Tajuk: Al–Quran Merupakan Satu Rahmat

ABSTRAK
Al- Quran adalah merupakan satu rahmat yang diturunkan oleh Allah kepada semua hamba-NYA. Rahmat Allah terhadap hamba-NYA adalah sangat meluas dari pelbagai aspek. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir masyarakat atau golongan yang masih tidak mengamalkan Al-Quran dalam kehidupannya. Terdapat pelbagai punca atau sebab-sebab manusia pada zaman kini tidak mengamalkan al-quran dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah kerana manusia zaman kini lebih mengejar kemewahan di dunia berbanding nikmat di akhirat. Selain itu, manusia juga alpha dengan keseronokan yang melalaikan dan menyesatkan mereka. Terdapat pelbagai kesan dan impak daripada akibat mereka antaranya mereka terjerumus kelembah kehinaan dan maksiat dan pintu hati mereka ditutup oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh itu, mereka akan sentiasa berada dalam kalangan orang-orang yang munafik dan dijauhkan daripada nikmat-nikmat kurniaan Allah. Bagi orang yang mengamalkan al-quran dalam kehidupan seharian mereka nescaya Allah mengurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat serta Allah Subhanahu wa ta’ala. sentiasa melindungi mereka daripada perbuatan yang sia-sia dan terlindung daripada perbuatan jahat makhluk lain. Oleh yang demikian, sebagai umat islam dan makhlik cipataan Allah Subhanahu wa ta’ala  kita haruslah mengamalkan al-quran serta menjadikan amalan membaca al-quran sebagai satu aktiviti harian dalam kehidupan kita. Selain itu, pihak ibu bapa juga haruslah memainkan peranan penting dalam membentuk dan menerapkan amalan membaca al-quran kepada anak-anak sejak dari mereka kecil lagi. bak kata pepatah ‘melentur buuh biarlah dari rebungnya’. Di samping itu, pihak kerajaan haruslah menyekat program-program yang boleh memesongkan akidah umat islam yang sentiasa dipaparkan melalui media-media massa, media eloktronik dan internet. Sekiranya hal-hal demikian dapat dibendung, insyallah dengan izin daripada Allah Subhanahu wa ta’ala  umat islam akan lebih menghayati al-quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

PENDAHULUAN
Bismillahirrahmanirrahim. Pembuka kata bagi menjauhkan kita dengan gangguan iblis dan syaitan. Allah hu akbar. Puji dan sanjungan hanya khusus bagi Allah. Kita memuji-Nya, serta memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya. Sesiapa yang di beri petunjuk oleh Allah, maka tiada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Seterusnya Allah Azza wa Jalla telah memuliakan umat ini dengan Al-Quran yang berisi khabar umat-umat yang terdahulunya ataupun sesudahnya, dan memberi keputusan di antara mereka. Al-Quran adalah pemisah di antara hak dan yang batil. Sesiapa yang mencari petunjuk selain daripada Al-Quran, maka Allah menyesatkannya. Al-Quran adalah tali Allah yang teguh dan zikir yang bijaksana serta jalan yang lurus. Al-Quran tidak menjadi usang meskipun diulang-ulang. Keajaibannya tidak pernah habis dan bangsa jin ketika mendengarnya mengatakan, “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran yang menakjubkan, yang memberi petunjuk ke jalan yang benar, kemudian kami beriman dengannya”. Selain itu, Allah telah mengemukakan dalam Al-Quran tentang berbagai-bagai nasihat dan perumpamaan, adab dan hukum serta khabar-khabar yang diputuskan oleh manusia tentng orang yang terdahulu dan yang kemudian. Al-Quran juag merupakan satu rahmat dan kasih sayang daripada Allah kepada manusia akan tetapi sebilangan kecil sahaja yang menerima dan mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan. Walaubagaimanapun, Allah menjanjikan keindahan di akhirat bagi orang yang beriman kepada-Nya, dan azab api neraka kepada umat yang ingkar dengan perintah dan larangan yang telah ditetapkan oleh-Nya seperti yang telah tercatit di dalam kitab Al-Quran sekiranya mereka tetap tidak bertaubat dan tidak memohon ampun kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

