Tajuk: Zakat Dapat Membangunkan Ekonomi Islam

ABSTRAK
Zakat adalah satu rukun yang bercorak social-ekonomi dari lima rukun Islam. Pengertian zakat terbahagi kepada dua iaitu dari segi bahasa dan syarak. Dari segi bahasa, zakat bererti keberkatan, kesucian, perkembangan, dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannnya dari segala kerosakan. Dari segi syarak, zakat ialah sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir. Terdapat beberapa jenis zakat iaitu zakat binatang ternak, zakat emas dan perak, zakat kekayaan dagang, zakat pertanian, zakat saham, zakat perindustrian, zakat bon, zakat eksploitasi, zakat obligasi dan zakat fitrah. Dalam sebuah masyarakat yang terdapat jurang perbezaan antara golomgan kaya dan miskin maka sukar masyarakat tersebut hendak membangun. Usaha golongan kaya bagi menjalankan pembangunan dan kemajuan akan ditentang oleh golongan miskin. Dalam masa yang sama pula golongan miskin ini ditindas oleh golongan kaya. Justeru, keadaan dan taraf hidup umat Islam di kalangan masyarakat tidak sama secara tidak langsung wujudlah satu jurang pemisah antara golongan kaya dengan golongan miskin. Orang kaya menjalani kehidupan yang senang manakala orang-orang miskin terpaksa menjalani kehidupan sekadar apa yang ada. Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam. Hikmah disyariatkan zakat ialah pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain itu, ia juga dapat membersihkan jiwa daripada sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan banteng keamanan di dalam system ekonomi Islam dan penjamin kea rah kestabilan dan kesinambungannya.

PENDAHULUAN
Zakat adalah satu rukun yang bercorak social-ekonomi dari lima rukun Islam. Pengertian zakat terbahagi kepada dua iaitu dari segi bahasa dan syarak. Dari segi bahasa, zakat bererti keberkatan, kesucian, perkembangan, dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannnya dari segala kerosakan. Dari segi syarak, zakat ialah sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir.

Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 103 : ‘Pungutlah zakat dari sebahagian kekayaan mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka’. Di dalam hadis sahih pula, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman : ‘Beritahulah kepada mereka bahawa Allah (Subhanahu wa ta’ala) mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya dikalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin dikalangan mereka’. Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah dali hadis.

Zakat merupakan sebahagian besar dari pendapatan negara yang menjadikan Negara-negara dulu kaya dan makmur., serta tidak mengenal kemiskinan dan penderitaan. Relevannya zakat pada masa sekarang menjadi semakin penting, terlepas daripada cukai yang telah ada, kerana tempat penyalurannya berbeza. Zakat merupakan faktor utama dalam pemerataan harta benda dikalangan masyarakat, dan juga merupakan alat utama dalam menyebarluaskan perasaan senasib-sepenanggungan dan persaudaraan dikalangan umat Islam.

Landasan kewajipan zakat disebut dalam Al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama. Surah Al-Baqarah ayat 43 : Ertinya : ‘Dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama dengan orang-orang yang rukuk’. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar : Ertinya : ‘Islam dibina atas lima rukun : Syahadat tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam utusan Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan berpuasa Ramadhan’. Ulama baik salaf (klasik) mahupun khalaf (mutakhir) telah sepakat dan bagi yang mengingkarinya bererti telah kafir dari Islam.

1) Zakat binatang ternak
• Binatang amat banyak tetapi yang berguna bagi manusia hanya sedikit. Yang paling berguna adalah binatang-binatang yang digelar oleh orang Arab iaitu “an’am” iaitu unta, sapi termasuk kerbau, kambing dan biri-biri. Binatang-binatang ternak itu semuanya diciptakan Allah untuk kepentingan manusia, antara lain untuk ditungganginya sebagai kenderaan, dimakan dagingnya, diminum susunya dan diambil bulu dan kulitnya. Syarat-syarat zakat binatang ternak adalah sampai nisab, telah dimiliki satu tahun, digembalakan, tidak diperkejakan.

2) Zakat emas dan perak
• Emas dan perak merupakan tambang elok. Banyak manfaat yang tidak terdapat pada aneka tambang lain. Banyak manusia telah menjadikannya wang dan nilai tukar bagi segala sesuatu sejak kurun-kurun lalu. Syariat memandang emas dan perak dengan pandangan tersendiri, dan mengibaratkannya sebagai suatu kekayaan alam. Syariat mewajibkan zakat keduanya jika berbentuk wang atau leburan logam (tibr), dan juga jika berbentuk bejana, cenderamata, ukiran atau perhiasan bagi lelaki.

