Tajuk: Ibadah Puasa Dari Sudut Sains

ABSTRAK
Puasa pada bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara’ pula, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Puasa terbahagi kepada tiga hukum iaitu puasa wajib, puasa sunat, dan puasa haram. Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman di dalam Al-Quran tentang kewajipan puasa kepada umat islam. Firman itu menyatakan ertinya “hai orang-orang beriman, telah diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (Al-Baqarah–153). Kewajipan berpuasa selama sebulan itu ternyata membawa pengaruh kesihatan kepada mereka yang melakukannya. Dengan kewajipan tersebut, puasa tidak hanya mengandungi satu ibadat yang diwajibkan malahan memiliki faedah yang banyak termasuk juga untuk kesihatan. Antara faedah puasa untuk kesihatan adalah, puasa dapat mengubati penyakit kulit. Selain itu, puasa juga dapat menyihatkan jiwa, jantung dan juga badan. Tanpa disedari, puasa juga telah membentuk akhlak yang baik sertamenjadikan peribadi yang mulia selaras dengan pembangunan modal insane yang giat dijalankan di negara kita. Puasa juga dapat mengurangkan ataupun dengan erti kata lain dapat menyembuhkan penyakit jantung. Tidak hairanlah jika sekarang ini ramai pakar-pakar pesakit jantung mencadangkan kepada pesakit yang menghidapi sakit jantung supaya berpuasa supaya simtom ini dapat dikurangkan ataupun dapat menyembuhkan diri daripada penyakit ini. InsyaAllah dengan izin Allah penyakit ini dapat diubati dengan berpuasa. Sesungguhnya, puasa itu mempunyai hikmah dan juga faedah yang nyata dan telah diterangkan di dalam Al-Quran serta hadis_hadis nabi. Kita perlu beringat bahawa puasa bukanlah sekadar masa untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja tetapi dengan secara tidak langsung puasa juga dapat mengekalkan kecerdasan dan juga menjaga kesihatan diri. Sesungguhnya, puasa itu memberikan kita banyak faedah dan juga kebaikan kepada kehidupan kita seharian. Oleh itu, marilah melakukan amalan puasa kerana puasa bukan sahaja mendatangkan pahala dan keberkatan daripada Allah (Subhanahu wa ta’ala) sahaja malah memberi banyak kesan kebaikan kepada diri sama ada dari segi fizikal mahupun mental.

PENDAHULUAN
Puasa pada bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara’ pula, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum untuk suatu jangka tertentu. Dengan erti kata lain, puasa bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara yang boleh membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Umat islam dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata kesat ataupun melakukan perkara lagha (sia-sia) serta bertengkar mahupun bergaduh sesama manusia. Hal ini kerana, puasa merupakan medan latihan untuk memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesame insane yang bernama manusia. Secara tidak langsung, amalan puasa akan menanam serta menyuburkan sikap murni di dalam diri kita. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini dipraktikkan terus dalam diri agar kehidupan seharian menjadi lebih bertamadun. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara lagha (sia-sia) dan juga perkara-perkara yang tidak disukai dan diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.
Puasa terbahagi kepada tiga hukum iaitu puasa wajib, puasa sunat, dan puasa haram. Puasa wajib adalah puasa di bulan ramadhan yang merupakan rukun islam yang kelima dimana semua umat islam di pelosok dunia wajib berpuasa pada bulan ini sebelum menyambut satu syawal iaitu hari kemenangan bagi umat islam atau dikenali sebagai Hari Raya Aidilfitri. Selain daripada puasa di bulan ramadhan, puasa nazar juga adalah puasa wajib. Puasa nazar adalah puasa dimana apabila seseorang itu bernazar untuk berpuasa, maka wajiblah baginya untuk menunaikan nazar itu dengan berpuasa selama beberapa hari mengikut nazarnya. Puasa sunat pula adalah puasa yang disunatkan keatas umat islam pada masa tertentu seperti puasa enam hari pada bulan syawal dan juga puasa pada hari isnin dan khamis. Sesiapa yang menunaikan puasa ini akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Puasa haram pula merupakan puasa yang diharamkan kepada umat islam pada hari-hari tertentu. Contoh puasa haram adalah puasa pada Hari Raya AidilFitri, puasa pada Hari Raya AidilAdha dan juga puasa sepanjang tahun.