LATAR BELAKANG & DEFINISI AL-QURAN
Al Quran ialah kitab suci bagi umat islam. Menurut ajaran islam, al Quran ialah wahyu yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan malaikat Jibril yang sampai ke zaman sekarang secara mutawatir. Perihal diturunkan al – Quran mempunyai kaitan rapat dengan Lailatul Qadar. Al Quran diturunkan kepda Nabi Muhammad secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Lafaz al-Quran dari segi bahasa adalah bacaan atau himpunan huruf dan kalimah. Ini berdasarkan firman Allah:

Sesungguhnya kamilah Yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (surah al-Qiyamah. Ayat 17-18)
Manakala dari segi istilah, al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah, bermula dari surah Al-Fatihah dan berakhir dengan surah An-Naas.
DEFINISI RAHMAT ALLAH.

Rahmat adalah sangat luas. Rahmat Allah meliputi segala sesuatu. Tiada lagi rahmat selain daripada rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala. Allah mengurniakan rahmat-NYA kepada semua ciptaannya termasuklah kepada golongan kafir dan untuk orang-orang beriman kepada-NYA secara merata. Dimana sahaja manusia berada di muka bumi ini maka mereka akan berjumpa dengan rahmat kurniaan Allah. Antara kurniaan rahmat Allah kepada semua ciptaan-NYA ialah hujan yang diturunkan untuk menyejukkan bumi, menghidupkan tumbuhan-tumbuhan yang telah mati, binatang ternakan yang sihat, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri, matahari, bulan dan juga alam ini. Semua yang ada di dunia ini adalah rahmat kurniaan Allah kepada semua ciptaan-NYA.


PERINTAH AL – QURAN KEPADA MANUSIA
Allah Sallallahu ‘alaihi wa sallam t. memerintahkan semua hambanya supaya menurut segala perintah-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Antara perintah Allah kepada hambanya yang tercatat didalam kitab suci Al-Quran ialah:

• Memilihara amal ibadat yakni solat 5 waktu
SURAH 2 AL BAQARAH (SAPI BETINA) AYAT 238 :
Peliharalah segala sholatmu, dan peliharalah sholat wuthaa, berdirilah kerana Allah (dalam sholatmu) dengan khusyu’.

• Memakai pakaian yang sopan, bersih dan menutup aurat.
SURAH 7 AL A’RAF (TEMPAT TERTINGGI) AYAT 31 :
Hai anak Adam pakailah pakaianmu yang indah disetiap memasuki Masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

• Menunaikan zakat bagi yang wajib menunaikan
SURAH 9 AT TAUBAH (PENGAMPUNAN) AYAT 18 :
Hanyalah yang memakmurkan Masjid-Masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan Sholat, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapa pun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

• Mengerjakan solat-solat sunat
SURAH 17 AL –ISRAA’ (MEMPERJALANKAN DIMALAM HARI) AYAT 79
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang thajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

• Menyembah Allah Sallallahu ‘alaihi wa sallam t
SURAH 59 AL HASYR (PENGUSIRAN) AYAT 23 :
Dialah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan.

PUNCA TIDAK MENGAMALKAN AL-QURAN
• Kurang tahap keimanan terhadap agama islam
• Tidak khusyuk ketika membaca seterusnya merasa bosan.
• Lalai dengan keindahan dan nikmat di dunia
• Tidak memahami maksud bacaan Al-Quran dan tajwid
• Kurang pendedahan terhadap Al-Quran
• Terpengaruh dengan budaya orang barat
• Tiada penekanan daripada ibu bapa.
• Sukar mendapat guru yang sesuai untuk mengajar al-Quran.
• Suasana persekitaran yang tidak sesuai dan pengaruh media elektronik

KESAN / KEBURUKAN MENGABAIKAN AL-QURAN
Mendapat kemurkaan Allah
Umat yang mengabaikan al-Quran akan mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. allah tidak akan mengampunkan dosa hambanya sehingga hambanya bertaubat memohon ampun bersungguh-sungguh kepada-NYA.

