Thursday, March 11, 2010

KELAHIRAN DAN SUMBANGAN DALAM DAKWAH SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

TAJUK :
KELAHIRAN DAN SUMBANGAN DALAM DAKWAH SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

DISEDIAKAN UNTUK:
ABD AZIZ BIN HARJIN

DISEDIAKAN OLEH:
IZZA NURSAFIKA BINTI RAHMAT
2009284902

TARIKH:
8 MAC 2010

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN MATEMATIK
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

ABSTRAK

Pendahuluan
Abu Bakar adalah putera Abu Quhafah yang nama aslinya adalah ‘Utsman,Abu Quhafah bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Panggilan Abu Bakar ini sebenarnya gelaran bagi beliau,bukan nama sebenar beliau. “Abu” bermaksud bapa manakala “Bakr” bererti dengan segera. Beliau digelar demikian kerana beliau memeluk Islam dengan segera mendahului orang lain. Abu Bakar As-Siddiq dilahirkan dua tahun lebih sesudah penyerbuan Tentera Gajah bersamaan dua tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar selalu menerima pelajaran Rasul iaitu wahyu daripada Allah untuk disebarkan kepada masyarakat. Selepas Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam, beliau mula berdakwah. Setelah Rasulullah wafat,golongan Muhajirin dan Ansar berselisih pendapat untuk memilih pengganti baginda. Perintah pertama yang dikeluarkan sesudah Abu Bakar diangkat menjadi khalifah ialah mengerahkan dan meneruskan perjalanan tentera Usamah bin Zaid. Sumbangan Abu Bakar dalam dakwah ialah mengahapuskan kaum yang enggan membayar zakat. Sumbangan lain ialah membebaskan negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi. Selain itu,beliau juga merupakan sahabat awal yang mendapat gelaran Amirul Hajj. Selain itu, Abu Bakar juga menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan Islam Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq boleh diumpakan sebagai seorang yang amat penting dalam hidup Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar juga dikatakan amanah dan setia terhadap Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang yang sanggup berjihad dan mengorbankan nyawa serta harta demi memperoleh keredaan Allah. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam seharusnya hidup berlandaskan syariat Islam.

PENDAHULUAN
Abu Bakar adalah putera Abu Quhafah yang nama aslinya adalah ‘Utsman,Abu Quhafah bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Panggilan Abu Bakar ini sebenarnya gelaran bagi beliau,bukan nama sebenar beliau. “Abu” bermaksud bapa manakala “Bakr” bererti dengan segera. Beliau digelar demikian kerana beliau memeluk Islam dengan segera mendahului orang lain. Nama beliau sebelum memeluk Islam ialah ‘Abdulka’bah manakala sesudah memeluk Islam digantikan oleh Nabi dengan nama ‘Abdullah. Abu Bakar berketurunan Bani Ta’mim. (H.Rus’an, 1983 : 1)
Sejak kecil, Abu Bakar terkenal dengan kejujurannya, berbudi pekerti mulia dan bersifat terpuji. Beliau digelar As-Siddiq kerana telah membenarkan setiap percakapan dan perbuatan Nabi. Beliau juga telah bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan tinggal bersama di dalam Gua Thur. (Abd. Hameed, Hamil@Amir, 2008 : 87)
Antara sahabat-sahabat Nabi, Abu Bakar adalah orang yang paling rapat dengan Nabi Muhammad SAW. Jadi, beliau menjadi lelaki dewasa pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar bekerja dalam bidang perniagaan. Usia beliau juga hampir sama dengan usia Nabi Muhammad. Disebabkan oleh usia dan pekerjaan yang hampir sama itulah yang kemudiannya dapat mengikat kedua-duanya sehingga menjadi sahabat karib. (Aceh,Abu Bakar H, 1984 : 134)
Abu Bakar mempunyai lima orang cahaya mata. Putera-puterinya adalah Abdullah, Asma’, Aisyah, Muhammad, Ummu Kultsum. Semua putera-puteri Abu Bakar adalah sahabat Nabi, kecuali Ummu Kultsum. Sementara Muhammad lahir masih zaman Nabi. (Al-Kandahlawy,Muhammad Yusof, 1983 : 150)
Abu Bakar wafat pada tanggal 23 JamadilAkhir tahun 13Hijrah. Makam Abu Bakar As-Siddiq berhampiran dengan makam Rasululullah SAW di Madinah. (Abd. Hameed, Hamil@Amir, 2008 : 87)

