Tajuk: Faktor Tidak Menghayati Al-Quran

ABSTRAK
Al-Quran adalah Kalamullah yang berupa Mukjizat. Diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan malaikat Jibril ‘alaihis salam., yang tertulis pada masahif. Ia diriwayatkan kepada kita secara mutawattir, membacanya adalah dianggap satu ibadah. Ia dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. Definisi tersebut telah disepakati oleh para ulama. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) itu adalah sebagai panduan menempuh norma kehidupan dan petunjuk umat. Keunggulannya merupakan bukti kebenaran Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, di samping sebagai bukti yang nyata terhadap kemahiran dan kerasulan baginda. Di sudut yang lain, ia juga merupakan hujah yang abadi hingga hari akhirat. Tidak dapat disangkal lagi, bahawa al-Quran merupakan mukjizat abadi yang bersifat menyeluruh, sesuai untuk semua bangsa dengan berbagai macam etniknya dan sentiasa sesuai dengan peredaran zaman. “Kemukjizatan al-Quran” adalah kelemahan semua orang, baik secara individu mahupun kelompok untuk mendatangkan sesuatu yang serupa dengan al-Quran itu. Namun maksud kemukjizatan al-Quran semata-mata bukan itu, yakni untuk melemahkan manusia atau untuk menyedarkan mereka akan tentang kelemahannya mendatangkan yang semisal dengan al-Quran, kerana hal itu telah dimaklumi oleh orang-orang yang berakal. Akan tetapi tujuan yang sebenarnya adalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran dan Rasul yang membawanya. Sifat al-Quran adalah seperti an-Nuur bermaksud cahaya yang menerangi kegelapan, al-Mubiin bermaksud menerangkan sesuatu, al-Huda bermaksud petunjuk, ar-Rahmah bermaksud kerahmatan. Al-Quran merupakan sebagai pedoman hidup bagi umat manusia khususnya kaum Muslimim diseluruh dunia dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Al-Quran merupakan sebagai sumber pertama hukum-hukum dalam Agama Islam. Al-Quran berfungsi sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang membawa al-Quran adalah utusan Allah Subhanahu wa ta’ala.. Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.

PENDAHULUAN
Al-Quran adalah Kalamullah yang berupa Mukjizat. Diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan malaikat Jibril ‘alaihis salam., yang tertulis pada masahif. Ia diriwayatkan kepada kita secara mutawattir, membacanya adalah dianggap satu ibadah. Ia dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

Definisi tersebut telah disepakati oleh para ulama. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) itu adalah sebagai panduan menempuh norma kehidupan dan petunjuk umat. Keunggulannya merupakan bukti kebenaran Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, di samping sebagai bukti yang nyata terhadap kemahiran dan kerasulan baginda. Di sudut yang lain, ia juga merupakan hujah yang abadi hingga hari akhirat. Tidak dapat disangkal lagi, bahawa al-Quran merupakan mukjizat abadi yang bersifat menyeluruh, sesuai untuk semua bangsa dengan berbagai macam etniknya dan sentiasa sesuai dengan peredaran zaman.

Dalam al-Quran dan hadith Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam terlalu banyak menerangkan tentang keistimewaan al-Quran dan ilmu-ilmunya, sama ada yang berhubungan dengan pembelajaran, membaca dan menghafalnya. Banyak ayat yang menyeru orang-orang beriman untuk mengembangkan ruang fikiran dan berpegang kepada hukum-hukum yang terkandung di dalam Kitab Allah, serta memerintahkan mereka diam dan menumpukan sepenuh perhatian ketika al-Quran dibaca.

Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah (al-Quran), mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadanya secara bersembunyi dan terang-terangan, adalah mereka mengharapkan sesuatu perniagaan yang tiada akan merugi. ” (Al-Fatir:29).

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam hadith yang bermaksud, “Yang paling baik antara kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. ” (Hadith Riwayat al-Bukhari).


