Thursday, April 22, 2010

Riwayat Hidup Imam Syafie Dan Sumbangannnya Kepada Dunia Islam.

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd. Aziz Bin Harjin.

Disediakan Oleh:
Nama: Nurul Shuhada Binti Abd. Razak.
No Id: 2009230794.

Abstrak
Imam Syafie dilahirkan pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Ghuzah. Beliau dilahirkan sebagai anak yatim kerana bapanya telah meninggal ketika beliau masih lagi dalam kandungan ibunya. Dari kecil lagi Imam Syafie telah menujukkan sikap beliau yang amat cintakan ilmu. Salasilah keturunan Imam Syafie juga bersangkut paut dengan salasilah keturunan Rasullulah. Pada usia yang amat muda beliau telah mampu menghafal kitab karangan Imam Maliky tanpa memiliki kitab tersebut. Selain itu, beliau juga rajin menuntut ilmu kesusteraan di sebuah dusun yang terletak amat jauh dari rumahnya. Disebabkan keadaan hidup yang susah beliau terpaksa mengutip tulang-tulang dan cebisan kertas bagi mencatit segala nota. Setelah meningkat dewasa beliau ingin benar bertemu dengan Imam Maliky yang mengarang kitab tersebut. Setelah itu beliau berangkat ke Madinah untuk bertemu dengan Imam Maliky. Setelah beberapa lama beliau menjadi anak didik Imam Maliky, beliau semakin mendalami pelbagai ilmu. Masa berlalu dengan pantas, Imam Syafie membuat keputusan untuk memperluaskan ilmunya dengan merantau dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Sepanjang perjalananya, pelbagai bidang ilmu yang telah beliau pelajari seperti ilmu fiqh, tauhid dan lain-lain. Malahan pelbagai juga kitab yang telah dikarang oleh beliau antaranya ialah Kitab Al-Umm, Ar-Risalah dan sebagainya. Begitu juga dengan para pengikut mazhab Imam Syafie yang semakin ramai dari hari ke hari. Mazhab Imam Syafie juga berlandaskan Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijmak dan Qiyas. Beliau juga turut member sumbangan dalam bidang kesusteraan Arab, dimana kehebatan syair-syair beliau tidak dapat ditandingi. Sebagai umat biasa Imam Syafie juga mendapat dugaan apabila beliau hampir dihukum pancung dan dengan kuasa Allah, beliau terselamat. Setelah lama sakit akhirnya pada hari Khamis malam Jumaat tanggal 29 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masehi wafatlah beliau dengan tenang. Imam Syafie dapat merasakan bahawa beliau akan meninggal dunia di Makkah dan meminta wali negeri Makkah yang memandikan jenazah beliau. Jenazah beliau dikebumikan pada 30 Rejab selepas waktu Asar dan dimaqamkan di perkuburan banu Zahrah yang terkenal sebagai kawasan perkuburan anak keturunan Abdul Hakam.

Pendahuluan
Mazhab Syafie merupakan antara empat Mazhab yang diikuti oleh umat Islam sekarang. Antara mazhab lain ialah Mazhab Hambaly, Hanafi dan Maliky. Imam Syafie telah meneroka pelbagai bidang ilmu dan membetulkan hukum-hukum yang bercanggah dengan dalil-dalil di dalam Al-Quran. Melalui pengalaman yang diperolehi daripada perjalanan beliau daripada merantau dari sebuah negeri ke negeri yang lain membuatkan beliau semakin luas bidang ilmu pengetahuannya. Ibu Imam Syafie pernah mendapat mimpi ketika mengandungkan beliau, bahawa ibunya terlihat sebutir bintang yang keluar lalu menerangi seuruh alam. Dari pada mimpi tersebut menujjukan bahawa anaknya iaitu Imam Syafie akan menjadi seorang yang cintakan ilmu dan ilmu yang diperolehinya itu akan menerangi seluruh ala mini iaitu tersebar di seluruh dunia. Ini terbukti apabila dari kecil lagi Imam Syafie merupakan seorang yang rajin menuntut ilmu. Peribadi Imam Syafie begitu unggul kerana sifat cintakan ilmu begitu terserlah dalam dirinya. Sehinggakan dia sanggup kurangkan makan kerana perut yang kenyang itu menyebabkan ilmu sukar diterima. Imam Syafie juga mempunyai sifat ingin mendalami sesuatu ilmu baru. Contohnya ketika beliau singgah di