Tajuk: Nilai Akidah, Nilai Syariat, Nilai Ibadah Dan Nilai Akhlak

ABSTRAK
Setiap muslim mempunyai kewajipan tertentu sama ada terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Kewajipan ini sudah digariskan dalam oleh islam di dalam al-Quran. Timbulnya kesedaran ini adalah hasil keimanan kita kepada Allah. Terdapat empat teras kewajipan untuk menjadi muslim yang baik. Pertama adalah akidah atau usuluddin. bidang akidah membincangkan tiga sudut besar iaitu ketuhanan, kerasulan dan assamiyat. Teras kedua adalah ibadat. Merupakan salah satu tonggak yang paling penting di dalam hidup kita. Ibadat adalah antara jalan yang boleh digunakan untuk mencari bekalan ke akhirat. Teras ketiga adalah nilai syariat. Juga dikenali sebagai feqah, tasauf dan tauhid. Syriat ini merupakan cara hidup setiap insane yang mengaku muslim. Teras keempat adalah akhlak. Teras ini adalah bidang penghayatan hasil cetusan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah, Rasul dan assamiyat serta kepatuhan kita terhadap undang-undang yang telah digariskan oleh syariat sebagai bukti kita seorang muslim. Perlaksanaan dan penghayatan terhadap prinsip-prinsip keimanan dan peraturan syariat adalah merupakan tanggungjawab yang wajib kita lakukan semasa hidup di dunia iaitu tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, jiran tetangga dan Negara. Seperti di dalam firman Allah yg bermaksud, “ sesiapa yang ingin bertemu dengan tuhannya hendaklah melakukan amalan soleh dan jangan sesekali mensyirikkan Allah dengan sesuatu”. (Al-Kahfi:110) (Mohd Ali Abu Bakar, 2000:232). Jika hasrat ini tercapai bererti kita telah melaksanakan suruhan Allah dan rela bertemu Allah pada bila-bila masa sahaja untuk melaporkan segala kegiatan dan aktiviti kita semasa di dunia.

PENDAHULUAN
Setiap muslim mempunyai kewajipan yang tertentu sama ada terhadap dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. kewajipan ini sudah digariskan oleh islam di dalam al-Quran sejak lahirnya manusia kealam dunia kerana kewajipan-kewajipan ini lah yang akan menentukan masa depan mereka sama ada cerah diakhiri dengan kebahagiaan hidup di dunia dan kenikmatan dan keseronokan hidup di akhirat atau masa depan yang gelap dengan mengakhiri penutup tirai kehidupan dunia yang buruk dengan kemuraman dan kesengsaraan serta penderitaan tidak berpenghujung sama ada di alam barzakh (alam kubur) atau akhirat. Timbulnya kesedaran kewajipan ini adalah lahir daripada keimanan kepada Allah adalah sebatian naluri manusia sejak manusia lahir ke dunia ini sama ada mereka beriman kepada Allah menjadi seorang muslim atau tidak, masih tinggal kekufuran kepada Allah dengan menjadi warganegara bukan islam. Terdapat empat bahagian dalam teras kewajipan seorang muslim. Teras pertama ialah akidah dimana sifat ketuhanan, kerasulan dan assamiyat yang tidak boleh diragui. Teras kedua adalah ibadat. Ibadat terdiri di dalam rukun islam iaitu, mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan haji. Teras ketiga adalah syariat yang terdiri daripada ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, dan siasah. Antaranya tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, jiran, dan masyarakat serta negara.

2. 1 NILAI AKIDAH
Kita hendaklah menyedari bahawa nikmat yang agung ialah iman dan islam. Kita akan menjadi mulia sekiranya bertakwa kepada Allah. Kemewahan dan kesempurnaan fizikal juga penting bagi menentukan taraf hidup umat supaya dihormati oleh orang lain seperti sabda nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ” hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran”. (Aminah bt Idris, 2002:35).
Iman merupakan anugerah Allah kepada manusia. Iman dari segi bahasa ialah percaya. Menurut ahli sunnah wajama’ah iman ialah membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota. Setiap mukmin hendaklah membuktikan keimanna dengan mematuhi semua perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan menuntut ilmu yang berfaedah. (Aminah bt Idris, 2002: 73).