Lumrahnya kita kurang faham tentang tatacara puasa yang boleh mendatangkan faedah kepada kesihatan kerana terlalu biasa dengan cara tertentu yang menjadi budaya masyarakat. Amalan puasa yang diwarisi sejak turun-temurun ini bukan sahaja tidak memenuhi kaifiat puasa, malah ianya akan mengurangkan pahala puasa dan boleh mendatangkan mudharat kepada orang yang berbuat demikian.
Pada kebiasaannya, pergerakan zat makanan dan toksin adalah kearah lemak dan daging. Oleh itu, makanan yang diambil dengan kuantiti yang melebihi keperluan badan akan menyebabkan terkumpulnya bahan-bahan simpanan yang disimpan sebagai lemak. Di samping itu, jika fungsi perkumuhan bahan buangan kurang efisyen, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan didalam lemak. Oleh itu sewaktu kita tidak berpuasa, proses membakaran lemak akan menjadi tidak efisyen. Secara tidak langsung proses pembuangan toksin juga turut akan tergendala.
Berlainan pula semasa berpuasa, aktiviti memproses makanan akan berkurangan atau berhenti bagi tempoh waktu yang telah ditetapkan tetapi proses perkumuhan atau pembuangan masih tetap berjalan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan bahan buangan dan toksin, proses ini dapat berjalan dengan lebih efisyen. Dalam keadaan ini juga, badan kita akan mengalihkan sumber tenaga dari glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak ini akan mengeluarkan toksin dari sel dan seterusnya dapat dibuang keluar. Bagi proses perkumuhan ini, hati dan buah pinggang memberi lebih tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana dapat berehat dari memproses bahan makanan. Pada masa yang sama, darah bersama oksigen dan bahan buangan dari sel-sel dapat mengalir ke otak dan organ-organ lain.
Allah (Subhanahu wa ta’ala) berfirman di dalam Al-Quran tentang kewajipan berpuasa kepada umat islam. Firman itu menyatakan ertinya “ wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah – 183). Berpandukan firman Allah ini, ternyatalah bahawa terdapat banyak faedah puasa yang diberikan kepada umat manusia oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Jika difikirkan secara logik, jika puasa tidak memberikan faedah kepada kita mengapakah Allah menyuruh kita berpuasa. Hal ini menunjukkan bahawa puasa itu memberikan banyak faedah kepada umat manusia.
Kewajipan berpuasa selama sebulan itu ternyata membawa pengaruh kesihatan kepada mereka yang melakukannya. Dengan demikian kewajipan tersebut, puasa tidak mengundang hanya satu ibadah yang diwajibkan keatas umat islam malahan memiliki faedah yang banyak termasuk kesihatan. Tanpa disedari, dengan berpuasa, ia dapat menyehatkan jiwa, jantung dan badan.
Menurut kajian, faedah lain bagi puasa adalah, puasa dapat mengubati penyakit kulit. Dr. Muhammad Zawahiry, seorang pakar penyakit kulit menyatakan bahawa “hubungan antara makanan dengan penyakit kulit amat erat sekali”. Tidak makan atau minum dalam suatu suatu waktu dapat mengurangkan air dalam tubuh dan darah dan seterusnya mengurangkan air dalam kulit, kuman dan basil. Kurangnya air dalam kulit juga dapat mengurangi ketegangan penyakit-penyakit yang ada dalam tubuh. Tidak menghairankan lagi apabila banyak pakar penyakit kulit menjadikan puasa sebagai alternatif untuk terapi utama untuk mengubati penyakit kulit. Bukan hanya di negara-negara islam sahaja yang menggunakan alternatif ini malahan negara-negara eropah juga menggunakan alternatif sama untuk mengubati penyakit kulit.
Selain daripada itu, puasa juga dapat membentuk akhlak yang baik serta peribadi yang mulia. Amatlah jelas bahawa puasa adalah suatu masa untuk mendidik akhlak. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berpesan kepada orang yang berpuasa supaya sentiasa menahan perasaannya. Sebagai contoh, perokok tegar dapat mengambil kesempatan di bulan ramadhan untuk meninggalkan tabiat merokok. Secara tidak langsung, perokok telah membentuk akhlak dan peribadi mereka supaya bersabar serta melawan keinginan untuk merokok di bulan puasa dan seterusnya mendatangkan pulangan yang baik kepada diri sendiri.
Selain itu, puasa juga dapat mengurangkan atau menyembuhkan penyakit jantung. Satu penyelidikan telah dilakukan oleh Dr. Mohd Syauk iaitu seorang pakar penyakit dalam menyatakan bahawa tekanan darah tinggi biasanya menurun apabila penderita penyakit jantung berpuasa. Sudah kita ketahui bahawa jenis makanan yang kita makan mempunyai hubungan erat dengan meningkatnya tekanan darah, terutamanya garam dan makanan yang berlemak tinggi. Hal ini jelaslah bahawa puasa dapat mengurangkan penderitaan penyakit jantung.
Seterusnya, puasa bukan sahaja dapat membentuk peribadi malahan juga kesihatan. Hal ini kerana puasa dapat melatih kita supaya bersabar disamping menahan diri dari melakukan perkara- perkara keji. Puasa memanglah teruk tetapi dari situlah timbulnya sifat sabar dan cekal hati untuk mengatasinya. Selain daripada itu, puasa sebenarnya dapat menyihatkan badan kerana ia merehatkan maidah yang berkerja sepanjang tahun.
Menurut hadis yang member maksud “ daripada Abu Qatadah r. a, sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang puasa hari arafah, baginda bersabda, ‘ia menghapuskan dosa-dosa tahun laludan tahun yang akan datang’ ”. daripada hadis ini, jelaslah bahawa dengan berpuasa, Allah (Subhanahu wa ta’ala) memberi kita balasan yang baik serta menghapuskan dosa-dosa kita. oleh hal yang demikian, secara logiknya, sememangnya puasa member kita banyak faedah kebaikan seluruh kehidupan kita.

