Tajuk: Syirik Adalah Satu Dosa Besar Yang Tidak Diampunkan

ABSTRAK
Syirik adalah satu dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) sedangkan dosa selain daripada itu diampunkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Manusia yang melakukan dosa adalah sangat dibenci oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan tidak akan hidup tenang, Terdapat berbagai-bagai jenis dosa contohnya dosa kecil dan dosa besar. Dosa yang paling besar yang tidak akan diampunkan Allah (Subhanahu wa ta’ala) ialah syirik. Allah (Subhanahu wa ta’ala) sangat membenci dan tidak mengampunkan hambanya yang syirik. Orang yang syirik akidah mereka adalah akidah yang batil kerana mereka tidak mempercayai kebesaran Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan mereka ini tergolong dalam golongan hambanya yang sesat dan sama sekali tidak akan mendapat hidayah daripada NYA. Sesungguhnya orang-orang yang syirik hidupnya tidak mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. kerana mereka ini tidak mempercayai kebesaran Allah Subhanahu wa ta’ala. Selain daripada itu mereka juga hidup dalam kesesatan dan tidak akan tenang dan tenteram disebabkan mereka tiada pegangan agama yang kuat.

PENDAHULUAN

Manusia banyak melakukan kesilapan dan dosa dalam kehidupan mereka di bumi Tuhan. Manusia leka dan lupa tentang kewujudan dan kebesaran Allah (Subhanahu wa ta’ala) yang menciptakan mereka dan segenap bumi dan alam semesta. Dosa bermaksud balasan buruk kerana melakukan larangan Allah (Subhanahu wa ta’ala) dan meninggalkan suruhannya.

Sesungguhnya mereka yang melakukan dosa sama ada kecil atau besar adalah dibenci oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Allah (Subhanahu wa ta’ala) tidak akan memperkenankan doa dan permintaan umat yang sesat. Mereka yang melakukan dosa kecil akan diampunkan oleh NYA setelah mereka bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Terdapat 2 kategori dosa iaitu dosa kecil dan dosa besar. Dosa kecil ialah kesalahan yang tidak diberi peruntukan hukuman tertentu di dunia atau amaran azab di akhirat. Ia juga akan menjadi dosa besar jika dilakukan secara berterusan. Contoh dosa-dosa kecil ialah bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah atau melihat aurat bukan muhrim.

Dosa besar pula bermaksud kesalahan yang dikenakan hukuman tertentu di dunia dan amaran azab di akhirat. Contoh dosa-dosa besar ialah menderhaka ibu bapa, berzina, menfitnah orang tidak berdosa dan banyak lagi. Dosa yang paling besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) ialah syirik. Sesungguhnya ia terbukti berdasarkan firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) :
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadapNya dan akan mengampunkan selain dari dosa kesyirikan bagi sesiapa yang diekehendakinya. Sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadap Allah maka ia telah tersesat sejauh-jauhnya” (surah AN NISAA; 4:116)

2. 1 Pengertian Syirik

Syirik bermaksud mensyariatkan, menyekutukan Allah (Subhanahu wa ta’ala) dengan sesuatu selain daripada Allah Subhanahu wa ta’ala, baik dengan keyakinan, ucapan ataupun dengan perbuatan. Meyakini, menyembah atau meminta pertolongan kepada benda selain daripada Allah (Subhanahu wa ta’ala) seperti menyembah, meminta pertolongan kepada kekuatan ghaib, dynamism, kepada roh-roh leluhur yang telah meninggal.

Firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) : “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadapNya dan akan mengampunkan selain dari kesyirikan itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadap Allah maka maka ia telah melakukan dosa yang amat besar”. (surah AN NISAA; 4:48)

“Sesungguhnya oran-orang yang kafir dari ahl al-Kitab dan juga orang-orang musyirikin iaitu orang-orang yang menyekutukan Allah akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam dan mereka kekal didalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk”. (surah AL BAYYINAH; 98:6)

2. 2 Jenis-jenis Syirik

Syirik kecil yang tersembunyi adalah kesyirikan yang tidak disedari oleh pembuatnya. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja disebabkan kejahilannya terhadap ilmu tauhid atau usuluddin sehingga tidak menyedari dirinya telah melakukan dosa besar iaitu amalan bid’ah yang bercampur baur dengan kesyirikan.

Semua jenis syirik amat digeruni oleh orang-orang yang beriman. Walaupun ada ulamak yang berpendapat bahawa syirik kecil tidak dikekalkan di dalam neraka tetama menurut fatwa Imam Ibn Taimiyah : “Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kecil sebagaimana dosa syirik besar kecuali dengan bertaubat (meninggalkan kedua-dua syirik tersebut). Fatwa Imam Ibn Taimiyah ini berdasarkan keumuman ayat Al-Quran :
“Sesungguhnya apa pun jenis syirik tidak akan diampunkan oleh Allah walaupun syirik kecil kerana keumuman firmanNya : (sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadapNya) ”. Contoh-contoh syirik kecil ialah tangkal dan azimat, riak dan takhbur, telek dan tenung dan jampi.