Al- Bazzar meriwayatkan dari Ibnu Umar r. a, bahawa Rasullulah bersabda: “ lima perkara dari bahagian iman, barabg siapa yang tidak mempunyai sesuatu pun darinya maka ia tidak mempunyai iman, menyerah kepada perintah Allah, redha dengan qada Allah, dan bersabar di kala musibah yang sangat keras. ”. (DRS Abd GhaniAzmi Bin Hj Idris, 2006:225). Hadith ini telah menunjukkan antara ciri-ciri orang yang beriman.
Terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan iman. Pertama ialah syirik. Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’al nya. Ia berlaku melalui pemujaan, penyembahan dan sebagainya selain Allah. Terdapat dua bahagian syirik iaitu syirik jali dan syirik khafi. Syirik jali ialah perlakuan syirik secara terang-terangan. Contohnya seperti menyembah patung dan berhala, menyembah bulan dan matahari dan sebagainya. akibat perbuatan ini adalah ianya akan merosakkan akidah kerana dalam diri individu tersebut tidak percaya akan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa ke atas segalanya. (Aminah Bt Idris, 2002:74)
Syirirk kedua adalah syirik khafi iaitu syirik yang tidak meletakkan Allah sebagai yang mutlak dalam niat terutamanya dalam ibadah. Antara contohnya ialah riak iaitu menunjuk-nunjuk kehebatan diri, ’ujub iaitu mengagumi diri sendiri dan sebagainya. Akibat mengamalkan syirik ini adalah seseorang itu akan dibenci masyarakat, hilang kawan dan sifat sukar menerima pendapat orang lain.
Perkara kedua yang boelh membatalkan akidah ialah kufur. Kufur ertinya tidak percaya kepada Allah SWT serta mengingkari ajaran yang disampaikan oleh nabi Muhammad SAW. orang yang melakukan perbuatan ini digelar kafir. Orang kafir dilaknat Allah dan mereka berada dalam kemurkaan Allah. Firman Allah dalam surah Muhammad 47: ayat 8-9 yang bermaksud, “ dan mereka yang kafir, maka celakalah bagi mereka dan Allah mensia-siakan amalan mereka. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka membenci apa yang diturunkan oleh Allah (al-Quran) lalu Allah membatalkan amalan mereka.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kekufuran. Antaranya adalah pegangan agama yang lemah menyebabkan seseorang tidak dapat membezakan antara perbuatan yang membawa dosa atau pahala. Selain itu, seseorang individu akan mudah terpengaruh dengan hawa nafsu yang inginkan keseronokan dan kebebasan.
Perkara ketiga yang boleh membatalkan iman adalah riddah. Riddah ertinya berpaling atau keluar daripada agama islam. Orang yang keluar dari agama islam dihukum sebagai murtad. Perbuatan ini sangat dilarang sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud “dan sesiapa antara kamu murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka rosaklah amalan (yang baik) di dunia dan di akhiratmereka itu ahli neraka mereka kekal selamanya- surah al-Baqarah 2:ayat 217. (Aminah Bt Idris, 2002:76) ”.
Seseorang itu boleh menjadi murtad dengan tiga cara iaitu iktikad, perkataan, dan perbuatan. Bagi iktikad, seseorang individu yang beragama islam itu berniat hendak tinggalkan agama islam. Melalui perkataan pula, individu yang beragama islam telah mengisytiharkan dirinya keluar dari agama islam. Terdapat beberapa perkara yang membawa kepada riddah. Antaranya seseorang individu tidak dapat bimbingan dan perhatian selepas memeluk agama Islam masih mentah dan perlu bimbingan dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan kepercayaan terhadap islam. Antara sebab lain adalah mudah terpengaruh dengan agama lain. Pelbagai ajaran agama-agama lain seperti yang diamalkan agama kristian yang mana setiap dosa yang dilakukan boleh ditebus dengan hanya menbayar sejumlah wang kepada paderi di gereja. Bagi umat islam yang masih lemah pegangan akidahnya dan jahil tentang akidah dan hukum-hukum islam akan menyebabkan mudah terpengaruh. Ada hadis menyatakan “ sesiapa yang menukar agamanya (islam), maka bunuhlah “, riwayat muslim.