sebuah negeri dan mempelajanri ilmu mengenai sifat dan thabiat manusia dan mendalami ilmu tersebut. Disebabkan beliau merupakn pencinta ilmu, oleh itu ramailah guru yang menjadi tulang belakang kejayaan beliau antara guru yang berjasa kepadanya ialah Imam Maliky. Imam Syafie juga mempunyai kitab karangan beliau sendiri antaranya ialah Kitab Al-fiqh yang membincangkan sehalus-halusnya mengenai ilmu fiqh. Imam Syafie juga di beri kepercayaan oleh Imam Maliky untuk untuk menggantikan beliau mengajar di masjid kerana Imam Maliky begitu kagum apabila Imam Syafie mampu menghafal Kitab Al-Muwatha’ tanpa memiliki kitab tersebut. Imam Syafie berkhawin pada usia 29 tahun dan dikurniakan beberapa orang anak. Setiap yang hidup pasti menemui ajal mereka, begitu juga Imam Syafie. Imam Hambaly iaitu anak didik Imam Syafie apabila melihat keadaan Imam Syafie yang tenat itu, beliau dapat merasakan bahawa Imam Syafie akan wafat di Mesir. Pada hari Khamis malam Jumaat tanggal 29 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masehi wafatlah beliau dengan tenang. Jenazah beliau dikebumikan pada 30 Rejab selepas waktu Asar dan dimaqamkan di perkuburan banu Zahrah yang terkenal sebagai kawasan perkuburan anak keturunan Abdul Hakam.

Imam Syafie atau nama sebenarnya Muhammad dilahirkan pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi. Beliau dilahirkan di suatu kampung di Ghuzah(Gaza) atau daerah Palestin. Ketika hari kelahiran beliuan juga merupakan hari kewafatan Imam Hanafi, menurut riwayat lain megatakan bahawa waktu kewafatan Imam Hanafi bersamaan waktu kelahiran Imam Syafie. Bahkan menurut riwayat yang lain juga nengatakan bahawa pada bulan dan tahun kelahiran Imam Syafie wafatnya Imam Ibnu Juraij Al-Makky seorang alim ulama di daerah kota Makkah atau lebih dikanali dengan panggilan Imam Ahli Hijjaz. Dengan kewafatan dua orang alim ulama dan merupakan Imam besar itu maka ramai yang beranggapan bahawa Imam Syafie bakal menggatikan kedudukan dua orang pembesar itu. Berbalik kepada tempat kelahiran beliau, sebenarnya bukanlah tempat kediaman keluarga beliau. Kedua-dua ibu bapa Imam Syafie adalah penduduk kota Makkah yang pergi ke daerah Ghuzah kerana suatu keperluan. Ditakdirkan dengan kuasa Allah S. W. T ayahnya meninggal dunia disana ketika beliau masih lagi dalam kandungan ibunya. Selepas beberapa hari kematian ayahnya, lahirlah beliau dalam keadaan selamat di kampung itu. ( Shaaban, 1994:52)
Dikatakan bahawa salasiah keturunan Imam Syafie bersangkut paut dengan salasiah keturunan Nabi Muhammad S. A. W. Ini terbukti melalui nama sebenar Imam Syafie iaitu Muhammad bin Idris bin Abbas bin Utsman bin Syafie bin Said bin Abdu’ Yazid bin Hasyim bin Abdul Muthalib bin ‘Abdu Manaf. Dengan ini jelaslah bahawa beliau adalah dari keturunan bangsa Arab Quraisy dan keturunan beliaubersatu dengan keturunan Nabi Muahammad pada Abdu Manaf , iaitu datuk Nabi yang ke tiga. Jika dirungkaikan secara dalam salasiah keturunan beliau ini, baik dari bapa atau ibunya, kedua-duanya berkait rapat dengan salasiah keturunan Nabi. Tambahan lagi, Hasyim adalah datuk kedua Nabi Muhammad dan Said (datuk keempat Imam Syafie) ketika masih musyrik pernah ditawan oleh tentera para Muslimin ketika Peperangan Badar lalu beliau insaf dan minta dimerdekakan serta tunduk dan patuh pada ajaran Islam seterusnya beliau menjadi seorang yang setia dengan pimpinan Islam. Ternyata bahawa Said termasuk daripada salah seorang sahabat Nabi yang memperjuangkan Islam. ( Shaaban, 1994:78)
Imam Syafie adalah seorang yang tinggi dan gagah perwatakannya. Beliau seorang yang putih, fasih berbicara, bagus suaranya dan mempunyai perwatakan yang menakutkan bagi sesiapa yang melihatnya buat kali pertama dan akan mula menyukainya apabila mula mendekati beliau.