Syirik besar ialah perbuatan syirik secara terang-terangan seperti menyembah patung berhala, menyembah bulan atau matahari, menyembah pokok dan mengaku nabi Isa sebagai anak Tuhan.

2. 3 Akibat daripada Syirik

Syirik amatlah berbahaya. Kufur termasuk murtad, nifak dan syirik amat ditakuti oleh setiap orang yang beriman kerana sesiapa yang terlibat dengan kesemua atau salah satu dari segi sifat di atas amat buruk akibatnya di akhirat. Allah telah mengkabarkan di dalam Al-Quran dan Rasul-Nya pula telah bersabda bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang melakukan perbuatan syirik sehingga segala amalnya akan dibatalkan sebagaimana keterangan dari firman Allah (Subhanahu wa ta’ala) :

“Barang siapa yang kafir sesudah beriman maka hapuslah amalannya dan ia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”. (surah AL-MAIDAH; 5:5)

“Dan telah diwahyukan kepadamu dan kepada para nabiyang sebelummu : Jika kamu mempersekutukan syirik terhadap Allah nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk dalam orang-orangyang rugi”. (surah AZ-ZUMAR; 39:65)

2. 4 Sebab-sebab Terjerumus dengan Syirik

Sebab-sebab yang memungkinkan seseorang itu terjerumus ke dalam syirik ialah tiada pegangan agama yang kuat. Mereka tidak mendalami Islam dan memahami Islam dengan sebetulnya. Selain daripada itu mereka juga mungkin terpengaruh dengan mereka-meraka yang syirik yang menarik dan menyesatkan orang laen.

Mereka juga terlalu mengikut hawa nafsu, lupa diri sendiri adalah hamba Allah. Tidak mahu menerima hakikat bahawa ada yang maha kuasa. Hidup tidak berpegang kepada akidah Islam yang sebenar menyebabkan manusia riak dan sebagainya.

KESIMPULAN


Manusia adalah dilarang sama sekali mensyirikkan Allah. Seperti yang diketahui Allah sangat membenci mereka yang mensyirikkanNya. Allah tidak akan memberi rahmat dan keredaan Nya kepada mereka yang tidak mempercayai kewujudanNya.

Jika kita menginginkan rahmat dan keredaan Nya kita perlulah menjauhi syirik. terdapat berbagai cara yang dapat mengatasi dan menjauhi syirik iaitu mendalami ilmu agama dengan betul supaya kita lebih memahami pengertian Islam dan mendekatkan diri dengan Allah.

Selain daripada itu kita juga boleh membersihkan diri dan jiwa dengan mendekatkan diri dengan Allah selalu dengan melakukan ibadah yang diperintah dan ibadah-ibadah sunat lain yang juga dapat menambah amalan kita. Dengan ini kota tidak akan mudah goyah dengan perkara-perkara syirik yang dimurkai Allah.

Banyakkan berdoa supaya Allah menetapkan iman kita dan membaca Al-Quran kerana didalam kitab itu terdapat semua yang dilarang dan diperintah Allah. Kita dapat mengetahui semua berkenaan Islam didalam Al-Quran kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk membimbing umatnya.

Sentiasalah melakukan kewajiban-kewajiban dan tindakan –tindakan baik yang diperintah dan disukai oleh Allah seperti menghadiri majlis-majlis agama, mendampingi orang-orang yang berilmu dan beriman kerana Nabi pernah berkata “dampingilah mereka yang berilmu dan beramal kerana ini dapat membimbing kita menjadi seperti mereka”.

Akhirnya berwaspadalah dengan apa yang kita lakukan seharian. Fikirkan akibat daripada perbuatan kita dahulu sebelum melakukan sesuatu. Ingatlah bahawa ada yang lebih berkuasa dan maha kaya yang mencipta manusia dan segenap alam iaitu Allah Subhanahu wa ta’ala. Jadilah manusia yang beriman kepadanya sesungguhnya Allah itu satu dan tiada benda yang bersekutu dengan Nya.

RUJUKAN


1. Dahri Rasul. (1998). BID’AH MENURUT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH. Kuala Lumpur: Perniagaan Jahabersa.
2. Drs Shodiq. (1983). KAMUS ISTILAH AGAMA. Jakarta: C. V. Sienttarama.
3. Haji Idris Abdul Ghani. (2002). HIMPUNAN HADITH-HADITH SHAHIH. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.
4. Al Hashimi Muhammad Ali. (2002). MENJADI MUSLIM IDEAL. Depok : Katalok Dalam Terbitan (KTD).
5. Tafsir Al-Quran.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com