Perkara keempat ialah sihir. Sihir ialah ilmu yang berkaitan perbuatan secara halus melalui pertolongan makhluk ghaib, iaitu dengan bantuan syaitan atau jin bertujuan memudharatkan atau mengelirukan manusia seperti dalam firman Allah yang bermaksud “dan sebenarnya nabi sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi syaitan itulah yang kufur, merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir. ” Sihir sering digunakan bagi tujuan tertentu seperti memecah belahkan pasangan suami isteri dan mendatangkan pemyakit fizikal atau mental kepada mangsanya. Ada sesetengahnya pula mengamalkan sihir dengan tujuan riak dan takbur seperti memiliki kekuatan luar biasa dan kelihatan cantik. Sihir akan menyebabkan umat islam hilang pergantungan kepada Allah kerana mendapat bantuan syaitan. Ahli sihir pula akn menjadi lebih takbur dan berani melakuakn kezaliman terhadap orang lain. Secara konklusinya, kita mesti mengawal diri daripada sihir dengan beriman sepenuhnya dengan kekuasaan Allah dan sentiasa berdoa dijauhkan daripada terkena sihir.
Nifak merupakan salah satu daripada perbuatan yang boleh menjejaskan akidah. Nifak ialah berpura-pura melahirkan keimanan kepada Allah sedangkan hati tetap kufur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. orang yang mengamalkan sifat ini digelar munafik. Orang munafik ini boleh dikenalpasti melalui penjelasan ayat berikut daripada surah al-baqarah 2:ayat 8 yang bermaksud mereka mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat sedangkan sebenarnya mereka tidak beriman. Nifak dari sudut sifat dapat dikenali berdasarkan hadis riwayat al-bukhari yang menbawa maksud, “ Abdullah Bin Umar bin al’as R. A meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda “ sesiapa yang ada padanya empat sifat tersebut, jadilah dia seorang yang benar-benar munafik. Sesiapa yang ada padanya satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berdusta, apabila diberikan amanah dia khianati, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila bertengkar dia melampaui batas”. Ini akan menyebabkan anda hilang sikap percaya mempercayai dalam masyarakat, individu yang digelar munafik ini tidak semestinya tidak akan mendapat ketenangan di dunia dan di akhirat kerana golongan seperti ini telah menghancurkan kekuatan agama islam. (Aminah Bt Idris, 2002:82). Golongan ini akan bersama orang islam ketika islam berada dalam kekuatan tetapi apabila orang islam lemah, mereka akan menjadi musuh dan menindas orang islam tanpa mempunyai rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan.
2. 2 NILAI SYARIAH
Syariah adalah satu peraturan dan undang-undang yang merupakan prinsip utama untuk membentuk manusia menjadi hamba Allah yang soleh dapat melaksanakan hubungan sebagai khalifah Allah semasa hidup di dunia ini. syariat ini juga dipanggil islam jika dilihat dari pembahagian iman, islam, dan ihsan. Ianya juga dikenali sebagai fekah andainya ditinjau dari sudut hokum iaitu tauhid, feqah dan tasauf. Syariat ini juga merupakan cara hidup setiap insan yang mengaku muslim. Terdapat beberapa bidang yang berkait rapat dengan bidang syariah. (nilai ibadah akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam nilai ibadah. )
Pertama ialah bidang muamalat. Merupakan bidang syariah yang dituntut dalam islam. Muamalat merupakan ibadah dalam bentuk umum di mana segala aktiviti yang kita lakukan setiap hari baik dalam perhubungan, pengurusan dan pentadbiran atau pun dalam lapangan ekonomi, politik dan sosial adalah merupakan ibadah sekiranya kita lakukan semua itu kerana Allah dan mengikut garis panduan yang ditetapkan di dalam islam. Umat islam adalah umat yang produktif yang dapat membina ketamadunan manusia di alam ini. Allah telah menghalalkan urusan jual beli dan mengharamkan riba (al-Baqarah: 275). Dan dalam ayat lain dalam firman Allah, “wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta antara kamu secara bathil (haram) melainkan perniagaan yang kamu redhai sesama kamu, ” (an-Nisa;29).
Apabila kita membicarakan tentang muamalat terdapat beberapa istilah urusniaga yang akan terjumpa. Pertama ialah jual beli iaitu pertukaran harta dengan harta. Kedua adalah wadiah iaitu akad yang berlaku antara tuan punya barang dengan penyimpanan barang terhadap barang yang hendak disimpan serta menyimpan harta, wang, dokumen, sijil dan barang yang bernilai di sisi syarak. Ketiga adalah mudharabah iaitu akad terhadap satu jenis perkongsian antara tuan punya modal di satu pihak dengan pengusaha atau orang yang melakukan usaha di pihak lain. Keempat adalah murabahah iaitu menjual sesuatu barang dengan harga modal yang ditambah untuk sekadar dipersetujui. Antara lainnya seperti bai bithaman ajil, Qardhul Hassan, kafalah, al-rahnu dan sebagainya.