Antara tanda-tanda yang menujukkan bahawa beliau adalah salah seorang alim ulama’ adalah melalui peribudi yang luhur sejak kecil lagi. (Ghazali, 2002:44-45)
Ketika berusia dua tahun Imam Syafie dibawa pulang ke Makkah. Beliau tinggal bersama ibunya dalam keadaan yang susah dan juga sebagai seorang anak yatim. Walaupun dalam keadaan serba kesusahan tetapi ketika berusia 9 tahun beliau telahpun menghafal Al-Quran. Dalam usia sebegitu beliau juga merupakan seorang yang rajin menuntut ilmu apabila beliau bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Arab yang asli di dusun bangsa Badwy Banu Hudzail kerana di dusun itulah penduduknya terkenal dengan bahasa Arab yang fasih dan lancar. Selain itu, beliau turut mempelajari syair-syair dan puisi-puisi Arab. Di kota Makkah pula, beliau mempelajari ilmu fiqh daripada seorang guru bernama Imam Muslim bin Khalid Az-Zanjy seorang mufty di Kota Makkah pada masa itu. Selepas beberapa lama berguru bersama Imam Muslim, beliau dianugerahkan segulung ijazah dan diberi hak untuk mengajar serta member fatwa tentang hukum-hukum yang bersangkut tentang keagamaan. Antara ilmu lain yang dipelajari beliau ialah ilmu hadith daripada Imam Sufyan bin ‘Uyainah, ilmu Al-Quran daripada Imam Ismail bin Qasmasa dan pelbagai lagi ilmu yang dipelajari beliau sehingga umur 15 tahun daripada para ulama di Masjidil Haram. Ketika berumur 10 tahun, beliau sudah memahami isi kitab Al-Muwaththa’ yang disusun oleh Imam Maliky(Ghazali, 2002:87)
Kerajinan Imam Syafie dalam menuntut ilmu ternyata menyerlah kerana walaupun beliau hidup dalam kesusahan beliau merupakan seorang yang rajin. Disebabkan keadaan hidup yang susah beliau seringkali mencari tulang-tulang dan juga kertas-kertas terbuang untuk menulis segala pelajarannya. Hari demi hari banyaklah cebisan kertas dan tulang-tulang yang memenuhi biliknya, lantaran itu beliau mengambil keputusan untuk menghafal segala ilmu pelajaran yang diperolehinya. Hampir berbulan-bulan masa yang Imam Syafie gunakan bagi menghafal semua ilmu yang diperolehinya, lantaran itu bilik beliau tidak lagi dipenuhi oleh nota-notanya. Imam Syafie juga berpendapat bahawa ilmunya yang dihafal itu akan ke mana sahaja dengan beliau dan beliau boleh menggunakannnya pada bila-bila masa. (Khalil, 1991:140)
Demikianlah antara riwayat yang menerangkan kerajinan Imam Syafie dalam menuntut ilmu sehinggakan beliau mempunyai keinginan untuk menghafal isi kitab Al-Muwaththa’ walaupun pada ketika itu beliau belum memiliki kitab tersebut malahan hanya meminjam daripada seorang penduduk Makkah. Tidak sampai bertahun-tahun, beliau telah mampu utnuk menghafal kitab tersebut. Walaupun beliau telah menghafal kitab tersebut namun beliau berasa tidak puas hati apabila tidak dapat berjumpa dan berguru dengan Imam Maliky. Oleh itu, beliau telah mengambil keputusan untuk ke Madinah dengan persetujuan oleh para gurunya di Makkah. Salah seorang daripada guru Imam Syafie iaitu Imam Khalid bin Muslim telah menulis sepucuk surat pengantar bagi memudahkan pertemuan Imam Syafie dengan Imam Maliky. Selain itu, salah seorang wali kota Makkah juga mengirimkam dua pucuk surat buat Imam Maliky dan juga wali kota Madinah bagi memudahkan urusan beliau di kota Madinah nanti. (Khalil, 1997: 146-147)