KESIMPULAN

Bulan puasa bukanlah sekadar masa untuk menahan lapar dan dahaga atau untuk meninggalkan kesenangan jasmaniah sahaja malahan juga untuk menjaga kesihatan diri. Dalam suasana puasa ramadhan, sema makna kesihatan ini tumbuh dan berkembang dengan baik untuk dijadikan contoh yang benar bagi insane-insan yang didambakan. Alangkah beruntungnya kita apabila kita tahu kesan positif daripada panggilan illahi yang suci tersebut yang mempersembahkan kepada manusia peradaban dan kebudayaan yang paling agung. Pahala puasa amatlah besar. Orang yang meninggalkan puasa dibulan ramadhan dengan sengaja, ia bukan sahaja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar. Satu puasa yang ditinggalkannyatidak dapat ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa selama seumur hidupnya. Mengikut apa yang telah dibincangkan tadi, kita dapat melihat bahawa puasa member kita banyak faedah bukan sahaja dari segi rohani malahan dari segi jasmani juga. Sesungguhnya, puasa itu mempunyai hikmah yang nyata, faedah-faedah yang besar, sunnah dan adab-adab yang banyak. Sekiranya sekalian muslim mengetahuinya dan beradab dengan adab-adabnya, nescaya mereka akan Berjaya dalam melaksanakan rukun islam yang agung ini dan mereka akan memperolehi faedah dan fadhilat puasa yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Di situ, kita akan sama-sama berkongsi sebahagian daripada hikmah dan faedah dalam berpuasa secara umum. Semoga ianya dapat member sedikit faedah untuk kita bagi meneruskan kehidupan sebagai khalifah di muka bumi yang hanya dipinjamkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala) kepada kita.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com