Bidang seterusnya adalah munakahat. Setelah seseorang itu mendapat pekerjaan atau mempunyai sumber ekonomi yang kukuh, tetap atau teguh serta mempunyai keinginan kepada pasangan hidup, maka syariat telah menentukan cara-cara untuk mendirikan rumah tangga yang dipanggil munakahat atau perkahwinan. Perkahwinan ialah suatu ikatan yang terjalin antara lelaki dan perempuan melalui akad yang sah untuk hidup bersama, tolong-menolong dan menunaikan naluri seks secara halal untuk membentuk keluarga bahagia. Islam telah mengatur cara hidup dalam keluarga dari mula meminang lagi hingga menjelaskan perkara-perkara yang menjadi kewajipan suami isteri mengetahui seperti berikut :
 (a) Meminang
~ setiap orang lelaki diberi kebebasan untuk memilih bakal isterinya untuk dijadikan teman hidup dengan cara meninjau dan merisik dan apabila bersetuju masuk meminangnya.
 (b) Nikah atau berkahwin
~ setelah bersetuju antara pengantin lelaki dan perempuan untuk berkahwin maka mereka diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di rumah oengantin perempuan dengan mematuhi rukun-rukun.
Tujuan perkahwinan mengikut syariat Islam mempunyai hikmah yang sangat banyak. Antaranya dapat memupuk kasih sayang antara suami dan isteri yang emlahirkan rasa tanggungjawab melaksanakan tugas hidup bersam-sama. sebagaiman firman Allah, “ dan antara tanda-tanda kebesaran Allah dia menjadikan pasangan kamu dari kamu sendiri untuk ketenangan jiwa dan menjadikan antara kamu kasih sayang dan belas kasihan”. (al-Zumar:21). Selain itu dapat mengekalkan zuriat manusia yang bersih sebagaimana firman Allah Subhanahu wa ta’ala, “ dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri berpasang-pasangan (isteri) dan dijadikan daripada pasangan kamu itu anak-anak serta cucu cicit serta dikurniakan kepada kamu benda-benda yang baik lagi halal. (al-Nahl:72) ”
Bidang seterusnya adalah jinayah. Untuk menjaga kestabilan politik dan keamanan sesebuah Negara maka syariat telah menentukan satu bahagian daripada perundangan islam yang dinamakan jinayah dan hudud. Dalam kedua-dua bidang ini diterangkan denda dan had atau hukuman terhadap orang yang melakukan pertumpahan darah dan sebagainya. Terdapat 3 bentuk kesalahan. Pertama adalah kesalahan-kesalahan yang hukumnya telah ditetapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang dipanggil kesalahan hudud. Kedua ialah kesalahan-kesalahan yang tertakluk kepada qisas yang telah ditetapkan dalam al-quran dan hadis dipanggil kesalahan qisas. Ketiga ialah kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan di atas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan yang dinamakan kesalahan ta’zir. (mohd Ali Abu Bakar, 2000:146).
2. 3 NILAI IBADAH
Di dalam syariat islam, semua perlaksanaan tanggungjawab seseorang itu terhadap tuntutan islam sama ada dalam bidang ibadat, muamalat dan sebagainya, semuanya mendapat pahala daripada Allah mengikut setakat mana keikhlasan anda menunaikan ibadah tersebut.
Solat merupakan rukun penting dan utama dalam syariat islam. Tanpa solat, ibadat-ibadat lain tidak diterima Allah. Solat juga sebagai pemisah antara iman dengan kufur kerana tanda iman seseorang itu adalah mendirikan solat dan tanda kufur adalah meninggalkkan solat. ibadat solat ibarat penghubung antara hamba dengan Allah kerana semasa bersolat kita sedang bercakap dan berdialog dengan Allah. Seseorang yang menjaga solatnya dengan baik bererti dia telah berjaya menghayati hidup ini dengan saksama kerana solat mengajar cara menguruskan masa.
Kedua adalah ibadah puasa. Kewajipan berpuasa di bulan ramadhan adalah untuk membentuk manusia yang bertakwa kepada Allah baik dari segi emosi, intelek dan sebagainya. Ibadah puasa merupakan satu proses pencernaan kepada tubuh badan manusia, segala lemak, gula dan bahan perosak akan hancur dan diganti dengan protein, tenaga, karbohidrat dan sel-sel yang baru bertenaga akan muncul. segala sifat mahmudah atau sifat terpuji serta rasa tanggungjawab dan setia kawan akan wujud di kalangan orang berpuasa.