Setelah beliau tiba di kota Madinah beliau berjumpa dengan wali kota Madinah lalu menyerahkan surat yang dikirimkan itu, dengan bantuan wali tersebut Imam Syafie di bawa berjumpa dengan Imam Maliky di rumahnya. Ketika dihadapan rumah Imam Maliky keluarlah pesuruh Imam Maliky iaitu Jariah, setelah memberitahu hajat mereka berdua untuk berjumpa dengan Imam Maliky maka keluarlah Imam Maliky dihadapan rumahnya. Wali kota Madinah menyerahkan sepucuk surat kepada Imam Maliky, setelah membaca surat tersebut Imam Maliky melihat wajah Imam Syafie dan ternyata terdapat firasat dan nur yang berada di wajah Imam Syafie . Setalah Imam Syafie memperkenalkan dirinya lalu Imam Maliky menyuruh beliau datang ke rumahnya esok hari bagi mempelajari kitab Al-Muwaththa’. Lantaran itu, Imam Syafie memberitahu bahawa dia telah menghafal seluruh isi kandungan kitab tersebut dan memperdengarkan bacaaan beliau kepada Imam Maliky. (Khalil, 1997:150)
Mulai hari itu, secara rasminya Imam Syafie menjadi anak didik kepada Imam Maliky dan tinggal serumah dengan Imam Maliky. Ke mana sahaja Imam Maliky pergi pasti beliau mengekorinya dan Imam Syafie juga sering menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu bagi mempelajari ilmu daripada Imam Maliky. Sehinggakan ketika Imam Maliky membacakan kitab Al-Muwaththa, Imam Syafie ditugaskan bagi menekankan lagi isi kandungan kitab tersebut. Menurut kebiasannya, orang Mesir yang menunaikan ibadat haji di Makkah pasti akan mengunjungi masjid-masjid Madinah bagi menutut ilmu daripada Imam Maliky. Pada waktu itu, Imam Syafie yang ditugaskan bagi menekankan dan menerangkan kitab Al-Muwathatha’ kepada mereka semua. Antaranya ialah Abdullah bin Abdul Hakam, Asyhab, Ibnul Qasim dan Al-Laits bin Sa’ad yang merupakan alim ulamak di Mesir. (Kahalil, 1997:158-159)
Meskipun sudah mempunyai pelbagai jenis ilmu, bahkan beliau belum terasa puas malahan terasa sangat kekurangannya tentang pengetahuan. Oleh kerana pada masa itu, Imam Syafie telah mendengar berita megenai kebesaran para ulama’ di Iraq seperti Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan (kedua-duannya merupakan sahabat Imam Abu Hanifah). Dengan keizinan gurunya iaitu Imam Maliky, beliau berangkat ke Iraq bersama dengan para jemaah haji yang hendak kembali ke Kufah. Imam Maliky juga membekalkan 46 dinar dan 4 dinar untuk kenderaan beliau. (Khalil, 1997:198-199)
Setelah 24 hari perjalanan tibalah Imam Syafie disana dan beliau berhenti untuk solat ‘Asar. Ketika di masjid berkenaan beliau telah menegur cara seorang pemuda di situ menunaikan solat. Namun dengan marah pemuda itu mengatakan bahawa selama ini dia menunaikan solat di hadapan Imam Muhammad dan Imam Abu Yusuf dan tidak pernah ditegur. Lalu berita ini sampai ke pengetahuan Imam Muhammad, setelah mendengar penerangan Imam Syafie bagaimana beliau menunaikan solat membuatkan Imam Muhammad mengerti dan insaf. Selama di Kufah, Imam Syafie telah menjadi tetamu yang istimewa buat Imam Muhammad dan menetap bersama Imam Muhammad. Selama berada di Kufah, Iraq, beliau mendalami ilmu pegetahuan fiqh para ilmuwan di sana. Selain itu, beliau dapat mempelajari mengenai cara Qadhy iaitu Hakim memeriksa sesuatu perkara dan memutuskan undang-undang. (Khalil, 1997:201-202)