3) Zakat kekayaan dagang
• Menurut Imam Razi, zakat wajib atas semua kekayaan yang diperoleh dari usaha, termasuk ke dalamnya perdagangan, emas, perak, dan ternak, oleh kerana semuanya itu digolongkan hasil usaha. Yang menguatkan hal itu adalah firman Allah tentang Abu Lahab, ‘Tidak ada guna baginya kekayaannya dan hasil usahanya’. Kekayaannya adalah kekayaan yang diwarisinya dari orang tuanya, sedangkan hasil usahanya adalah yang diperolehnya dari perdagangannya. Menurut Ibnu Arabi firman Allah ‘pungutlah zakat dari kekayaan mereka’ itu berlaku menyeluruh atas semua kekayaan, bagaimanapun jenis, nama, dan tujuannya. Orang yang ingin mengecualikan salah satu jenis haruslah mampu mengemukakan satu landasan.

4) Zakat pertanian
• Menurut Ibnu Umar dan segolongan Ulama Salaf, zakat pertanian wajib atas empat jenis makanan iaitu wajib atas dua jenis biji-bijian iaitu gandum (hintah) dan sejenis gandum lain (syair) dan dua jenis buah-buahan iaitu kurma dan anggur. Mmenurut Malik dan Syafi’i, berpendapat bahawa zakat wajib atas segala makanan yang dimakan dan disimpan, bijian dan buahan kering seperti gandum, bijian, jagung, padi dan sejenisnya. Yang dimaksudkan dengan makanan adalah sesuatu yang dijadikan makanan pokok oleh manusia pada saat normal bukan dalam masa luar biasa. 2
5) Zakat saham
• Saham adalah merupakan sebahagian daripada modal sesebuah syarikat yang akan mengalami keuntungan dan kerugian sesuai mengikut keuntungan dan kerugian syarikat berkenaan. Jika syarikat telah membayar zakat sahamnya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam bahagian zakat syarikat, pemilik saham tidak lagi wajib mengeluarkan zakat sahamnyauntuk mengelakkan dari berlaku pergandaan di dalam zakat (mengeluarkan zakat sebanyak dua kali).

6) Zakat perindustrian
• Perindustrian tidak boleh dipisahkan dari tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Di samping itu, perindustrian juga tidak akan terlepas dari usaha membeli barang-barang dengan niat untuk diperniagakan. Sebab itulah ke atas perindustrian diterapkan hukum zakat komoditi perniagaan. Kegiatan perindustrian terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang pertama barang yang dibeli adalah barang yang telah dikilangkan dan ia dibeli dengan tujuan untuk diperniagakan. Kedua adalah barang yang dibeli adalah barang yang masih berbentuk bahan mentah dan kemudian ia diproses (dikilangkan) oleh pembayar zakat dengan tujuan untuk dijual. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari barang-barang yang wajib dikeluarkan zakat di dalam kedua-dua jenis ini ialah sebanyak 2. 5%.

7) Zakat bon
• Bon merupakan sebahagian daripada pinjaman yang diberikan kepada syarikat atau pihak yang mengeluarkannya. Walaupun urusan jual beli menggunakan bon diharamkan kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, pemilik bon tetap diwajibkan membayar zakat dari nilai asal (nilai nominal bon) yang dimilikinya pada setiap tahun secara menggabungkan nilai modal bon tersebut dengan hartanya yang lain dalam hitungan nisab dan haul, kemudian membayar sebanyak 1/40 atau 2. 5% dari jumlah keseluruhannya, tidak termasuk faedah riba yang dihasilkan. Faedah riba yang diharamkan itu hendaklah dibelanjakan kearah kebaikan dan kepentingan umum selain daripada pembinaan masjid, percertakan Al-Quran dan sebagainya.

8) Zakat eksploitasi
• Eksploitasi ialah kesemua barang yang sentiasa boleh diambil manfaatnya sambil mengekalkan zatnya. Harta tersebut adalah bukan untuk diperniagakan tetapi untuk diperkembangkan supaya dapat memberi pendapatan pendapatan (hasil) kepada pemiliknya yang diperolehi secara memberi sewa zatnya seperti hartanah, kereta, kapal laut, dan kapal terbang yang disewakan. Hasil disewakan tersebut hendaklah digabungkan dengan kekayaan yang dimiliki oleh pengeluar zakat yang memiliki eksploitasi seperti wang dan komoditi perniagaan lain sehingga cukup nisab dan haul, kemudian dibayar zakatnya sebanyak 2. 5%.