Keretakan rumah tangga
kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.

Tidak mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat
Allah tidak mengurniakan keberkatan dalam semua perbuatan yang dilakukan sama ada di dunia dan diakhirat.

Mendapat azab api neraka dan tergolong dalam golongan yang kafir
Allah menjanjikan azab api neraka kepada umat-NYA yang takbur dan tidak mengamalkan perintah-NYA.
KELEBIHAN/ KEBAIKAN MENGAMALKAN AL-QURAN

Mendapat ganjaran pahala.
Allah menyediakan ganjaran pahala kepada umat islam. Berdasarkan dalam sebuah hadis Ibnu Masud r. a dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda bahawa setiap huruf yang dibaca (al-Quran) umpama 1 kebajikan dan setiap kebajikan 10 kali ganda pahala kepada hambanya.

Dirahmati oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.
Selain itu, sesiapa yang membaca Al-Quran akan sentiasa dirahmati oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang taat dan menjauhkannya daripada memasuki golongan yang lalai.

Rahmat di hari akhirat.
Allah Subhanahu wa ta’ala  juga menjanjikan cahaya pada hari qiamat dan segala hajatnya sentiasa dipenuhi sama ada di dunia atau di akhirat nanti.

Mendapat keberkatan dan dilindungi oleh Allah
Disamping itu, orang yang membaca Al-Quran mendapat kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya. Allah akan mengurniakan rahmatnya di akhirat nanti kepada ibu bapa kita.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, Al-Quran merupakan satu rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala  kepada semua hamba yang taat terhadap-NYA. Al-Quran juga merupakan garis panduan yang Allah berikan kepada kita sebagai pengajaran dan tauladan supaya kita sentiasa mengingati-NYA. Di dalam al-Quran juga terdapat kisah dan sejarah kita sendiri sebagai seorang hamba Allah. Akan tetapi hanya segelintir sahaja golongan yang memegang teguh dan mengamalkan al-Quran di dalam kehidupan sehariannya. Oleh itu, terdapat banyak para ulamak dan orang bijak pandai mengkaji sebab-sebab manusia pada zaman kini semakin mengabaikan dan melupakan al-Quran. Terdapat pelbagai sebab mengapa semakin ramai yang melupakan al-Quran dan tidak menitikberatkan tentang pembacaan al-Quran dalam kehidupan seharian. Pembangunan dan arus kemodenan tanpa batasan pada zaman kini menyebabkan umat manusia semakin alpha dan lalai dengan perkara berkaitan islam. Umat manusia kini lebih banyak menghabiskan masa mengejar kemewahan dan kegemilangan di dunia sehingga merasakan bahawa al-Quran itu adalah tidak penting. Selain itu juga, kurang penekanan ibu bapa terhadap anak-anak juga menyebabkan generasi kita pada masa kini dan akan datang semakin melupakan al-Quran seperti peribahasa ‘luput di telan zaman’. Bagi mengelakkan keadaan ini berterusan, semua pihak haruslah memainkan peranan penting dalam membenteras generasi muda kita supaya terus mengabaikan dan melupakan Al-Quran. Antaranya pihak kerajaan yang mempunyai kuasa pentadbiran, pihak ibu bapa yang merupakan individu yang paling hampir dengan golongan muda zaman kini, sekolah yang merupakan salah satu tempat yang mendidik anak remaja dan sebagainya lagi. sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi masalah ini, kekangan ini pasti dapat diatasi. Kehidupan umat islam akan lebih harmoni dan tenang sekiranya mengamalkan al-Quran di dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, pembacaan dan pengamalan al-Quran akan sentiasa menjadi amalan kita semua. Allah pasti akan mengurniakan kejayaan di dunia dan keselamatan di akhirat bagi orang yang sentiasa menitikberatkan al-Quran.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com