Sepanjang di Iraq, beliau dapat menambah pengalaman dan pemandangan mengenai perilaku dan pergaulan penduduk di sana. Pelbagai adat istiadat masyrakat di sana juga beliau telah pelajari. Setelah hamper dua tahun beliau telah mendiamkan diri di Kufah, beliau telah meninjau keadaan kota-kota di sekitar Iraq dan timbul pula hasrat beliau untuk melanjutkan perjalananya ke negeri-negeri lain. (Khalil, 1997:200)
Kepergian Imam Syafie ke beberapa buah negeri telah direstui oleh Imam Muhammad dan beliau dibekalkan 3000 dirham bagi membantu kewangannya. Maka, berangkatlah beliau ke Parsi menuju pula ke Rom. Kemudian berangkatlah pula ke Hirah dan berehat sebentar di sana. Daripada Hirah beliau menuju ke Palestine, dan berehat seketika di kota Ramlah iaitu sebelah selatan Baitul Maqdis. Di setiap negeri-negeri tersebut beliau menambah ilmunya melalui para ulama’ di situ. Disamping itu, beliau juga menyebarkan isi kandungan kitab Muwaththa’. (Shaaban, 1994:150)
Ketika Imam Syafie berada di kota Ramlah, datanglah sekumpulan unta dari kota Madinah, lalu beliau menayakan khabar Imam Maliky kepada mereka. Terdetik di hati Imam Syafie untuk pulang ke Madinah. Dengan membeli seekor unta, Imam Syafie pulang ke Madinah dan singgah solat Asar di masjid Nabawi. Kebetulan pada ketika itu Imam Maliky sedang mengajar di masjid tersebut dan apabila beliau melihat wajah Imam Syafie, lalu segera dia menghormati kedatangan Imam Syafie. Setelah itu Imam Maliky menyuruh Imam Syafie megambil alih pengajarangnya pada hari itu. Bermulai hari itu, Imam Syafie membantu pimpinan dan pengajarang Imam Maliky sehingga beliau meninggal dunia iaitu pada bulan RabiulAwal tahun 179 Hijrah. (Shaaban, 1994:166-167)
Setelah Imam Maliky meninggal dunia, wakil negeri Yaman amat teruja dengan peribadi dan kepintaran Imam Syafie maka dengan itu tertariklah wakil negeri Yaman untuk berjumpa dengan beliau. Oleh itu, Imam Syafie dilantiklah menjadi penulis negeri Yaman dan berangkatlah beliau ke negeri tersebut. Setelah tiba di ibu kota negeri Yaman beliau dilantik pula menjadi setiausaha negeri Yaman dan bekerja di jabatan yang terpenting. Ketika itu usia Imam Syafie adalah 29 tahun dan masih belum berkhawin, dengan persetujuan wakil negeri Yaman dan lain-lain, beliau berkhawin dengan seorang puteri bangsawab iaitu Siti Hamidah btNafi’, dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Abu ‘Uthman, Fathimah dan Zainab. Selama di Yaman Imam Syafie berusaha menuntut ilmu berkenaan sifat dan thabiat seseorang “physiognomy”. (Khalil, 1997:206)
Setiap umat pasti menempuhi dugaan termasuk juga Imam Syafie. Disebabkan Imam Syafie pada ketika itu sangat disayangi maka timbul segala perasaan iri hati dan dengki. Berhubung dengan itu, terdapat beberapa orang yang melaporkan pada ketua Baghdad iaitu Harun Ar-Rasyid bahawa Imam Syafie termasuk dalam seorang pemimpin yang aktif dan berpengaruh besar dalam pergerakan kaum Syiah. Kaum Syiah dianggap merupakan suatu kaum yang berpontensi untuk merobohkan pemerintahan Bani Abbasiyah dan menubuhkan pemerintahan sendiri iaitu golongan ‘Allawyyin. Oleh kerana, Yaman berada di bawah pemerintahan Harun Ar-Rasyid maka, baginda telah mengirimkan surat ke Yaman menyampaikan ancaman kepada kaum Syiah dan juga tertulis nama Imam Syafie di dalam surat tersebut. Tetapi pada hakikatnya Imam Syafie tidak terlibat dengan puak Syiah. Maka, pada suatu hari Ar-Rasyid memerintahkan untuk menagkap penganjur dam pemimpin puak Syiah, Imam Syafie juga turut ditangkap. Dengan bukti yang ada Imam Syafie terbukti tidak bersalah. (Rafi, 1990:45)
