana musuh datang dari semua arah. Prof Dr. Hamka (1994). 

Tipu Muslihat Dalam Peperangan

Nu’aim bin Mas’ud al-Asyja’ie iaitu teman orang-orang Quraisy dan Yahudi daripada bani Ghothofan telah memeluk Islam tanpa pengetahuan kaumnya dan berhasrat ingin membantu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Nu’aim beredar dan keluar untuk berjumpa bani Quraizhoh yang telah membatalkan perjanjian dengan muslimin. Nu’aim telah menggunakan tipu muslihatnya untuk menggesa bani Quraizhoh supaya tidak terlibat dalam peperangan. Beliau mengatakan bahawa Qainuqa’ dan al-Nadhir telah diusir dan harta benda serta tanah mereka telah dirampas manakala Quraisy dan Ghothofan pula akan pulang ke negeri masing-masing sekiranya tidak berpeluang mengalahkan muslimin. Nu’aim mencadangkan agar bani Quraizhoh mendapatkan 70 orang pembesar Quraisy dan Ghothofan sebagai tawanan supaya mereka tidak meninggalkan bani Quraizhoh sendirian menghadapi peperangan. Orang-orang Quraizhoh memandang baik cadangan tersebut dan bersetuju. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 

Nu’aim kemudiannya berjumpa dengan orang-orang Quraisy dan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin mereka. Beliau mengatakan kepada mereka bahawa bani Quraizhoh menyesal terhadap tindakan mereka membatalkan perjanjian dengan Muhammad dan ingin mendapatkan sekumpulan pemimpin Quraisy untuk diserahkan kepada Muhammad untuk memeterikan semula perjanjian yang telah dibatalkan angkara bani Nadhir. Kemudian beliau berjumpa bani Ghothofan dan menceritakan apa yang telah diceritakan kepada Quraisy. Selepas itu Abu Sufian menghantar utusannya berjumpa bani Quraizhoh mengajak mereka melancarkan serangan pada hari keesokannya. Bani Quraizhoh mengatakan bahawa mereka tidak akan berperang sehinggalah Quraisy dan Ghothofan menyerahkan orang-orang mereka sebagai tawanan. Quraisy dan Ghothofan mendapati kebenaran dalam kata-kata Nu’aim bin Mas’ud dan dengan itu kesatuan mereka berkecai dan mereka mula bimbang terhadap sesama mereka. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. pula telah mengadu kepada Allah dan berdoa: Ya Allah!Tuhan yang menurunkan al-Quran, sangat cepat perhitungannya, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah!Hancurkanlah mereka dan berilah kemenangan kepada kami. Allah memperkenankan doa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. lalu menghantar angin sejuk di malam yang gelap gelita. Orang-orang Arab mengambil keputusan untuk pulang ke Mekah sebelum subuh kerana bimbang orang-orang Yahudi berpakat dengan muslimin untuk menyerang mereka pada malam tersebut. Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. mendengar bunyi bising yang datang dari arah musuh, baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam. telah menghantar Huzaifah bin al-Yaman untuk mendapatkan maklumat. Huzaifah memberanikan diri untuk berkhidmat kepada nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. sehinggalah beliau berjaya mendapatkan maklumat yang diperlukan iaitu musuh berazam untuk beredar. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 

Kekalahan Tentera Ahzab
Kebimbangan musuh sampai ke peringkat ketua mereka Abu Sufian berkata:Setiap kamu hendaklah mengenali saudaranya dan memegang tangannya supaya musuh tidak menyusup masuk. Dia telah mengungkaikan tali pengikat untanya untuk memulakan pergerakan pulang. Sofwan bin Umayyah berkata: Kamu adalah ketua tentera. Kamu jangan meninggalkan mereka dengan pergi bersendirian. Dengan itu Abu Sufian turun dari tunggangannya dan menyuruh tenteranya beredar. Dia mengarahkan Khalid bin al-Walid bersama sekumpulan tentera supaya menunggu dan berada di belakang supaya tentera yang berundur tidak diserang dari belakang. Pengunduran tentera Ahzab berlaku pada bulan Zu al-Qaedah. Syeikh Muhammad Al-Khudhori (1996). 

KESIMPULAN
Peperangan ini berpunca dari pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Mereka yang menyalakan api peperangan itu dan merekalah yang mengumpulkan barisan Musyrikin. 

Kerja jahat seperti ini tidak terbatas pada kaum Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah sahaja malah kerja-kerja seperti ini turut dilakukan oleh Bani Quraizhoh sedangkan mereka ini masih terikat dengan perjanjian dan perhubungan kaum Muslimin dan tidak ada sesuatu pun kegiatan kaum Muslim yang mengancam mereka hingga mendesak mereka melanggar perjanjian dan ikatan mereka itu. 

Kebijaksanaan Nu’aim bin Mas’ud dalam menggunakan tipu muslihat bagi menggagalkan Musyrikin telah banyak menolong kaum muslimin. Selain itu, doa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. yang telah diperkenankan Allah Subhanahu wa ta’ala. telah menyelamatkan muslimin daripada kesusahan disebabkan kesatuan yang diwujudkan oleh tentera Ahzab yang terdiri daripada orang-orang Arab dan Yahudi untuk memerangi muslimin. Kalaulah tidak disebabkan pemeliharaan Allah terhadap agama kurniaan-Nya, nescaya keadaan akan menjadi buruk. 

------------------------

Ustaz Ustaz Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com