9) Zakat obligasi
• Obligasi merupakan bahagian dari pinjaman yang diberikan kepada perusahaan atau pihak yang mengeluarkannya. Perusahaan atau pihak yang bersangkutan memberikan bunga tertentu terhadap obligasi tersebut tanpa mengaitkannya dengan keuntungan atau kerugian dan ia berkewajiban melunasinya pada waktu yang ditentukan. Meskipun jual beli obligasi itu diharamkan kerana mengandungi unsure riba, namun si pemilik tetap berkewajiban membayar zakat dari jumlah nilai nominal obligasi yang dia miliki dengan cara menggabungkannya dengan kekayaan yang lain dalam pertimbangan nisab dan haul, kemudian membayar 2. 5% dari jumlah keseluruhan tanpa bunga.

10) Zakat fitrah
• Zakat fitrah bererti mengeluarkan makanan-makanan tertentu (beras bagi Malaysia) pada akhir bulan Ramadhan dan diberikan kepada golongan-golongan yang tertentu. Hukumnya wajib keatas orang-orang Islam yang cukup syaratnya sekali dalam setahun setelah berakhirnya kewajipan peasa Ramadhan. Tersebut pada hadis sahih : Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah daripada daripada bulan Ramadhan kadar segantang buah tamar atau segantang biji syair keatas hamba dan orang yang merdeka lelaki atau perempuan, kecil atau besar daripada orang-orang Islam.

Zakat dan segi ekonominya
Dalam sebuah masyarakat yang terdapat jurang perbezaan antara golomgan kaya dan miskin maka sukar masyarakat tersebut hendak membangun. Usaha golongan kaya bagi menjalankan pembangunan dan kemajuan akan ditentang oleh golongan miskin. Dalam masa yang sama pula golongan miskin ini ditindas oleh golongan kaya.
Justeru, keadaan dan taraf hidup umat Islam di kalangan masyarakat tidak sama secara tidak langsung wujudlah satu jurang pemisah antara golongan kaya dengan golongan miskin. Orang kaya menjalani kehidupan yang senang manakala orang-orang miskin terpaksa menjalani kehidupan sekadar apa yang ada.
Dengan pemberian zakat secara tidak langsung golongan kaya telah bermurah hati membantu golongan miskin. Ia akan mewujudkan satu keadaan di mana golongan miskin rasa terhutang budi dan menghormati golongan kaya. Selanjutnya, rasa kasih sayang akan tersemai di dalam hati mereka. Oleh itu akan wujudlah kesatuan umat.
Apabila zakat berfungsi dengan betul, maka terdapat agihan harta di kalangan masyarakat di mana golongan miskin akan mendapat manfaat dengan kewujudan golongan kaya dan golongan kaya pula akan mendapat manfaat doa orang-orang miskin.

KESIMPULAN

Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Dalam keadaan ini, orang berkenaan hendaklah diajar sehingga dia betul jelas dan dapat mengikutinya dengan baik. Sedangkan orang yang enggan membayarnya tetapi masih tetap mengakui tentang kewajipan zakat, maka orang yang berkenaan berdosa kerana tindakannya itu, bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar daripada agama Islam. Justeru itu, pemerintah wajib mengambil zahat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran) kepadanya.

Hikmah disyariatkan zakat ialah pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain itu, ia juga dapat membersihkan jiwa daripada sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan banteng keamanan di dalam system ekonomi Islam dan penjamin kea rah kestabilan dan kesinambungannya.

Zakat juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah (Subhanahu wa ta’ala) sebagaimana firman-Nya : ‘Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi oang-orang yang bertakwa dan yang member zakat’. (Surah Al-A’raf : 156). Di samping itu, zakat juga merupakan syarat persaudaraan di dalam agama Islam sebagaimana firman-Nya : ‘Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu seagama’ (Surah at-Taubah : 11). Zakat bukan hanya memberi kebaikan kepada masyarakat, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

RUJUKAN

1. Dr. M. Yusuf Qardawi (1988). Studi Komparatif mengenai Status dan Filsafat Zakat berdasarkan Quran dan Hadis, Singapura, Penerbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd.
2. Dr. Mohd Ali Haji Baharum (1989). Zakat ditinjau dari Perspektif Sosial, Undang-undang dan Taksiran, Kuala Lumpur, Dewan Pustaka Islam.
3. Ustaz Haji Fadzil Haji Ahmad (tiada tahun). Hidup Ibadat, Alor Setar, Darul ‘Ulum.
4. Abdul Malik Rahman (2003). Ibadah Zakat dan Segala Masalahnya, Kuala Lumpur, Jasmin Enterprise.
5. Ali Akbar Osman (1999). Mengapa Perlu Membayar Zakat?, Kuala Lumpur, Al-Hidayah Publishers.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com