Selama Imam Syafie berada di Baghdad, sering kali beliau menghadiri pertemuan bersa ulama’-ulama’ disana bagi menukarkan pandangan dan fikiran mengenai masalah-masalah agama. Imam Syafie juga sering kali menghadiri majlis yang dianjurkan para ‘ulama seperti Imam Waki’ binJarrah, Abu Usamah dan lain-lain. Setiap masalah yang timbul pasti dapat diselesaikan dahulu oleh beliau , dengan itu mereka telah berpakat untuk mencari suatu masalah yang besar lalu dikemukan kepada Imam Syafie. Di hadapan Ar-Rasyidin, Imam Syafie mampu menjawab maslah tersebut dengan tepat. Dengan itu tertariklah baginda Ar-Rasyidin terhadap kecerdasan Imam Syafie dan menawarkan jawatan Qadhi kepada beliau, tetapi Imam Syafie menolak jawatan tersebut. (Ghazali, 2002:98)
Imam Syafie membuat keputusan untuk kembali ke Makkah, dikala itu itu ibunya telah meninngal dunia. Sepanjang 17 tahun beliau berada di Makkah menyebarkan mazhab beliau melalui perantaraan para jemaah haji yang dating setiap tahun ke Makkah bagi menunaikan haji. Beliau amat terkenal dengan ilmu mengenai tafsir Al-Quran, ilmu hadith, ilmu fiqh, ilmu lughat, ilmu firasat dan sebagainya. Sepanjang beliau berada di Makkah, beliau mendapat pelbagai khabar dari Baghdad antaranya ialah kewafatan Imam Abu Yussuf iaitu pada tahun 182, kemudian pada tahun 188 Hijrah pula ialah kewafatan Imam Muhammad bin Al- Hassan, maka pada tahun 193 pula sampailah berita kewafatan Harun Ar-Rasyid dan diikuti oleh kewafatan Al-Amin bin Harun Ar-Rasyid. (Ghazali, 2002:55)
Antara pesanan Imam Syafie mengenai aliran mazhabnya yang diriwayatkan oleh Imam Ar-Rabi mengatakan tiap-tiap apa yang berlaku daripada sunnah Rasulullah padahal bersalahan dengan mazhabku , maka tinggalkanlah mazhabku. Selain itu, Imam Ar-Rabi juga ada mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Imam Syafie berkata “tiap-tiap masalah yang telah aku bicarakan, yang padanya ada hadith yang sahih dari Rasullulah menurut pandangan ahli hadith, padahal bersalahan dengan apa yang telah ku katakana maka akan ku rujuk kembali baik di waktu hidupku mahupun sesudah matiku”. Malahan Imam Syafie juga mengatakan sekiranya didapati sesuatu yang menyalahi sunnah Rasulullah maka hendaklah kamu mengatakan dengan sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah apa yang telah dikatakan oleh Imam Syafie. Imam Abu Tsaur juga pernah mendengar Imam Syafie mengatakan bahawa semua hadith nabi yang sahih itu adalah perkataan beliau walaupun sebelum ini belum pernah didengari. (Munir, 1889:167)
Dasar-dasar mazhab Imam Syafie adalah daripada Al-Quran, dimana beliau mengambil daripada makna yang lahir kecuali didapati mempunyai alasan yang menujukkan bahawa makna itu harus diguna pakai. Seterusnya As-Sunnah , beliau mengambil sunnah nabi untuk dijadikan dalil bagi mencukupi syarat-syaratnya. Yakni, selagi perawi hadith itu seorang yang boleh dipercayai, kuat ingatan dan berhubung terusa dengan nabi. Ijma’, beliau menetapkan adanya ijma’ para sahabat apabila tidak berlaku perbantahan diantara satu sama lain dan mencapai kata sepakat. Qiyas pula digunakan apabila sudah didapati tiada dalil yang terang dari Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’. Qiyas juga digunakan apabila dalam keadaan yang memaksa, tetapi Imam Syafie tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman secara qiyas. Akhir sekali adalah istidlal dimana beliau mencari alasan berlandaskan undang-undang tanpa mengunakan pendapat fikiran manusia. (Munir, 1889:167-168)