MUKJIZAT AL-QURAN

“I’jaz” menurut bahasa Arab bererti menganggap lemah terhadap orang lain. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : “Lemahkah aku memperbuat seumpama perbuatan gagak ini untuk menguburkan mayat saudaraku. ” (Al-Ma’idah: 31)

Adapun dinamakannya dengan istilah “Mukjizat” kerana semua orang lemah (tidak mampu) untuk mendatangkan sesuatu yang serupa dengan itu, yang sebenarnya hal itu memang terjadi di luar batas-batas kewajaran. Jadi yang dimaksudkan dengan “Kemukjizatan al-Quran” adalah kelemahan semua orang, baik secara individu mahupun kelompok untuk mendatangkan sesuatu yang serupa dengan al-Quran itu. Namun maksud kemukjizatan al-Quran semata-mata bukan itu, yakni untuk melemahkan manusia atau untuk menyedarkan mereka akan tentang kelemahannya mendatangkan yang semisal dengan al-Quran, kerana hal itu telah dimaklumi oleh orang-orang yang berakal. Akan tetapi tujuan yang sebenarnya adalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran dan Rasul yang membawanya.

Demikian juga halnya dengan mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh para Nabi terdahulu, tujuan yang sebenarnya adalah untuk membuktikan kebenaran mereka, sekali gus menegaskan bahawa sesuatu yang mereka bawa itu berdasarkan wahyu yang datang dari Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Mereka hanya sekadar menyampaikan maklumat dan menyerukan. Maka, mukjizat adalah suatu bukti dari Allah Subhanahu wa ta’ala. untuk hamba-hambaNya atas kebenaran Nabi dan RasulNya. Seolah-olah melalui mukjizat itu, Allah Subhanahu wa ta’ala. mengatakan: “Apa yang disampaikan oleh hamba-Ku yang berasal dari-Ku adalah benar, dan Aku sengaja mengutus mereka agar menyampaikan hal itu kepadamu. ” Sedangkan bukti kebenarannya adalah dia (Rasul) mampu mendatangkan sesuatu yang luar biasa yang tidak seorang pun yang mampu menandinginya.

Kemukjizatan itu akan terbukti apabila muncul hal-hal berikut, contohnya sebagai cabaran, iaitu mencari tandingan. Selain itu, apabila yang menjawab cabaran itu masih bertahan (masih ada kemampuan atau belum merasa lemah). Di samping itu, apabila tidak ada sesuatu yang mencegah.

SIFAT AL-QURAN

an-Nuur bermaksud cahaya yang menerangi kegelapan. Al-Quran disifatkan sebagai nur (cahaya) kerana ia memberikan cahaya keimanan kepada orang yang berada di dalam kegelapan serta kekufuran. Selain itu, al-Quran juga menjadi cahaya yang menerangi jiwa orang yang selalu membacanya dan menghayati isi kandungannya. Firman Allah: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak). (surah an-Nisaa' 4:174)

al-Mubiin bermaksud menerangkan sesuatu. Al-Quran disifatkan sebagai penerang kerana ia menghuraikan ajaran Islam kepada seluruh umat. Firman Allah: Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, SAW) Dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) Yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya. (surah al-Maa'idah 5:15)

al-Huda bermaksud petunjuk. Al-Quran disifatkan sebagai petunjuk kerana ia menunjukkan jalan yang lurus kepada umat manusia. Firman Allah: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman. (surah Yunus 10:57)

ar-Rahmah bermaksud kerahmatan. Allah menyifatkan al-Quran sebagai rahmat kerana ia membawa rahmat kepada orang Mukmin yang sentiasa membaca, mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
Firman Allah: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman. (surah Yunus 10:57)

FUNGSI AL-QURAN

Al-Quran merupakan sebagai pedoman hidup bagi umat manusia khususnya kaum Muslimim diseluruh dunia dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam surah Al Anbia ayat 107 dan 108 dinyatakan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala. sengaja mengutus Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan menyampaikan wahyu Al-Quran adalah untuk menjadi rahmat bagi semesta alam. Namun tentu sahaja yang mahu menggunakan al-Quran sebagai pedoman hidupnya adalah orang-orang yang bertqwa, iaitu orang-orang yang beriman dan menempuh keimanannya dengan dengan ibadah dan amal soleh sebagai mana yang tertera dalam surah A Baqarah ayat 2 s/d 5.