Ketiga ialah zakat. zakat merupakan sumber ekonomi yang menjadi nadi penggerak kepada pembangunan dan kemajuan ummah. Zakat juga telah diinstitusikan dengan baik akan mampu mengatasi kemiskinan rakyat seperti yang berlaku semasa pemerintahan khulafa al-rasyidin dan khalifah umar dimana tidak ada orang miskin dan yang layak menerima zakat. Zakat yang mampu memantapkan dan menstabilkan ekonomi Negara. Orang yang enggan mengeluarkan zakat dipandang sebagai orang yang berjenayah kepada islam dan dia adalah musuh Allah dan masyarakat, sebagaimana yang di faham dari hadith Rasul yang menyatakan, ” bahawa tidak menegah sesuatu kaum akan zakat melainkan akan dicegah turunnya hujan dari langit, dan kalaulah tidak kerana binatang-binatang tidaklah dihujani mereka terus-menerus”. (al-ustadh Mustafa, 2001:123).
Keempat ialah ibadah haji. ibadah haji pula merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah setelah mereka mempunyai kekuatan tubuh, mental, emosi dan jiwa menerusi perlaksanaan ibadah-ibadah yang lalu. Ibadat haji memerlukan seseorang itu berkorban jiwa dan raga, masa dan tenaga, wang dan apa sahaja yang ada pada diri sendiri semata-mata menghayati seruan Allah. Haji hendaklah dilakukan dengan cara yang baik dan jangan melakukan sekadar mendapatkan namanya sahaja sedangkan pahalanya adalah kosong belaka. Rasul ada menyatakan, ” bahawa haji yang baik (mabrur) tidak ada balasannya melainkan syurga”, (al-ustadh Mustafa, 2001:124).
2. 4 NILAI AKHLAK
Perlaksanaan dan penghayatan terhadap prinsip-prinsip keimanan dan peraturan syariat adalah merupakan tanggungjawab yang wajib kita lakukan semasa hidup di dunia ini dan bolehlah dibahagikan tanggungjawab tersebut kepada beberapa bahagian.
Pertama adalah tanggungjawab kepada Allah. Setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah hendaklah melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya dan sentiasa berbakti kepada Allah. Sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud, “tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku. Aku tidak meminta apa-apa sumbangan makanan daripada mereka, sesungguhnya Allah lah pemberi rezeki yang mempunyai perbendaharaan yang kukuh”. (al-Zariyat:56) (mohd ali abu bakar, 2000:187). Jika hendak dikira nikmat dan kemudahan yang disediakan Allah kepada manusia, nescaya manusia tidak dapat membalasnya walaupun sebanyak mana bakti yang dilakukan.
Kedua ialah tanggungjawab untuk diri sendiri. Firman Allah, “sesungguhnya kami muliakan anak Adam (manusia) dan kami tanggungkan mereka di daratan dan dilautan dan kami rezekikan mereka makanan yang baik-baik dan kami lebihkan (tinggikan darjat) mereka daripada makhluk-makhluk lain yang beberapa kelebihan (al-Isra’:70). Dalam ayat ini al-quran menjelaskan bahawa manusia diberikan kemuliaan oleh Allah dengan kemudahan di darat dan di laut yang berupa kenderaan bagi kemudahan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. (mohd ali abu bakar, 2000:188).
Ketiga adalah tanggungjawab terhadap keluarga. Al-quran banyak mengingatkan kita terhadap anak dan isteri ini antaranya, firman Allah Subhanahu wa ta’ala, “ wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka. ” (Al-Tahrin:6) (mohd ali abu bakar, 2002:212). Terdapat beberapa ciri yang boleh dilaksanakan bagi mewujudkan sesebuah keluarga yang bahagia. Antaranya mewujudkan suasana rumah tangga yang aman, jadikanlah rumah sebagai tempat kediaman, ketenangan, dan pembentukan keluarga bahagia. Selain itu, sentiasa jalinkan ikatan kemesraan, kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak di dalam keluarga. Yang utama adalah didiklah anak dengan didikan agama, kerana didikan agama yang akan membentuk mereka ke arah tahu tanggungjawab diri dan hidup.