Setiap yang hidup pasti menemui mati begitu juga dengan Imam Syafie yang semakin hari semakin keadaan sakit beliau semakin parah. Di kala itu, beliau merasakan bahawa beliau akan wafat di Mesir dan beliau meminta wali negeri Mesir untuk memandikan jenazah beliau kelak. Pada hari Khamis malam Jumaat tanggal 29 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masehi wafatlah beliau dengan tenang. Jenazah beliau dikebumikan pada 30 Rejab selepas waktu Asar dan dimaqamkan di perkuburan banu Zahrah yang terkenal sebagai kawasan perkuburan anak keturunan Abdul Hakam. (Shaaban, 1994:153-154)

Kesimpulan
Berdasarkan beberapa sumber rujukan yang diperolehi ternyata menerangkan kerajinan Imam Syafie dalam menuntut ilmu pengetahuan dalam keadaan yang serba sederhana dan sifat peribadi beliau yang begitu unggul. Kerajinan beliau terbukti apabila beliau merantau ke merata negeri semata-mata bagi mengutip banyak pengalaman di negeri-negeri orang serta mendalami segala ilmu pengetahuan di setiap negeri yang disinggahi olehnya. Beliau juga mempunyai ramai guru dan anak murid. Antara anak muridnya ialah Imam Abu Tsaur, Imam Al-Hassan, Imam Ahmad bin Hambal, Imam Yusuf bin Yahya, Imam Abu Ibrahim dan yang lain-lain. Malahan Imam Syafie juga mempunyai mazhab-mazhabnya yang tersendiri. Selain itu juga, Imam Syafie mengarang pelbagai jenis kitab seperti Ar-Risalah yang membicarakan mengenai ilmu fiqh. Di dalam kitab ini beliau membicarakan dengan jelas mengenai hukum-hukum dari Al-Quran dan As-Sunnah. Kitab yang seterusnya ialah kitab Al-Umm, kitab ini merupakan antara kitab yang membicarakan secara teliti mengenai ilmu fiqh dan menunjukkan kebijaksanaan Imam Syafie. Kitab-kitab lain karanagn beliau adalah kitab Jamiul-Ilmi, Ibthahul-Istithan, Ar-Raddhu, Siyarul-Auza’y, ikhtilaful-hadiths dan Al-Musnad. Selain itu terdapat juga kitab yang ddikarang oleh Imam Syafie yang masih lagi digunakan sehingga sekarang seperti Kitab Al-Fiqqih, Al-Mukkhtasharul-Kabir dan Mukkhtasharul-Shaghir. Ketika menuntut ilmu pengetahuan juga Imam Syafie mendapat ujian apabila beliau ditangkap oleh pemerintah Baghdad atas tuduhan cuba menjatuhkan pemerintahan di Baghdad melalui puak Syiah, beliau juga hampir dihukum bunuh oleh Ar-Rasyidin. Dengan kuasa Allah beliau terselamat daripada tuduhan tersebut malahan Ar-Rasyidin menjadi kagum dengan kepandaian Imam Syafie menyelesaikan suatu masalah yang timbul. Beliau juga telah meneroka pelbagai cabang dan bidang ilmu terutamanya berkaitan dengan ilmu fiqh. Malahan Imam Syafie juga terkenal dengan ilmu kesusteraan dimana beliau mampu megubah syair-syair yang hebat. Antara ilmu lain yang diterokai Imam Syafie adalah ilmu tauhid, ilmu megenai sifat dan thabiat manusia serta pelbagai lagi cabang ilmu yang diterokai dan dipelajari beliau sepanjang mengembara dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Selain itu beliau juga telah mampu menghafal dan memahami isi kandungan kitan Al-Muwathathak karangan Imam Maliky dalam usia yang muda. Akhirnya pada 29 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820, Imam Syafie meninggal dunia di Mesir.

No comments:

Post a Comment