Al-Quran merupakan sebagai sumber pertama hukum-hukum dalam Agama Islam. Menurut Syeikh Abdul Wahab Khalaf dalam kitabnya Ilmu Ushulul Fiqhi, hukum-hukum yang terdapat dalam al-Quran merangkumi hukum-hukum tentang I’tiqodiyah, khuluqiyah, dan amaliyah. Hukum amaliyah terbahagi kepada dua, iaitu pertama tentang ibadah, iaitu yang mengatur cara-cara manusia berhubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala. selaku pencipta. Kedua tentang muamalah iaitu mengatur cara-cara manusia berhubungan dengan manusia. Surah An Nisa 59 tentang fungsi al-Quran sebagai sumber. Al-Quran menjadi sumber pertama hukum-hukum Agama Islam, kerana al-Quran adalah wahyu Allah Subhanahu wa ta’ala..

Al-Quran berfungsi sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang membawa al-Quran adalah utusan Allah Subhanahu wa ta’ala.. Seseorang yang mengaku utusan Allah Subhanahu wa ta’ala. haruslah membawa wahyu dari Allah Subhanahu wa ta’ala.. Al-Quran adalah wahyu Allah Subhanahu wa ta’ala.. Bukti bahawa Al-Quran itu wahyu Allah (Subhanahu wa ta’ala) adalah kemujizatannya, kerana tidak dapat ditiru dan ditandingi oleh siapa pun, dan berlaku sepanjang masa, serta terpelihara keasliannya sampai akhir zaman. Keaslian Al-Quran telah terbukti sehingga waktu sekarang. Di dalam Al-Quran, surah Al Baqarah 23, surah Hud 13 dan surah Ira’ 88 terdapat tentangan dari Al-Quran terhadap sesiapa sahaja yang masih meragukan Al-Quran dan kenabian Muhammad untuk membuat sesuatu yang menyerupai Al-Quran.

KESIMPULAN

Setiap mukmin yakin bahawa membaca al-Quran sudah termasuk amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat ganda kerana yang dibacanya itu adalah kitab suci Illahi. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, baik dikala senang mahupun dikala susah, dikala gembira ataupun dikala sedih. Malahan membaca al-Quran itu bukan sahaja menjadi amal ibadah, tetapi juga menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Tentang keutamaan dan kelebihan membaca al-Quran, Rasulullah telah menyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Ada dua golongan manusia yang sungguh-sungguh orang iri kepadanya, iaitu orang yang diberi oleh Allah kitab suci Al-Quran ini, dibacanya siang dan malam, dan orang yang dianugerahi Allah kekayaan harta, siang dan malam harta itu digunakannya untuk segala sesuatu yang diredha Allah Subhanahu wa ta’ala. ”.

Di dalam hadith yang lain lagi, Rasulullah menyatakan tentang memberi cahaya rumah tangga dengan membaca Al-Quran itu. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Daru Quthni dari Anas r. a. Rasulullah memerintahkan: “Perbanyaklah membaca al-Quran di rumahmu, sesungguhnya di dalam rumah yang tidak ada orang membaca al-Quran, akan sedikit dijumpai kebaikan di rumah itu, dan akan banyak sekali kejahatan, serta penghuninya selalu merasa sempit dan susah”.

Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik. Demikian besar Mukjizat al-Quran sebagai wahyu Illahi, yang tidak bosan-bosannya orang membacanya dan mendengarkannya.
Apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya, sehingga seolah-olah yang mendengar berada di alam ghaib, bertemu langsung dengan Khaliknya.

RUJUKAN

1. As-Shabuni, Sheikh Muhammad Ali (2002). Penjelasan Ilmu-ilmu Al-Quran. Taman Sri Batu Caves, Selangor: Crescent News (KL) Sdn. Bhd..

2. Thabathaba’i, Allahmah M. H. (1993). Mengungkap Rahasia Al-Quran. Bandung, Indonesia: Penerbit Mizan.

3. Musa, Prof. Dr. M. Yusuf (1988). Al-Quran dan Filsafat. Jalan Kramat Kwitang I/8, Jakarta 10420, Indonesia: PT Bulan Bintang.

4. Muslich, Drs. Maruzi (1987). Wahyu Al-Quran, Sejarah dan Pengantar Ilmu Tafsir. Jalan Kramat II No. 38, Jakarta, Indonesia: Pustaka Amani.

5. Sunan, Saodah (1990). Himpunan Hadis Tentang Keutamaan Membaca Al-Quran. 47-A, Jalan Raja Alang, 50300 Kuala Lumpur: Pustaka Al-Mizan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com