Kelahiran
Abu Bakar As-Siddiq dilahirkan dua tahun lebih sesudah penyerbuan Tentera Gajah bersamaan dua tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW. Jadi, usia Abu Bakar lebih muda dua tahun dan beberapa bulan daripada Nabi Muhammad. Beliau dilahirkan oleh ibunya Salma. Nama sebenar ibunya adalah Ummulchair bint Shachr bin ‘Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim. (H.Rus’an, 1983 :1)

Pembelajaran
Abu bakar selalu menerima pelajaran Rasul iaitu wahyu daripada Allah untuk disebarkan kepada masyarakat. Saidina Abu Bakar membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk membantu orang-orang yang memeluk Islam dan memberikan petunjuk kepada orang-orang yang belum masuk Islam. (Quthub,Muhammad Ali, 1984 : 15)

Sumbangan Dalam Dakwah
Selepas Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam, beliau mula berdakwah. Peribadi Abu Bakar telah dikenali oleh kaumnya sebagai seorang yang mulia dan selalu menolong orang lain. Oleh sebab itu, banyak orang yang selalu datang kepadanya untuk meminta tolong dan disebabkan oleh keperluan perdagangan. Dalam kesempatan baik seperti ini, beliau selalu mengajak teman akrabnya untuk masuk Islam. Antara teman akrabnya yang memeluk Islam akibat dakwahnya adalah Zubair bin Awwam, Usman bin Affan, Talha bin Ubaidah, Saad bin Abi Wakas dan Abdurahman bin Auf r.a. (Al-Kandahlawy,Muhammad Yusof,1983 : 178)
Setelah Rasulullah wafat,golongan Muhajirin dan Ansar berselisih pendapat untuk memilih pengganti baginda. Persitiwa tersebut berlaku di Saqifah Bani Sa’adah. Wakil daripada dua golongan memberikan ucapan. Abu Bakar mencadangkan Umar bin Al-Khattab dan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Kedua-dua calon menolak cadangan tersebut dan kemudiannya memberi baiah kepada Abu Bakar sebagai khalifah. Diikuti oleh umat Islam yang lain dan mereka semua bersetuju bahawa Abu Bakar sebagai khalifah. Abu bakar menjadi khalifah pertama dalam kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq memerintah selama dua tahun iaitu dari 11 hingga 13 Hijrah atau 632 hingga 634Masihi. (Abd. Hameed, Hamil@Amir, 2008 : 88)
Perintah pertama yang dikeluarkan sesudah Abu Bakar diangkat menjadi khalifah ialah mengerahkan dan meneruskan perjalanan tentera Usamah bin Zaid. Pasukan Usamah ialah pasukan yang telah disiapkan Rasulullah untuk menggempur barisan tentera Rum di Perbatasan Utara. (H.Rus’an, 1983 : 24)
Sumbangan Abu Bakar dalam dakwah ialah mengahapuskan kaum yang enggan membayar zakat. Pemberontakan dan kekacauan itu sangat hebat sehingga mengakibatkan terdapat kabilah-kabilah Arab yang hampir murtad habis-habisan,melepaskan kepercayaan Islam seluruhnya manakala ada di antaranya yang masih tetap di dalam Islam tetapi enggan memenuhi salah satu daripada rukun Islam yang kelima iaitu zakat. (H.Rus’an, 1983 : 29)
Sumbangan lain ialah membebaskan negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi. Pengumpulan al-quran juga dijalankan supaya tidak dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. (Abd. Hameed, Hamil@Amir, 2008 : 91)
Selain itu,beliau juga merupakan sahabat awal yang mendapat gelaran Amirul Hajj. Ini berlaku pada tahun ke-9Hijrah. Tugas Amirul Hajj adalah memimpin jemaah haji ke Mekah sehingga kepulangan mereka di samping memberkan pengawalan dan menjaga keamanan mereka. Tugas sebagai Amirul Hajj juga adalah sebagai pembimbing pelaksanaan syiar ibadah haji di Mekah, Arafah dan di pelbagai daerah-daerah tanah suci. (Ibrahim,Dr. Muhammad Ra’bi, 2007 : 56)
Selain itu, Abu Bakar juga menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan Islam Madinah. Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin,malah ada di antara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran . (H.Rus’an, 1983 : 59)