Keempat ialah tanggungjawab terhadap Negara. Setiap muslim yang lahir dan tinggal di dalam sesebuah Negara, dia akan cinta kepada negaranya. Oleh kerana Negara merupakan amanah Allah untuk perlaksanaan syariatnya di muka bumi ini, maka kita berkewajipan melaksanakan syariat tersebut dalam semua bidang dan lapangan kehidupan. Jihad adalah berjuang untuk menegakan kalimah Allah di muka bumi ini Sama ada dengan jiwa raga atau dengan kekuatan dan senjata. Untuk menjamin dakwah islamiah dapat bergerak dengan bebas dan menjadi nadi kepada tegaknya Daulah Islamiah maka islam telah mensyariatkan kewajipan jihad. Kepentingan jihad kepada manusia adalah jelas sekali kerana ia bukan sahaja perisai keselamatan kepada agama islam tetapi juga dapat menyelamatkan jiwa dan tubuh manusia dari perosak dalaman. Rasullullah SAW pernah menerangkan kepada para sahabat tentang pentingnya jihad iaitu sabda baginda yang bermaksud, “ pokok sesuatu itu adalah islam, tiangnya sembahyang, dan perisai keselamatan adalah jihad”. (Hadis riwayat al-Bukhari) (Mohd ali abu bakar, 2000:224).

KESIMPULAN
Kita berjaya memahami erti islam sebenar melalui nilai akidah, syariat, ibadat dan akhlak. Akidah yang dipanggil tauhid itu merupakan tapak asas untuk bergerak melakukan sesuatu perbuatan dan perlakuan. Akidah juga sebagai penilai untuk menentukan kukuhnya pegangan seseorang. Syariat pula dipanggil feqah. Syariat islam direka cipta oleh Allah untuk kepentingan manusia melalui para rasulnya yang diutus khas oleh Allah yang telah dirakam di dalam al quran dan al-hadith. Nilai ibadat merupakan salah satu syariat yang dituntut dalam islam. Hadis yang diriwayatkan Muhammad bin Nashr yang bermaksud, “islam dibangunkan atas lima tiang dan seterusnya, ”. Hadis tersebut bermaksud penyerupaan Islam dengan bangunan dan tiang. Jika roboh tiang itu, diibaratkan dengan robohnya agama yang agung ini. (ibnu rajab, 2000:91). Seseorang yang menjaga solatnya dengan baikbererti dia telah Berjaya menghayati hidup ini dengan saksama kerana solat mengajar cara mereka mengguruskan masa. Akhlak pula dikenali dengan tasauf atau ehsan adalah menjadi tunjang dalam teras kehidupan manusia kerana segala prinsip dan peraturan serta undang-undang yang ada dalam syariat perlu dilaksanakan. Seperti dalam firman Allah “ sesiapa yang ingin bertemu dengan tuhannya hendaklah melakukan amal soleh dan jangan sesekali mensyirikkan Allah dengan sesuatu”. Peluang untuk melakukan amal soleh kepada Allah terbentang luas. Patuh dan taatlah segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Segala rintangan dan halangan yang cuba menggoda kita daripada melakukan syariat Allah hendaklah dibanteras melalui jihad. Jika hasrat ini tercapai bererti kita telah melaksanakan suruhan Allah dan rela bertemu dengan Allah pada bila-bila masa sahaja.

RUJUKAN

1. Aminah Bt Idris (2002), Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4, Jalan Pencala, Petaling Jaya, Selangor; Altimat Perin Sdn Bhd
2. DRS Abd Ghani Azmi Bin Hj. Idris (2006), Jilid 2 ; Himpunan Hadith-Hadith Maudhu Jilid 2; Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur; Al-Hidayah Publishers
3. Mohd Ali Abu Bakar (2000) ; Kewajipan Muslim, Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu Kelantan ; Syarikat Jaafar Rawas
4. Ibnu Rajab (2002) ; Panduan Ilmu Dan Hikmah Jami’ Ul-Ulum Wal-Hikam ; Jakarta Timur; Darul Falah
5. Al-Ustadh Mustafa Abdul Rahman (2001) ; Hadith Empat Puluh (Terjemahan Dan Syarahnya) ; Jalan Kuda Kepang, Selangor ; Dewan Pustaka Fajar (DPF)
6. KH. Adib Bisri Musthofa (1994), Tarjamah Shahih Muslim; Kuala Lumpur; Victory Agencie

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com