KESIMPULAN
Saidina Abu Bakar As-Siddiq boleh diumpakan sebagai seorang yang amat penting dalam hidup Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar juga dikatakan amanah dan setia terhadap Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang yang sanggup berjihad dan mengorbankan nyawa serta harta demi memperoleh keredaan Allah. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam seharusnya hidup berlandaskan syariat Islam. Kita perlu berusaha dalam membebaskan manusia daripada belenggu syirik. Pembangunan ekonomi juga patut dilaksanakan untuk perluasan dakwah dan kemajuan negara kita sendiri. Selain itu,pihak kerajaan juga perlu sama-sama berganding bahu dengan rakyat untuk menyebarkan dakwah Islamiah.
Pengaruh Islam semakin tersebar apabila Khalifah Abu Bakar berjaya memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu dalam kalangan kabilah-kabilah. Kebijaksanaan politik Abu Bakar itu membawa perkembangan masyarakat Arab ke arah kesatuan politik dan menjadikan mereka melihat Madinah sebagai ibu kota negara mereka dan sumber segala kebijakan mereka. Disebabkan itu, harapan mereka hanya tertuju ke sana, mereka berlindung di bawah kekuasaan dan panji Madinah. Sebagai umat Islam, kita sepatutnya memilih kehidupan yang berpandukan akidah yang benar. Dalam erti kata lain, kita harus berpegang teguh pada agama Islam. Setiap orang perlu berusaha untuk meningkatkan tahap keimanan kepada Allah.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah banyak menyumbangkan jasa beliau dalam dakwah Islamiah. Pelbagai perkara Abu Bakar As-Siddiq telah lakukan. Walaupun Abu Bakar orang yang lemah tubuhnya,namun imannya kuat. Dengan kekuatan imannya itu, beliau telah mendorong dunia sehingga panji kebenaran mampu berkibar dan kata-katanya diakui. Sikap dan jasa baiknya itu harus kita teladani serta praktikkan untuk kemajuan diri sendiri,masyarakat dan negara.


RUJUKAN

1-H.Rus’an (1983). Lintasan Sejarah Islam Zaman Abu Bakar Shiddiq. Jakarta, Indonesia : Uncaksana Semarang

2-Aceh, Abu Bakar H (1984). Toleransi Nabi Muhammad Dan Para Sahabat. Solo : CV Ramadhani

3-Ibrahim,Dr. Muhammad Rabi’ (2007). Orang-orang Pertama Dalam Islam. Johor Bahru,Johor : Perniagaan Jahabersa

4-Abd. Hameed,Hamil@Amir (2008). Nexus Target SPM Tingkatan4&5 Pendidikan Islam. Petaling Jaya,Malaysia : Sasbadi Sdn Bhd,

5- Rifin,Rosnani, Mamat,Nor Aslina, Omar,Nurul Hudha, Salehudin,Junaidah (2010). Masteri Memori Melalui Peta Minda Pendidikan Islam SPM. Selangor,Malaysia : PIN Neuron (M) Sdn Bhd,

6-Quthub,Muhammad Ali (1984). Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga. Show Towers,Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD Singapura

7-Al-Kandahlawy,Muhammad Yusof (1984). Kehidupan Para Sahabat Rasulullah SAW. Show Towers,Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD Singapura










No comments:

Post a Comment